BELON atau pengembang dimasukkan untuk memulihkan struktur bahagian terkesan akibat trauma.
BELON atau pengembang dimasukkan untuk memulihkan struktur bahagian terkesan akibat trauma.
Nurul Husna Mahmud

Bidang pembedahan plastik tidak terhad pada pembedahan estetika semata-mata, malah termasuk pembedahan rekonstruktif yang meliputi kes-kes kecemasan seperti nahas jalan raya dan melecur kebakaran.

Pakar Perunding Bedah Plastik, Rekonstruktif dan Estetika Pusat Perubatan Pakar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Wan Syazli Rodzaian Wan Ahmad Kamal berkata, ketika Ramadan dan mendekati hari perayaan, dianggarkan setiap minggu ada kes membabitkan mangsa kemalangan atau luka kebakaran yang memerlukan pembedahan rekonstruktif bagi pemulihan dan pembentukan kembali wajah dan struktur tubuh.

“Mendekati musim perayaan, kebanyakan kes diterima di unit kami membabitkan luka yang kompleks akibat kemalangan jalan raya atau luka melecur kebakaran. Sepanjang tahun kes sebegini tetap ada, namun bilangannya meningkat ketara pada musim perayaan.

Ia disebabkan penambahan bilangan kenderaan di jalan raya bagi kes kemalangan manakala kes melecur didorong peningkatan aktiviti mengunjungi bazar serta persiapan raya.

“Satu kes yang saya sifatkan paling tragis membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun yang melecur lebih 70 peratus akibat disiram sup panas di bazar Ramadan tahun lalu.

“Terkilannya mangsa tidak dapat diselamatkan kerana kedalaman luka melecur yang terlalu kritikal termasuk kerosakan pada saluran organ seperti paru-paru, buah pinggang dan jantung. Kes lain yang sering dipandang ringan sedangkan kesan kecederaan tinggi ialah kemalangan ketika di dapur. Aktiviti di dapur iaitu memasak lauk-pauk untuk juadah berbuka atau hari raya juga boleh mengundang kemalangan luka melecur terhadap orang dewasa mahupun kanak kanak.

“Selain kes melecur terkena air panas, kecederaan akibat bermain mercun juga adalah antara kes yang biasa kami terima. Kemalangan akibat mercun merujuk pada kesan letupan belerang daripada meriam dan tubuh terkena besi bunga api.

“Bagi orang dewasa pula pernah berlaku insiden kecederaan akibat terjatuh dalam kawah dodol dan dodol tumpah mengenai tubuh. Dodol likat dimasak atas api mempunyai suhu tinggi menyebabkan mudahnya mendapat risiko melecur sehingga 90 peratus selain kehilangan nyawa andainya bantuan kecemasan tidak diberi secepat mungkin.

“Apabila berdepan situasi sebegini, tindakan segera yang patut diambil ialah mengalihkan dulu punca yang menyebabkan kemalangan. Langkah menurunkan suhu bahagian yang tercedera juga penting.

“Ketika menyejukkan kawasan terbakar, pastikan tidak menggunakan air terlampau sejuk kerana boleh menyebabkan pengecutan saluran darah di situ. Ini berpotensi menyebabkan kecederaan dalaman bertambah teruk.

Elak menggunakan bahan asing seperti ubat gigi, kicap, sos tiram untuk disapu pada luka kebakaran kerana boleh menyebabkan kecederaan lebih teruk selain kebimbangan jangkitan kuman. Apabila luka tercemar dengan bahan asing, ia akan menyukarkan pengamal perubatan untuk membuat diagnosis jitu.

“Sebagai rujukan mengenai peratusan kecederaan, satu tapak tangan mewakili satu peratus dan mereka boleh maklumkan segera kepada paramedik sebagai maklumat segera,” katanya.

Rawatan

Sebelum mulakan pembedahan rekonstruktif, sekiranya pesakit mengalami kecederaan pada organ lain, biasanya kes dirujuk kepada pakar yang terbabit termasuk pakar hidung, telinga dan tekak; tulang, bius dan sebagainya. Begitu juga bagi kemalangan, mereka dirujuk kepada ortopedik sekiranya turut mengalami kecederaan seperti patah tulang.

Prinsip rawatan bagi kes luka kompleks akibat kemalangan dan kebakaran tidak jauh berbeza. Rawatan asas merangkumi pembersihan dan rawatan luka sehingga bersih dan jangkitan kuman dikawal. Selanjutnya kemudian, apabila pesakit berada dalam keadaan stabil, barulah pakar bedah plastik menjalankan prosedur pembedahan rekonstruktif. Kaedah rekonstruktif yang boleh dilakukan termasuk graf kulit iaitu kawasan luka ditampal dengan kulit baru.

BELON dimasukkan di bawah kulit untuk membantu meregang.
BELON dimasukkan di bawah kulit untuk membantu meregang.

Kata Dr Wan Syazli, bagi kecederaan lebih kompleks, kaedah pembedahan pemindahan tisu yang umum (free tissue transfer) boleh dijalankan yang mana tisu di bahagian tubuh seperti abdomen, paha dan belakang boleh dipindahkan dengan kaedah pembedahan mikro.

“Bagi kes luka kebakaran, tempoh atau kerumitan pembedahan bergantung pada kedalaman dan peratusan kulit terbakar.

“Satu lagi kaedah pembedahan rekonstruktif boleh diguna ialah kaedah pengembangan tisu (tissue expander). Ia membabitkan alat seperti belon yang dimasukkan di bawah kulit dan diisi air secara berkala setiap minggu untuk mengembangkannya. Alat pengembang tisu ini akan bertindak mengembangkan kulit. Seterusnya kulit ini boleh digunakan bagi mengganti kulit yang rosak akibat luka asal,” katanya.

Menyentuh pesakit berkeperluan khas seperti mempunyai masalah kesihatan lain, Dr Wan berkata, pembedahan dilakukan dalam kawalan optimum dan dipantau dari semasa ke semasa bagi mengurangkan komplikasi pembedahan.

Teknologi terkini adalah penggunaan kulit yang dihasilkan di makmal dikenali sebagai kulit gantian.

Kegunaan kulit gantian adalah untuk kes rekonstruktif benar-benar kompleks yang mana pesakit tidak lagi mempunyai bahagian tubuh asal yang sesuai digunakan sebagai sumber bagi graf kulit.

“Kulit gantian terbahagi dua kategori iaitu semula jadi dan sintetik. Kulit gantian jenis semula jadi antaranya homograf iaitu kulit diambil daripada penderma organ sudah meninggal dunia,” katanya.

Satu lagi kaedah boleh diguna dengan membiakkan sel-sel kulit di makmal iaitu kultur autograf epitelium. Sebaik sel-sel kulit ini mencapai kuantiti diinginkan, ia dipindahkan ke luka pesakit di dewan bedah.

Kulit gantian kategori sintetik dihasilkan daripada bahan bukan semula jadi sebaliknya menggunakan bahan seperti silikon. Ia juga digunakan dalam pembedahan rekonstruktif bagi merawat luka yang kompleks.

KULIT tiruan digunakan bagi tampalan kawasan kulit mati atau cedera.
KULIT tiruan digunakan bagi tampalan kawasan kulit mati atau cedera.

Bagi peringkat estetika pula, rawatan susulan untuk mencantikkan kembali tekstur atau menghilangkan parut boleh dilakukan lepas tempoh pemulihan matang. Ini berkait penggunaan laser dalam merangsang pertumbuhan kolagen pada kulit selain penggunaan gel silikon yang membantu percepatkan pemulihan parut.

Penggunaan pakaian tekanan (compression garment) juga dipraktikkan bagi memastikan parut luka tidak dihasilkan secara berlebihan.

Dr Wan Syazli yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Malaysia (MSPRS) menyarankan masyarakat umum dapatkan nasihat yang sewajarnya daripada pakar perubatan sekiranya ada kemusykilan memandangkan kini ada banyak kaedah pembedahan plastik dan rekonstruktif di negara ini.

Tiga fasa penyembuhan luka

i. Fasa Keradangan

• Dari tempoh luka hingga hari ketujuh

• Tubuh bertindak menghentikan pendarahan dan sel-sel pertahanan tubuh melawan bahan asing dan jangkitan kuman

ii. Fasa Proliferatif

• Tubuh menghasilkan dan memusnahkan kolagen di kawasan luka secara berterusan

• Berlangsung dari hari kelapan sehingga bulan ketiga.

• Kolagen bertindak sebagai peringkat awal pembentukan parut

• Luka yang tidak dirawat dengan sempurna akan mengalami pembentukan kolagen secara berlebihan dan seterusnya mengakibatkan parut yang ketara.

iii. Fasa Kematangan

• Parut mencapai peringkat matang

• Berlangsung dari bulan ketiga hingga ke-12

Bahagian tubuh yang diguna untuk graf kulit

• Keseluruhan ketebalan kulit - bahagian belakang telinga atau tulang selangka di bahagian bahu.

• Separa ketebalan kulit - paha, abdomen atau kulit kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 2:17 AM