GOLONGAN yang paling berisiko kanak-kanak, wanita hamil, warga tua berusia lebih 65 tahun.
GOLONGAN yang paling berisiko kanak-kanak, wanita hamil, warga tua berusia lebih 65 tahun.
Zaitie Satibi


INFLUENZA lazimnya dikaitkan dengan musim sejuk, malah rantau beriklim sederhana seperti Amerika Syarikat (AS) mempunyai variasi musim penularan influenza yang jelas dengan kemuncak penularan berlaku pada musim bersuhu rendah itu.

Namun, influenza kini tidak lagi wujud di negara yang bermusim sejuk saja. Memandangkan aktiviti melancong ke luar negara semakin berkembang, penyakit berjangkit seperti influenza tersebar dengan mudah dari satu pelosok dunia ke pelosok yang lain.

Influenza boleh memudaratkan terutama kepada kumpulan berisiko tinggi sekali gus meningkatkan kadar penyakit dan kematian.

Golongan yang paling terkesan ialah kanak-kanak bawah usia lima tahun, wanita hamil, warga tua berusia lebih 65 tahun dan penghidap penyakit pernafasan seperti asma, penyakit obstruktif pulmonari kronik (COPD) dan juga penyakit kronik seperti diabetes dan sakit jantung.

Ini termasuk golongan yang berisiko tinggi iaitu jemaah haji dan umrah.

Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan influenza, Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) melancarkan Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG).

MIWG bertujuan menangani isu penting dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Keutamaan kumpulan ini meliputi empat bidang penting iaitu pemantauan, dasar dan garis panduan, sokongan dan pendidikan serta penyelidikan.

Presiden MSIDC, Profesor Dr Zamberi Sekawi, bertindak sebagai pengerusi kumpulan kerja itu, manakala naib pengerusi adalah Profesor Dr Yasmin Abdul Malik. Ahli jawatankuasa utama MIWG terdiri daripada pakar dalam pelbagai disiplin berkaitan influenza termasuk mikrobiologi perubatan, pediatrik, perubatan pernafasan, penyakit berjangkit, pemantauan penyakit, kesihatan pekerjaan dan perubatan geriatrik.

Dr Zamberi berkata, influenza adalah masalah global menyebabkan pakar terkemuka di seluruh dunia berusaha untuk mencari kaedah demi membendung penyakit ini dan mengurangkan kesan buruknya.

Terdapat badan perubatan dan saintifik yang terbabit dalam pengawasan, penyelidikan, latihan dan pendidikan dengan harapan untuk membentuk dasar, protokol dan amalan yang berkesan bagi mencegah serta mengawal influenza.

Golongan terkemuka dalam bidang ini termasuklah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan kumpulan khusus seperti Pakatan Asia Pasifik Untuk Kawalan Influenza (APACI).

“Di Malaysia, kami juga sangat mengambil berat kesan influenza dan mengiktiraf keperluan dalam menyertai inisiatif global untuk memerangi penyakit ini.

“MIWG akan menjadi sebahagian daripada rangkaian komunikasi dan pendidikan komprehensif APACI.

“Kami percaya menerusi empat bidang utama ini, MIWG dapat memberi impak terhadap pencegahan dan pengurusan influenza melalui pelbagai aktiviti.

“Ini termasuklah kerjasama dalam penyelidikan, penubuhan data pengawasan masa sebenar, penubuhan dasar dan garis panduan bagi kumpulan berisiko tinggi selain kempen kesedaran dan pendidikan influenza untuk menggalakkan pengambilan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kumpulan kerja berkenaan sempena sesi dialog media yang membincangkan kelaziman penyakit terbabit di negara ini, bagaimana influenza mempengaruhi kumpulan berisiko tinggi dan peranan pencegahan melalui vaksinasi.

Dialog diadakan dengan kerjasama Sanofi Pasteur itu turut menampilkan panel dibarisi Dr Zamberi sendiri yang juga Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal, Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatalogi Datuk Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Geriatrik Profesor Dr Tan Maw Pin dan Pakar Perunding Kanan Perubatan Pernafasan Profesor Madya Dr Pang Yong Kek.

Dalam sesi itu, Dr Zamberi berkata, influenza lazimnya tidak dipandang serius oleh rakyat Malaysia khususnya kumpulan berisiko tinggi. Namun, influenza boleh menyebabkan wabak dan pandemik pada masa lalu.

“Hari ini, lebih ramai orang melancong atau bercuti sama ada untuk perniagaan, riadah atau menunaikan ibadat. Oleh itu, kita perlu melindungi diri dengan mendapatkan vaksin terhadap influenza sekurang-kurangnya dua minggu sebelum memulakan perjalanan.

“Jemaah haji khususnya patut mendapatkan vaksin influenza. Jangkitan saluran pernafasan diketahui sebagai penyakit yang paling mudah merebak semasa musim haji.

“Kita tidak seharusnya mengambil risiko ketika terdedah terhadap penyakit yang mudah merebak di tempat yang penuh sesak.

“Tambah lagi dengan berjuta-juta jemaah haji yang berhimpun di Makkah setiap tahun. Pemvaksinan ini akan membolehkan jemaah menyempurnakan ibadat mereka dengan fikiran yang tenang kerana mengetahui kesihatan mereka terlindung,” katanya.

Dr Zamberi berkata, golongan dewasa boleh membuat pilihan gaya hidup yang membawa kepada perlindungan kesihatan lebih baik untuk diri sendiri, keluarga dan sebagai penjaga menerusi perbincangan bersama doktor dan menambah ilmu pemvaksinan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 3:36 AM