Nurul Husna Mahmud

SATU perkongsian Pakar Perunding Reproduktif, Obstetrik dan Ginekologi UKM Specialist Center (UKMSC), Prof Datuk Dr Zainul Rashid Mohd Razi, ketika temubual di konti radio tempatan baru-baru ini mendedahkan, tahap kesuburan lelaki menurun secara drastik sehingga memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merendahkan standard normal.

Standard normal bagi kesuburan lelaki dirujuk pada kualiti dan kuantiti kandungan air maninya. Aspek dilihat antaranya ketumpatan sperma iaitu 20 juta sperma bagi setiap mililiter air mani.

Selain memerlukan sekurang-kurangnya 50 peratus sperma bergerak aktif, tidak kurang empat peratus lagi menepati ciri bentuk, saiz dan rupa sperma matang.

Isu kesuburan lelaki perlu dilihat sebagai masalah serius, selain pakar berkenaan mengan­daikan populasi dunia boleh diancam kepupusan andainya tiada usaha menangani masalah kesihatan terbabit.

Justeru, masyarakat umum perlu mengubah persepsi bahawa kesukaran mendapat anak bukan disebabkan wanita semata-mata. Sebaik-baiknya, lelaki juga perlu menjalani pemeriksaan bagi mendapatkan anak.

DR Abdul Kadir menerangkan anatomi penghasilan air mani dan sperma.
DR Abdul Kadir menerangkan anatomi penghasilan air mani dan sperma.

Mengulas isu berkenaan secara lanjut, temubual bersama Pakar Perunding Reproduktif, Obstetrik dan Ginekologi UKMSC & Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, Dr Abdul Kadir Abdul Karim berkata, pelbagai faktor boleh menyebabkan kesuburan lelaki terjejas.

“Faktor usia boleh memberikan kesan terhadap kandungan air mani lelaki tetapi ia bukanlah faktor utama yang menyebabkan masalah kesuburan lelaki.

“Faktor yang boleh diubah seperti gaya hidup individu yakni rokok, alkohol, penyalahgunaan dadah, stres, kemurungan dan pemakaian seluar ketat ketika ini dikenal pasti memberikan kesan terhadap kesuburan mereka.

“Elemen kimia dalam rokok boleh menjejaskan penghasilan sperma selain membuatkan saluran mengecut yang turut menggang­gu penghantaran sperma sihat dan matang.

“Selain itu, trend masa kini gemar mengenakan seluar ketat sebenarnya tidak sihat bagi ‘kantung telur lelaki’ atau skrotum. Kantung telur ini sensitif dengan haba.

“Haba boleh mengurangkan pengeluaran sperma dan ketika ini, mereka yang inginkan anak disarankan tidak mengenakan seluar ketat,” katanya menyarankan mengenakan seluar dalam sesuai dan selesa bagi menjaga fungsi organ berkenaan.

ELAK pemakaian seluar ketat untuk menjaga skrotum atau telur.
ELAK pemakaian seluar ketat untuk menjaga skrotum atau telur.

Selain faktor berkenaan, lelaki berisiko menghadapi masalah kesuburan ialah disebabkan faktor khusus iaitu sejarah masalah kesihatan lalu. Ini merujuk kepada pesakit yang pernah mempu­nyai sejarah pembedahan sewaktu kecil disebabkan isu telur atau zakar yang lambat turun.

“Masalah lain yang merujuk pada ketidaksuburan kandungan air mani lelaki ialah mereka mempunyai sejarah menjalani pembedahan di bahagian testis.

“Apabila bertemu pesakit, saya akan tanya, pernahkah mereka mendapatkan rawatan seperti pembedahan di bahagian sulit contohnya kerana masalah testis lambat turun atau angin pasang (inguinal hernia).

“Selain itu individu yang pernah menghidap beguk juga boleh mengalami masalah ketidaksuburan. Biasanya virus yang menyebabkan beguk boleh menyerang testis mengakibatkan radang dalam 10 hingga 30 peratus kes dan ini menjejaskan kualiti air mani mereka.

“Saya juga mendapat maklumat penyakit lain yang dialami seperti kencing manis, gout dan ulser kerana pengambilan ubat tertentu boleh menjejaskan kualiti air mani pesakit.

PERLU hentikan pengambilan suplemen mengandungi steroid.
PERLU hentikan pengambilan suplemen mengandungi steroid.

“Dalam kes lain, pengam­bilan steroid juga boleh mengganggu penghasilan sperma. Biasanya pesakit berbadan ‘sado’ yang datang bertemu saya mengaku ada mengambil steroid dan mereka berdepan masalah tiada penghasilan sperma,” katanya.

Ada juga punca lain iaitu trauma merujuk pada individu yang testisnya cedera akibat aktiviti sukan seperti bola dan sebagai­nya.

“Fakta trauma lain yang boleh menyebabkan kelumpuhan di bawah pinggang akibat kecederaan saraf tunjang seperti kemalangan jalan raya ataupun jatuh dari tempat tinggi boleh menjejaskan penghasilan sperma,” katanya.

Rawatan lelaki

Kata Dr Kadir, rawatan diberi mengikut keperluan pesakit. Namun, perkara paling utama adalah kesediaan pesakit untuk menerima hakikat dan bersedia mendapatkan rawatan selain memberikan kerjasama yang diperlukan.

Langkah paling biasa yang diambil kebanyakan pasangan ialah mengunjungi pusat kesuburan untuk mendapatkan anak. Ia langkah yang baik dan amat penting untuk kedua-dua pihak menjalani ujian dan saringan yang diperlukan.

“Kalau faktornya disebabkan kesuburan lelaki dengan andaian pasangannya normal, kita akan jalankan ujian air mani. Sebenarnya ujian air mani dinilai berdasarkan kriteria jumlah sperma, isi padu, ketumpatan dan bentuk.

KECEDERAAN ketika di padang antara implikasi trauma menjejaskan kesuburan pesakit.
KECEDERAAN ketika di padang antara implikasi trauma menjejaskan kesuburan pesakit.

“Berdasarkan rekod ujian air mani pernah dijalankan, boleh dikatakan 10 peratus mengalami masalah teruk iaitu tiada langsung penghasilan sperma. Bagi kes begini, perlu ada ujian lain untuk mengenal pasti masalah penghasilan spermanya.

“Namun kalau masalahnya dalam kategori sederhana, iaitu jumlah sperma terhasil sekitar lima hingga 20 juta, saya nasihatkan mereka berhenti merokok, minum alkohol, malah tidak mengenakan pakaian ketat. Sekiranya mereka mengambil ubat yang menjejaskan penghasilan sperma, ia juga harus dihentikan jika boleh.

“Penghasilan sperma baharu memerlukan tempoh tiga bulan. Bagi kes tiada sperma dalam air mani, biasanya saya akan ambil darah dan lakukan ujian hormon. Kalau bacaan abnormal maknanya ada kemungkinan terdapat masalah pada testis dan jika bacaannya normal ada kemungkinan saluran tersumbat atau punca yang tidak pasti,” katanya.

Bagi mempertingkat­kan kualiti kandungan air mani berkenaan, Dr Kadir menyarankan pengambilan suplemen.

“Apabila pesakit sudah mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menghentikan pengambilan steroid dan sebagainya, barulah saya sarankan ambil sup­lemen yang dapat membantu kualiti air mani,” katanya.

Bagi masalah kekurangan air mani, biasanya kes dikaitkan dengan masalah penghasilan atau penghantaran sperma kepada wanita.

Kata Dr Kadir, bagi kes tiada sperma pihaknya akan menyedut air mani yang terkumpul di atas testis. Jika tiada, doktor akan melakukan pembedahan kecil untuk dapat­kan sperma sihat.

“Doktor akan dapatkan sampel air mani di atas permukaan testis bagi masalah saluran air mani tersumbat, air mani kurang atau tiada langsung. Doktor akan bedah dan ambil sampel dalam kilang air mani untuk mengenal pasti sperma matang.

“Dalam kes begini, kami akan lakukan permanian beradas di makmal atau bayi tabung uji. Ini memberi mereka peluang memperoleh anak sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 2:08 PM