PENGUNJUNG boleh memberi makan dan bermain dengan haiwan.
PENGUNJUNG boleh memberi makan dan bermain dengan haiwan.
Hidayatidayu Razali

rencana @hmetro.com.my

SEJAK dibuka kepada umum pada 28 Julai lalu, Mini Zoo Kuala Krai kini menjadi tarikan pelancongan baharu ke Kelantan.

Beroperasi di atas tanah seluas kira-kira dua hektar di Bukit Banding, Kuala Krai, mini zoo itu antara lokasi sesuai untuk membawa kanak-kanak dan seisi keluarga bersantai melihat haiwan.

Berbeza dengan mini zoo lain, ia direka dengan konsep 'Symbiotic Pith' iaitu 'Manusia dan Alam' yang saling bergantungan antara satu sama lain dalam satu pusat tumpuan rekreasi.

Mini zoo berkenaan juga berkonsepkan 'petting zoo' di mana pengunjung dapat berinteraksi dan memberi makan sendiri kepada haiwan.

Selain itu, terdapat bangunan mini Aquaria yang menempatkan pelbagai spesies ikan.

Lebih menarik, ada juga tiga air terjun buatan dalam mini zoo berkenaan untuk menyerlahkan lagi elemen suasana yang damai.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guchil, Hilmi Abdullah, sejak dibuka mini zoo itu mendapat perhatian ramai apabila dikunjungi ribuan pengunjung setiap hari.

Katanya, ada lebih 30 spesies haiwan yang menjadi daya tarikan di mini zoo berkenaan dan semuanya ditempatkan di 50 kandang khas.

KAWASAN zoo yang luas dan selesa untuk seisi keluarga.
KAWASAN zoo yang luas dan selesa untuk seisi keluarga.

"Antara tarikan utama adalah unta berusia setahun dari Australia yang diberi nama Kamal dan cerdik selain menyahut apabila dipanggil.

"Ia dibeli ketika usianya sebulan dan dijaga dengan rapi oleh penjaga khas yang mempunyai pengalaman.

"Selain itu, haiwan lain yang turut menjadi tarikan adalah pelbagai spesies burung termasuk kakak tua, serangga, iguana dan sebagainya," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan berkata, setiap bulan pihak mini zoo juga membawa haiwan liar lain termasuk gajah untuk dipamerkan.

Kata Hilmi, langkah itu diambil bagi membolehkan pengunjung merasai pelbagai pengalaman baharu termasuk melihat haiwan liar dan jinak di mini zoo berkenaan.

Katanya, dari segi sejarah, zoo itu bermula pada 1964 atau 58 tahun lalu dengan nama Markas Tua.

"Ia mula beroperasi pada 24 Disember 1964 di atas tanah seluas 0.4 hektar sebelum dipindahkan ke Bukit Banding di atas tanah kira-kira dua hektar pada 1989.

"Pada 2005 pula, ia ditukarkan status kepada Taman Burung Kuala Krai sebelum ditamatkan operasinya pada 2011," katanya.

UNTA bernama Kamal menjadi tarikan utama di mini zoo berkenaan.
UNTA bernama Kamal menjadi tarikan utama di mini zoo berkenaan.

ANTARA spesies haiwan yang boleh ditemui.
ANTARA spesies haiwan yang boleh ditemui.

Selain itu, pembukaan mini zoo berkenaan juga membantu menghidupkan kembali bandar Kuala Krai yang selama ini seolah-olah 'mati' selepas perpindahan Hospital Kuala Krai ke lokasi baharu.

Sementara itu, pengunjung, Nik Zubaidah Yusuff, 47, berkata, dengan adanya mini zoo berkenaan membolehkan dia membawa anak istimewanya, Nik Hasif Syukran Sharuddin, 12, yang mengalami sindrom Down untuk melihat dan mengenali pelbagai jenis haiwan.

Suri rumah yang tinggal di Kampung Keroh, Kuala Krai itu berkata, dia bersama rakannya dari Kota Bharu turut membawa anak-anak istimewa mereka untuk beriadah bagi mengisi masa lapang.

"Ternyata anak saya gembira dan teruja kerana berpeluang melihat pelbagai jenis haiwan yang sebelum ini tidak pernah dilihatnya secara dekat.

"Selain itu, lokasi mini zoo ini juga strategik kerana ia berada di bandar Kuala Krai yang memudahkan pengunjung sama ada dari Kota Bharu atau daerah lain untuk berkunjung ke sini," katanya.

TUMPUAN pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah dari seluruh Kelantan.
TUMPUAN pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah dari seluruh Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:00 AM