ULSER antara kesan kepada pesakit.
ULSER antara kesan kepada pesakit.
Nurul Husna Mahmud

Aidilfitri menyaksikan limpahan makanan apabila hari istimewa itu diraikan sebahagian besar umat Islam dengan menampilkan pelbagai juadah tradisi yang enak.

Namun, bagi penghidap penyakit Crohn yang sedia mengalami masalah seperti luka dalam usus mahupun radang pada organ berkenaan, mereka perlu berwaspada dengan pengambilan makanan yang boleh menyebabkan simptom menjadi lebih teruk.

Makanan tinggi lemak seperti rendang, lemang mahupun makanan pedas atau berempah boleh menimbulkan rasa perut tidak selesa menyebabkan mereka kerap ke tandas.

Dalam satu keadaan, mereka bukan saja berasa kesakitan pada usus malah lebih terganggu dengan gejala seperti ulser mulut selain kemerahan pada kulit akibat komplikasi penyakit itu.

Pada tahap yang lebih serius, usus yang terlampau radang boleh membengkak sehingga tersumbat.

Justeru semestinya usus mereka lebih sensitif menyebabkan gejala seperti radang itu berlaku berbanding individu normal.

Penyakit Crohn merujuk kepada radang yang boleh berlaku pada saluran pemakanan.

Kajian perubatan menerangkan ia berlaku akibat sistem imun badan tidak terkawal menyerang sistem penghadaman pesakit itu sendiri.

Justeru gejala kesakitan merujuk kepada bahagian saluran pencernaan yang terbabit, ia boleh berlaku di mana-mana bahagian bermula dari mulut hingga ke anus.

Namun biasanya penyakit Crohn kerap ditemui pada bahagian akhir usus kecil atau ‘terminal ileum’ mahupun usus besar.

Dalam satu kenyataan Pakar Gastroenterologi dan Perubatan Dalam Jabatan Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Nazri Mustaffa berkata, tiada faktor ketara yang dapat menerangkan punca sebenar masalah radang usus.

“Ramai mempunyai tanggapan salah mengenai penyakit ini apabila membuat kesimpulan radang usus berpunca daripada angin dan salah makan.

“Secara kasarnya penyakit ini mempunyai kaitan dari segi genetik, keadaan persekitaran dan perubahan budaya pemakanan ala Barat dilihat menyumbang kepada masalah ini.

“Pesakit perlu segera merujuk kepada doktor apabila mengalami ketidakselesaan pada perut yang berpanjangan.

“Jika perlu, pemeriksaan endoskopi iaitu penggunaan kamera kecil untuk melihat saluran pemakanan boleh dilakukan.

“Pengambilan tisu untuk pemeriksaan lanjut menggunakan kaedah endoskopi juga boleh dibuat mengikut saranan doktor,” katanya.

Pada masa kini satu daripada teori yang diuji adalah berkenaan konsep mikrobiom usus atau ‘gut microbiome’ yang tidak seimbang.

Mikrobiom usus merujuk kepada organisma halus seperti bakteria, kulat atau virus yang wujud dalam sistem pemakanan seseorang.

Ketidakseimbangan antara kumpulan-kumpulan organisma ini dikatakan boleh menyebabkan radang usus, lantas menyumbang kepada wujudnya pelbagai masalah berkaitan sistem penghadaman.

Tahun lalu sekumpulan pengkaji dari Bahagian Gastroenterologi di Pusat Pengajian Perubatan Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat menemui kaedah terbaru merawat penyakit Crohn menggunakan kaedah penyesuaian mikrobiom dalam usus.

Ketua kumpulan penyelidik berkenaan Gary Wu berkata buat masa ini pesakit Crohn hanya bergantung kepada ubat-ubatan dan bantuan makanan tambahan bagi meringankan gejala penyakit berkenaan yang muncul tidak menentu.

“Menerusi hasil penyelidikan daripada sampel najis 90 kanak-kanak penyakit Crohn berserta 26 kanak-kanak sihat, mendapati bakteria jahat membekalkan enzim urease, yang mengubah urea menjadi ammonia dan mendorong berlakunya ketidakseimbangan dalam usus pesakit.

“Kami melakukan kajian terhadap spesimen tikus dengan memperkenalkan spesies bakteria tunggal, Escherichia coli.

Jika E coli negatif atau tiada untuk enzim urease, kesihatan usus tikus bertambah baik. Sekiranya E coli mengandungi urease, tikus mengalami radang usus.

“Usaha menyuaikan komposisi maklumat mikrobiota ini kepada pesakit Crohn masih di peringkat kajian dalam memastikan keberkesanan kaedah rawatan terbabit sebagaimana dicapai pada ujian tikus,” katanya.

Justeru gejala berikut perlu diberi perhatian dalam memastikan mereka dapat mengenal pasti penyakit terbabit di peringkat awal.

SALURAN usus membengkak.
SALURAN usus membengkak.

Gejala penyakit Crohn

• Sakit perut dengan kekejangan

• Cirit-birit yang berpanjangan

• Pengurangan berat badan

• Kurang tenaga

• Kesakitan biasanya bermula dalam masa satu jam makan dan paling sering tertumpu di sekitar pusat, abdomen kanan bawah, atau kedua-duanya.

• Bengkak pada kawasan perut, disertai dengan demam.

• Kemerahan pada kulit yang berkaitan dengan radang pada saluran usus

• Ulser pada mulut

• Radang pada mata

• Radang pada sendi

• Darah pada najis

• Kira-kira satu pertiga pesakit Crohn didiagnosis dengan penyakit perianal atau keluarnya cairan pada atau di sekitar anus kerana keradangan dari saluran ke dalam kulit (fistula).

Punca penyakit tidak diketahui. Namun, penelitian menunjukkan kombinasi faktor termasuk:

• Genetik. Individu yang ada sejarah penyakit ini dalam keluarga berisiko mengalaminya.

• Sistem imun terganggu. Ketidakseimbangan mikrobiom usus dikatakan menyumbang kepada penyakit ini.

• Faktor persekitaran. Pemakanan ala Barat, suasana persekitaran yang terlalu bersih, kurangnya penyusuan ibu, penggunaan antibiotik yang berlebihan semuanya boleh dikaitkan dengan kemungkinan terjadinya penyakit Crohn.

Rawatan

Tiada ubat dapat menyembuhkan masalah keradangan usus penyakit Crohn secara total. Namun, rawatan boleh diberikan berdasarkan tahap keseriusan penyakit.

Pada peringkat permulaan, ubat seperti mesalazine atau prednisolone boleh digunakan bagi mengawal penyakit. Azathioprine juga boleh digunakan jika perlu.

Jika ubat-ubat ini tidak cukup berkesan pesakit akan diberikan rawatan antibodi monoklonal.

Di Malaysia, ubat antibodi monoklonal yang biasa digunakan untuk rawatan penyakit Crohn adalah infliximab, adalimumab serta vedolizumab.

Namun, jika pesakit berada pada tahap serius dan mempunyai komplikasi penyakit contohnya saluran usus tersumbat (‘intestinal obstruction’), pembedahan perlu dilakukan pada kadar segera bagi menyelamatkan nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 1:40 AM