MEMULAKAN kayuhan solo mengelilingi Semenanjung.
MEMULAKAN kayuhan solo mengelilingi Semenanjung.
Muhamaad Razis Ismail


PEMILIK nama ini antara yang cukup dikenali di dalam dan luar negara apabila mencipta nama selepas berjaya melakukan pelbagai aktiviti lasak yang unik dan berbeza.

Khairil Aslan Ab Rashid, 47, pernah mengayuh basikal jenis Fat Bike di glasier ais di Chadar, India dan menawan tiga puncak Himalaya di Kathmandu, Nepal.

Selepas dua tahun berehat dari projek besar akibat pandemik Covid-19, bapa kepada empat anak ini memulakan tahun baharu 2022 dengan berkayuh secara solo mengelilingi Semenanjung dengan basikal jenis Fat Bike.

Menariknya, sepanjang kayuhan dianggarkan lebih 2,200 kilometer (km) itu, Khairil Aslan akan mengenakan baju batik Sarawak.

Khairil Aslan memulakan kayuhan solonya di Greenwood, Gombak pada 13 Januari lalu dan dijangka menamatkan ekpedisinya di Puchong, Selangor pada Februari depan.

Ketika ditemui, Khairil Aslan berkata, ekspedisi ini dijalankan sebagai pemanas badan sebelum projek besarnya G3 8000ers 2023 iaitu menawan tiga gunung berketinggian 8,000 meter pada 2023.

"Sebenarnya projek kayuhan solo ini sudah lama dirancang, namun disebabkan pandemik ia tertangguh sehingga dapat dilaksanakan pada bulan ini.

"Projek ini adalah sebahagian latihan untuk mengembalikan momentum fizikal dan mental bagi misi menawan tiga gunung iaitu Everest, Makalu dan Lhotse pada tahun depan," katanya di Pejabat Urusan Ana Global Ventures Greenwood, Gombak, Selangor.

Mengulas lanjut, untuk projek kayuhan solo ini, beliau akan menempuh perjalanan sejauh lebih 2,200km selama 40 hari.

KHAIRIL Aslan kelilingi Semenanjung 40 hari sebagai latihan misi tawan tiga gunung tahun depan.
KHAIRIL Aslan kelilingi Semenanjung 40 hari sebagai latihan misi tawan tiga gunung tahun depan.

BERSAMA keluarga yang banyak memberi sokongan.
BERSAMA keluarga yang banyak memberi sokongan.

"Saya memulakan kayuhan dengan menuju negeri di bahagian selatan tanah air sebelum ke pantai timur, diikuti utara dan dijangka berakhir di Puchong pada Februari depan.

"Sepanjang perjalanan saya akan berhenti di 55 'pit stop' untuk berehat selain beramah mesra dengan masyarakat setempat," katanya.

Jelasnya, biarpun sudah menjalankan projek sama, kali ini beliau bakal berdepan cabaran berbeza berikutan perlu mengayuh basikal bersama muatan dengan berat keseluruhan lebih 50 kilogram.

"Pada masa sama, saya dijangka berdepan cuaca yang sangat panas yang boleh mencecah lebih 35 darjah Celcius.

"Saya juga akan berdepan angin kuat apabila banyak menggunakan laluan berhampiran pantai dan pendakian yang curam dan panjang.

"Apa pun saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk berdepan segala cabaran sepanjang kayuhan ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau suka mencabar dirinya untuk melakukan kelainan dalam aktiviti lasak yang digemari.

"Bagi saya satu kejayaan itu bukan terletak kepada destinasi yang dituju kerana ia tidak terlalu penting atau mahal berbanding perjalanan yang ditempuhi.

"Oleh itu, saya suka melakukan aktiviti lasak supaya dapat membawa pulang dan kongsi ilmu yang diperoleh ini dengan orang ramai.

"Harapan saya ilmu ini dapat menjadi inspirasi kepada mereka untuk berjaya dalam bidang yang diceburi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:47 AM