CAHAYA UV digunakan untuk disinfeksi kenderaan awam.
CAHAYA UV digunakan untuk disinfeksi kenderaan awam.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

DALAM bidang perubatan, antibiotik lebih banyak digunakan untuk membunuh atau mencegah pembiakan bakteria.

Namun ramai tidak mengetahui cahaya boleh digunakan untuk membunuh bakteria melalui sistem disinfeksi (nyah kuman) ultra ungu (UV).

Penyelidik Teknologi Cahaya Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata, ini antara sifat fizikal cahaya itu sendiri (mematikan bakteria) selain untuk menyinari, mengubati dan memproses makanan.

Beliau berkata, definisi sebenar cahaya daripada sudut fizik ialah gelombang elektromagnetik daripada julat 100 hingga 1,700 nanometer (nm) iaitu melebihi julat spektrum yang boleh dilihat oleh mata manusia.

“UV pula adalah sejenis cahaya tidak kelihatan yang mempunyai panjang gelombang 100 hingga 400nm.

“Teknologi UV sebagai disinfektan (ejen pembunuh) bakteria sudah wujud lebih 50 tahun lalu dan keberkesanannya dibuktikan dalam kajian saintifik serta penggunaan komersial,” katanya.

Menurutnya, kaedah disinfeksi adalah cara semula jadi tulen yang lebih selamat dan sesuai digunakan oleh pengguna.

“Ini terutama bagi pengguna yang mula sedar kesan kandungan klorofin dan bahan kimia lain dalam air minuman terhadap kesihatan untuk jangka masa panjang.

CECAIR peluntur adalah disinfeksi daripada bahan kimia.
CECAIR peluntur adalah disinfeksi daripada bahan kimia.

“Disinfektan UV digunakan di dalam udara dan air penulenan, rawatan kumbahan, perlindungan makanan dan minuman serta pelbagai aplikasi disinfeksi dan pensterilan lain,” katanya.

Menurut beliau, kelebihan utama rawatan UV ialah, ia dianggap sebagai kaedah yang lebih selamat dan dipercayai untuk membasmi kuman air daripada alternatif kimia serta memiliki tahap penyahjangkitan yang tinggi.

“Sistem rawatan UV juga menjimatkan kos dan memerlukan ruang yang kurang berbanding sistem disinfeksi alternatif.

“Penularan virus korona SAR-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19 mengubah cara kehidupan manusia secara keseluruhannya,” katanya.

Dr Mohd Syuhaimi berkata, masyarakat perlu sentiasa berhati-hati dan berada di dalam rumah kerana virus ini berisiko menjangkiti melalui sentuhan dengan permukaan bahan yang dijangkiti virus, apabila mereka menyentuh mulut, hidung atau mata.

Tambahan pula, katanya, jangka hayat virus ini bertahan bergantung lokasi ia berada.

“Contoh, pada luar permukaan seperti plastik atau keluli tahan karat, jangka hayat virus ini ialah selama dua hingga tiga hari.

“Permukaan tembaga pula ialah empat jam dan permukaan kertas tebal pula boleh mencapai sehingga 24 jam,” katanya.

DR mohd Syuhaimi
DR mohd Syuhaimi

Namun, katanya, jangka hayat virus korona kebiasaannya lebih singkat pada permukaan getah seperti sarung tangan iaitu kurang daripada lapan jam.

“Pada permukaan aluminium pula, virus ini mampu bertahan di antara dua hingga lapan jam saja.

“Bagaimanapun, jangka hayat virus ini lebih panjang sehingga lima hari iaitu pada permukaan lain seperti besi, kaca, polivinil klorida (PVC), silikon, seramik dan teflon,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, suhu bilik memainkan peranan yang besar dalam menentukan jangka hayat virus ini.

Jelasnya, penularan Covid-19 membuka banyak peluang kajian secara terperinci mengenai fungsi sinaran UV dalam membunuh virus berkenaan.

“Contoh, dyarikat Violet Defense yang berpangkalan di Amerika Syarikat mencipta alat sinaran UV yang dipercayai mampu untuk membunuh virus ini dalam bangunan dan kawasan tidak terdedah kepada cahaya matahari secara terus.

“Alat ini diuji kepada virus lain seperti Novo dan membuktikan kemampuannya membunuh virus sebanyak 99.99 peratus.

“Begitu juga dengan virus Ebola yang mampu dibunuh menggunakan UV.

“Di China, cahaya UV digunakan untuk disinfeksi kenderaan awam seperti bas. Satu laluan khas dibina dengan nyalaan cahaya UV di dalamnya,” katanya.

Mohd Syuhaimi berkata, virus Covid-19 sangat berbahaya kepada manusia, begitu juga dengan sinaran UV.

Bagaimanapun, jika kedua-dua unsur ini bertemu, berkemungkinan manusia akan mendapat manfaat di sebaliknya.

“Bagaimanapun, tiada kajian khusus dilakukan ke atas virus ini. Sebaliknya tindak balas UV terhadap wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) menunjukkan kesan yang positif.

“Sinaran ini menjejaskan struktur bahan genetik mereka dan menghalang zarah virus daripada membuat lebih banyak salinan diri mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 6:30 AM