KUMPULAN Dolla kini berjaya mempunyai kelompok peminat tersendiri.
KUMPULAN Dolla kini berjaya mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Norhayati Nordin


DI mana ada usaha, pasti di situ ada jalan untuk menikmati kejayaan. Itulah yang boleh dilihat dan dikatakan pada perjuangan muzik kumpulan Dolla.

Pernah didakwa persis jelmaan kumpulan K-Pop terkenal Korea Selatan iaitu BLACKPINK, ternyata Dolla tidak cepat melatah. Mereka tahu, genre muzik yang diperjuangkan.

Apa-apa pun, kemunculan lagu kedua Dolla berjudul Impikan yang dihasilkan dalam bahasa Malaysia, manakala Watch Me Glow dalam bahasa Inggeris akhirnya berjaya membuka mata banyak pihak.

Bahkan, kedua-dua versi lagu itu mendapat perhatian daripada YouTuber tempatan dan luar negara untuk membuat reaksi dan penilaian mereka terhadap identiti muzik Dolla.

Dianggotai empat wanita jelita iaitu Sabrina atau Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya, kini Dolla boleh dilabel sudah berjaya dikenali ramai meskipun ketika krisis pandemik Covid-19 belum berakhir di seluruh dunia.

Sabronzo berkata mereka sebenarnya terkejut dan tidak menduga Dolla mampu mengecap populariti secepat dan sejauh ini dengan cara mereka sendiri.

"Kami berempat suka menyanyi dan menari. Ditambah, tidak ramai kumpulan wanita yang memilih konsep muzik rancak dan memerlukan stamina tinggi ketika membuat persembahan.

"Menyanyi dan menari pada masa sama, bukan perkara mudah. Tetapi, kami berusaha lakukannya sebaik mungkin bagi memperkenalkan identiti tersendiri dimiliki Dolla," katanya.

Menurut Sabronzo, lagu Impikan yang video muziknya dilancar pada 30 Oktober lalu berjaya mempersembahkan kepada peminat mengenai perjuangan Dolla mengejar impian.

"Kami (Dolla) ada sasaran pencapaian yang mahu dimiliki. Namun, untuk memperolehnya kami perlu mencari peluang dan menghargainya. Dalam soal ini, Dolla akan terus berusaha.

"Perjalanan muzik dan kerjaya seni kami masih jauh. Banyak pengalaman yang perlu ditimba dan kami sudah pasti tidak boleh berasa cepat selesa dengan apa diraih kini.

"Bagaimanapun, terima kasih kepada peminat yang menerima Dolla dan kekal memberi sokongan padu kepada kami. Terima kasih di atas sambutan baik yang diberikan pada lagu Dolla," katanya.

Terdahulu, pada Mac lalu ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, Dolla muncul dengan lagu pertama mereka berjudul Make You Wanna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:17 AM