Fadzilah Shafie

Ketua Pegawai Farmasi Hospital Jasin

OSTEOPOROSIS adalah penyakit berkaitan tulang lemah. Osteoporosis berlaku apabila tulang kehilangan tisu, lantas ketumpatannya berkurangan yang boleh menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah.

Tulang merangkumi bahagian luar (tulang kortikal) dan bahagian dalam (tulang berspan). Perlu diingat tulang adalah tisu hidup yang boleh membaiki sendiri secara berterusan. Proses ini membabitkan pengikisan (resorpsi) tisu tulang yang matang oleh sel osteoklas dan pembentukan tulang baharu (osifikasi atau penulangan) oleh sel osteoblas.

Namun, osteoporosis kerap dikaitkan dengan peningkatan umur kerana aktiviti sel osteoblas berkurangan semakin usia meningkat. Sebab itu, kejadian kepatahan tulang kerap berlaku dalam kalangan warga emas yang menghidap osteoporosis.

Faktor risiko

Wanita lebih berisiko menghidap osteoporosis selepas menopaus berbanding lelaki kerana penurunan hormon estrogen yang penting dalam pembentukan tulang. Selain itu, wanita yang menjalani histerektomi (pembuangan rahim secara pembedahan) juga berisiko tinggi mendapat osteoporosis kerana ketiadaan hormon estrogen yang dihasilkan oleh ovari.

Faktor risiko menghidap osteoporosis juga meningkat apabila ada sejarah keluarga terdekat yang pernah mengalami osteoporosis, gaya hidup tidak sihat seperti kurang bersenam, mengambil alkohol, merokok serta kurang pengambilan kalsium dan vitamin D. Pengambilan ubat-ubatan tertentu dan menghidapi sesetengah jenis penyakit seperti penyakit seliak (sejenis penyakit gangguan penyerapan) juga boleh meningkatkan risiko untuk mendapat osteoporosis.

Tanda dan gejala

Osteoporosis lazimnya tidak mempunyai tanda atau gejala yang ketara terutama pada peringkat awal. Sesetengah pesakit cuma mengalami sakit dan sengal terutama di bahagian belakang dan pinggang.

Kebiasaannya osteoporosis dikesan apabila pesakit jatuh dan mengalami kepatahan tulang terutama dalam kalangan warga emas. Justeru, penting untuk menjalani saringan atau ujian ketumpatan tulang agar osteoporosis dapat dikesan pada peringkat awal.

Pengesanan

Osteoporosis boleh dikesan dengan menggunakan mesin seperti Dual-Energy X-ray Absorptiometry (DEXA) untuk mengukur ketumpatan tulang. Pengukuran ini membolehkan penilaian status osteoporosis dan jangkaan risiko osteoporosis pada masa hadapan.

Rawatan

Rawatan osteoporosis terbahagi dua iaitu pembedahan dan ubat-ubatan. Rawatan secara pembedahan umumnya untuk keadaan berlakunya kepatahan tulang. Lazimnya, ubat-ubatan digunakan dalam rawatan osteoporosis untuk mengurangkan proses pengikisan tulang, meningkatkan ketumpatan tulang dan aras vitamin D.

Ubat-ubatan yang diguna termasuk ubat dalam kumpulan bisphosphonates, perencat RANK (Receptor Activator of Nuclear Factor Kappa-? Ligand), terapi gantian hormon estrogen, Selective Estrogen Receptor Modulators (SERMs), strontium ranelate, vitamin D dan sebagainya.

Ubat dalam kumpulan bisphosphonates bertindak dengan merencatkan pengikisan tulang oleh sel osteoklas, sekali gus mengekalkan ketumpatan tulang. Contoh ubat dalam kumpulan ini ialah alendronate.

Pesakit yang diberi ubat alendronate perlu memberi perhatian kepada cara pengambilannya. Ubat alendronate perlu diambil sekali seminggu. Pesakit dinasihatkan mengambil ubat ini dengan segelas air ketika perut kosong pada awal pagi sebaik bangun tidur. Ia perlu diambil 30 minit sebelum pesakit mengambil apa-apa makanan, minuman atau ubat lain.

Pesakit juga dinasihatkan duduk, berdiri atau berjalan tegak sekurang-kurangnya selama 30 minit dan jangan baring sehinggalah memakan sesuatu. Dapatkan nasihat ahli farmasi untuk penerangan lanjut berkaitan cara pengambilan ubat ini.

Tempoh pengambilan ubat dalam kumpulan bisphosphonates akan dinilai oleh doktor, bergantung pada keadaan pesakit. Kesan sampingan ubat biphosphonates yang biasa berlaku adalah sakit perut, cirit-birit, gangguan penghadaman, pedih hulu hati dan loya.

Tip cegah osteoporosis

Diet:

Ambil kalsium secukupnya ketika usia muda penting dalam pembentukan tulang kuat. Selain kalsium, vitamin D juga penting untuk membantu proses ini. Selain itu, hadkan pengambilan minuman kafein.

Gaya hidup sihat:

Amalan bersenam dan aktif bersukan secara konsisten sangat penting untuk memelihara kekuatan tulang. Elak pengambilan alkohol dan merokok.

Kawal berat badan:

Berat badan yang ideal membantu mengurangkan beban tulang.

Kesan tanda-tanda awal osteoporosis:

Sekiranya kerap terasa sakit pada sendi atau tulang, pesakit dinasihati berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Jangan abaikan tanda-tanda ini.

Penjagaan pesakit

Kebanyakan pesakit osteoporosis adalah warga emas. Tip ini boleh diikuti dalam penjagaan harian:

Letakkan alas kaki di bilik air untuk elak terjatuh akibat lantai yang licin.

Pasang pemegang (susur tangan) di bilik air, tandas dan tangga untuk memudahkan warga emas bangun dan bergerak.

Pastikan tiada objek yang menghalang pergerakan (seperti lingkaran wayar dan permainan anak) bagi mengelak terjatuh akibat tersandung objek itu.

Sediakan penggera di bilik warga emas untuk mempercepatkan tindakan sekiranya berlaku kecemasan.

Pakaikan pelindung khas pada bahagian badan seperti pada pinggul untuk mengelak kecederaan sekiranya jatuh.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:30 AM