Hafiz Ithnin

Makan tanpa mengira waktu sehingga lewat malam menjadi gaya hidup masyarakat di negara ini memandangkan restoran 24 jam sentiasa sedia menanti dan memberikan khidmatnya kepada pelanggan.

Jika duduk di restoran itu pula, segelas demi segelas teh tarik ‘kaw’ yang menggabungkan cita rasa terbaik antara teh dan susu pekat boleh terus dinikmati sambil melepak melayan layar besar sehingga awal pagi.

Tidak sekadar itu, keesokan paginya ada antara kita terus ‘memburu’ nasi lemak ayam berempah, sambal lebih dan tidak ketinggalan lauk-pauk lain yang boleh menambah selera pada permulaan hari. Manakala pada waktu senggang aktiviti mengeluarkan peluh, menjadi satu hal yang sukar.

Dari hari ke hari, amalan gaya hidup makan tanpa kawalan diteruskan hinggalah satu hari ketika menyarung pakaian yang dahulunya bersaiz M beralih kepada XL dan seterusnya XXXL. Tidak mustahil bukan?

Lebih parah, jika satu hari ketika pemeriksaan kesihatan dilakukan kadar gula di dalam badan meningkat mendadak dan tanpa disedari anda adalah penghidap penyakit diabetes dan obesiti.

Pastinya situasi ini menjadi kerisauan sekiranya berlaku. Masa dahulu yang sepatutnya beringat dalam pengambilan makanan tidak dapat dikembalikan kerana perkara sudah terjadi. Malah, untuk menjalani hidup sihat seperti melakukan senaman juga sudah menjadi sukar.

Hakikatnya hubungan antara obesiti dan diabetes adalah dua perkara amat berkait rapat kerana hasil pemakanan yang tidak sihat akan memberi kesan kepada peningkatan kadar gula dalam badan yang mengakibatkan penyakit itu.

KESEDARAN menjaga pemakanan perlu dipupuk sejak kecil.
KESEDARAN menjaga pemakanan perlu dipupuk sejak kecil.

Pakar Pembedahan Am dan Bariatrik Pusat Perubatan Sunway, Datuk Dr Tikfu Gee berkata, Malaysia direkodkan sebagai negara yang mempunyai paling ramai penduduk yang mengalami obesiti di Asia Tenggara menerusi kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2011. Ini bukan rekod yang boleh dibanggakan dan keadaan akan berterusan menjadi lebih buruk jika tiada langkah proaktif diambil untuk mengatasinya.

Obesiti adalah keadaan apabila indeks jisim tubuh (BMI) berada dalam julat 27 hingga 32. Individu yang mempunyai BMI melebihi 32, perlu berasa bimbang kerana termasuk dalam kategori obesiti morbid.

“Mereka yang mengalami obesiti morbid biasanya sudah tidak dapat menggunakan kaedah gaya hidup sihat sebagai ‘rawatan’ untuk mendapatkan berat badan ideal.

“Biasanya mereka sudah mengalami masalah kesihatan seperti sakit sendi, masalah tulang belakang, diabetes, tekanan darah tinggi, kesukaran mengandung dan apnea tidur yang boleh meningkatkan risiko strok,” katanya.

OBESITI morbid atau kegemukan terlampau jejaskan kualiti hidup.
OBESITI morbid atau kegemukan terlampau jejaskan kualiti hidup.

Dr Tikfu berkata, bagi mereka yang mengalami obesiti morbid dan mempunyai diabetes, tidak mudah untuk mereka menjalani hidup sihat seperti bersukan kerana berat badan menjadi penghalang yang menyukarkan pergerakan.

“Bagi individu obes, biasanya kita cadangkan mereka untuk menjalani hidup sihat seperti menjaga pemakanan dan lebih banyak bersenam kerana cara ini dapat mengurangkan berat badan dengan lebih baik.

“Peringkat kedua, kita cadangkan individu ini mengambil ubat-ubatan yang disarankan oleh doktor bertauliah untuk membantu mereka mengurangkan berat badan dan pada masa sama dapat mengawal kadar gula dalam badan yang menyebabkan diabetes,” katanya.

Ujarnya, bagi peringkat ketiga iaitu bagi golongan obesiti morbid yang sudah tidak mampu dirawat menerusi dua kaedah itu, ikhtiar seterusnya adalah pembedahan kerana pergerakan mereka sudah semakin terbatas.

“Biasanya mereka yang mengalami obesiti morbid sudah banyak berikhtiar untuk menurunkan berat badan tetapi gagal dan berat badan semakin bertambah walaupun sudah mengikuti program diet atau aktiviti kecergasan.

“Jadi dengan pergerakan yang semakin terhad dan usaha lain gagal, mungkin boleh mempertimbangkan kaedah pembedahan bariatrik,” katanya.

Pembedahan bariatrik terbahagi kepada empat iaitu ‘sleeve gastrectomy’ (pembedahan mengecilkan saiz perut sehingga 75 peratus daripada saiz asal), ‘gastric bypass’ (pintasan gastrik), gastric band (ikat perut) dan biliopancreatic diversion - Duodenal switch (BPD-DS). Semua kaedah itu bagi mengecilkan saiz perut.

Jelasnya, setiap kaedah bagi memastikan 80 hingga 85 peratus perut pesakit obesiti morbid dapat dibuang dan mereka akan mempunyai antara 15 hingga 20 peratus saja saiz perut yang akan berkembang secara berperingkat.

“Apabila saiz perut ini dibuang kita akan membawa keluar sekali hormon ghrelin iaitu sejenis hormon yang membuatkan manusia terasa ingin makan. Jadi apabila hormon itu dinyahkan secara tidak langsung individu berkenaan akan dapat mengurangkan nafsu makan.

“Selain itu perkara paling penting dengan adanya saiz perut yang kecil, mereka akan cepat berasa kenyang. Contohnya, dengan saiz perut normal mereka boleh makan tiga ketul ayam, selepas pembedahan setengah ketul ayam pun mereka sudah kenyang,” katanya.

LAKARAN bentuk pembedahan perut menerusi kaedah sleeve gastrectomy yang popular dalam pembedahan bariatrik.
LAKARAN bentuk pembedahan perut menerusi kaedah sleeve gastrectomy yang popular dalam pembedahan bariatrik.

Tambahnya, pesakit tidak perlu risau mengenai saiz perut kerana ia akan mengembang sekitar 30 peratus dalam tempoh empat hingga lima tahun kemudian memandangkan sifat perut mampu berkembang walaupun sudah menjalani pembedahan.

Jelasnya, pembedahan itu bukan saja membantu pesakit mendapat berat badan ideal, malah menyembuhkan penyakit diabetes yang dialaminya. Contohnya, daripada 100 pesakit obesiti morbid yang mempunyai diabetes, 85 peratus dapat dirawat sepenuhnya tanpa perlu mengambil ubat atau suntikan.

“Pembedahan ini dapat menyelesaikan masalah diabetes kerana dua faktor iaitu pertama, pesakit akan mula makan sedikit tetapi kerap. Bagi pesakit diabetes mereka perlu menstabilkan gula dalam darah menerusi makan sedikit tetapi kerap.

“Jika perut sudah kecil mereka akan cepat kenyang apabila makan untuk satu masa tetapi akan berulang berbanding saiz perut biasa mereka akan makan dengan banyak tetapi tidak kerap menyebabkan kadar gula dalam darah tidak stabil,” katanya.

Tambahnya, faktor kedua disebabkan pembedahan pintasan perut akan mengalirkan makanan ke usus kecil yang menjadi tempat hormon paling banyak berbanding organ lain.

MAKANAN yang sihat perlu diterapkan dalam kalangan ahli keluarga.
MAKANAN yang sihat perlu diterapkan dalam kalangan ahli keluarga.

“Di usus dan perut saja ada lebih 200 hormon di dalamnya berbanding organ lain. Jadi dengan aliran makanan ke kawasan itu, ia akan mengeluarkan hormon yang dikenali sebagai GLP 1 dan GIP.

“Kedua-dua hormon ini akan menjadikan pankreas mengeluarkan lebih insulin dan menyebabkan sel-sel kita lebih sensitif kepada insulin yang seterusnya dapat menyeimbangkan paras gula pesakit diabetes. Sekali gus melenyapkan penyakit berkenaan,” katanya.

Katanya, selepas pembedahan dilakukan pesakit perlu bijak memilih makanan yang mempunyai khasiat yang baik untuk badan dan menerusi cara itu mereka dapat mengawal serta mendapatkan bentuk badan ideal.

“Kaedah pembedahan ini memberi banyak manfaat kepada golongan obesiti morbid dan saya juga dalam kajian untuk menyembuhkan pesakit diabetes yang kurus menerusi kaedah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 9:06 AM