SEMAKIN ramai golongan muda alami masalah ini tanpa mereka sedar - FOTO Google
SEMAKIN ramai golongan muda alami masalah ini tanpa mereka sedar - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

MANUSIA mempunyai 26 tulang lembut (cakera) yang dikenali sebagai cakera intervertebra bermula dari tengkuk sehingga ke pinggang.

Tulang lembut ini berperanan membenarkan pergerakan kepada tulang belakang selain sebagai penyerap hentakan bagi memastikan badan selamat daripada hentakan kuat ketika melakukan aktiviti harian.

Namun, terdapat dua jenis penyakit berkaitan tulang lembut iaitu kemerosotan tulang lembut dan cakera tergelincir (slip disc).

Pakar Bedah Ortopedik Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Chang Kok Chun berkata, kemerosotan tulang lembut adalah proses semula jadi penuaan.

Bagaimanapunm, beliau berkata, semakin ramai golongan muda mengalami masalah ini tanpa mereka sedar.

"Sakit pinggang dialami mereka (golongan muda) itu sebenarnya gejala kepada masalah kemerosotan tulang lembut.

UJIAN imbasan MRI menunjukkan tulang lembut berwarna hitam terkeluar daripada kedudukan asal.  - FOTO Google
UJIAN imbasan MRI menunjukkan tulang lembut berwarna hitam terkeluar daripada kedudukan asal. - FOTO Google

"Ini kerana ramai di antara mereka berkerja di pejabat yang memerlukan duduk berjam-jam lamanya di hadapan komputer.

"Ada kalanya mereka mengadu tidak boleh duduk lama kerana mengalami kesakitan dan ketidakselesaan pada pinggang," katanya.

Menurutnya, berdasarkan ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) ke atas pesakit yang mengalami masalah kemerosotan tulang lembut menunjukkan perubahan warna tulang lembut daripada putih kepada hitam.

"Ia juga memperlihatkan garisan putih koyakan tulang lembut berkenaan. Rawatan bagi masalah kemerosotan tulang lembut bermula dengan pencegahan cara kerja ergonomiks.

"Seterusnya ialah cara mengangkat barang berat, duduk di posisi yang betul dan tidak terlalu lama. Pada masa sama, amalkan senaman tulang belakang," katanya.

Dr Chang berkata, doktor akan memberikan ubat tahan sakit iaitu ubat antikeradangan bukan steroid (NSAIDs) kepada pesakit.

"Ubat ini mampu menghilangkan keradangan di tulang belakang yang menjadi punca kesakitan dan kemudian menyembuhkan penyakit.

"Bagaimanapun, ubat ini perlu diambil secara berterusan selama beberapa hari untuk memastikan kesakitan itu benar-benar hilang.

UJIAN imbasan MRI menunjukkan kemerosotan tulang.  - FOTO Google
UJIAN imbasan MRI menunjukkan kemerosotan tulang. - FOTO Google

"Namun pesakit tidak digalakkan mengambil ubat ini alam tempoh panjang kerana boleh memberikan kesan sampingan yang serius seperti gastrik dan kerosakan buah pinggang," katanya.

Beliau berkata, jika kesakitan masih tidak berkurangan, pesakit boleh menjalani rawatan fisioterapi.

Katanya, bagi pesakit yang mengalami sakit pinggang yang teruk, rawatan gelombang frekuensi radio adalah rawatan pilihan.

"Prosedur ini disasarkan terus ke atas kawasan yang menyebabkan kesakitan tanpa perlu menjalani pembedahan," katanya.

Dr Chang berkata, ciri utama penyakit cakera tergelincir ialah siatika iaitu kesakitan yang dirasai daripada punggung hingga ke paha dan seterusnya di sisi betis dan hujung jari kaki.

"Ia satu gejala gangguan akar saraf di tulang belakang pinggang. Kesakitan siatika bertambah teruk jika pesakit berada dalam posisi baring dan mengangkat kaki secara lurus.

"Menerusi ujian imbasan MRI menunjukkan, tulang lembut berwarna hitam terkeluar daripada kedudukan asal dan menekan saraf tunjang di dalam tulang belakang," katanya.

RAWATAN pembedahan diskektom endoskopi ke atas pesakit.  - FOTO Google
RAWATAN pembedahan diskektom endoskopi ke atas pesakit. - FOTO Google

Katanya, pesakit boleh mencuba rawatan tanpa pembedahan jika tidak mengalami lemah kaki atau masalah mengawal kencing.

"Ada kalanya suntikan epidural steroid diberikan ke atas pesakit untuk mempercepatkan proses penyembuhan.

"Jika kesakitan masih tidak berkurangan selepas rawatan ubat dan fisioterapi, lazimnya doktor akan mencadangkan rawatan pembedahan diskektom (secara konvesional, mikro diskotom atau endoskopi).

"Pembedahan ini untuk membuang bahagian cakera terkeluar daripada kedudukan asal yang mengganggu saraf. Risiko pembedahan adalah rendah dan pesakit boleh berjalan semula selepas prosedur itu (pembedahan)," katanya.

Beliau berkata, pesakit berusia 50 tahun ke atas yang mengalami siatika lebih kerap menghidap stenosis tulang belakang daripada cakera tergelincir.

"Namun, ramai pesakit tidak tampil mendapatkan rawatan kerana takut hasil pembedahan kononnya boleh menyebabkan mereka lumpuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 6:30 AM