MUZA tampil kelainan dengan watak aksi.
MUZA tampil kelainan dengan watak aksi.
Syafil Syazwan Jefri


JIKA sebelum ini, nama dan wajah pelakon, Muaz Fitri menghiasi kaca TV menerusi watak dalam drama serta membawa watak jahat, kini dia memilih hala tuju berbeza.

Bagi menampilkan kelainan dan pada masa sama ingin menyajikan kepelbagaian dalam kemampuan lakonannya, Muaz kini cuba beralih arah dengan melakonkan watak aksi.

Terbaharu, Muaz kini menjalani penggambaran untuk filem pendek berjudul Inflakasta.

"Kalau dilihat daripada transisi karier lakonan saya, saya dah cuba melakonkan watak dalam drama dan ada beberapa watak jahat. Kali ini saya ingin tampilkan sedikit kelainan.

"Untuk menambah kepelbagaian dalam lakonan, saya terima tawaran untuk berlakon watak aksi seperti dalam filem pendek ini," katanya.

Selain mencabar kemampuan diri dan kebolehan sebagai pelakon, Muaz juga ingin mencuba watak lain yang lari jauh daripada kebiasaan dirinya.

"Saya suka mencabar kemampuan lakonan saya bagi meneroka pelbagai skil baharu. Selain aksi, mungkin pada masa akan datang, saya nak cuba watak komedi," katanya.

Berkongsi pengalamannya menjayakan karya bergenre aksi itu, Muaz juga diduga dengan ujian kecil apabila berdepan kecederaan ketika penggambaran berlangsung.

"Ketika menjalani penggambaran Inflakasta, berlaku sedikit kemalangan kecil menyebabkan saya cedera di buku lali.

"Doktor maklumkan ligamen kaki saya terkoyak, namun tidak terlalu serius. Apa-apa pun, itu semua adalah pengalaman buat saya memandangkan hampir semua pelakon dalam filem itu melakukan sendiri aksi pertarungan," katanya.

Selain Muaz, Inflakasta turut dibintangi Daniel Lim Santoso dan Nadeera Zaini.

Selain Inflakasta, Muaz kini menjalani penggambaran drama berjudul Cinta Yang Tertangguh dan akan memulakan penggambaran satu lagi drama aksi berjudul Kalis Peluru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 6:07 AM