Muhamaad Razis Ismail


KESIBUKAN tugas menyebabkan ramai yang mengambil peluang untuk berehat seketika bagi meredakan tekanan.

Kebiasaannya bagi warga kota yang tinggal di sekitar Lembah Klang, hujung minggu antara waktu paling sesuai untuk bercuti dan beriadah.

Kebanyakkan daripada mereka ingin lari seketika daripada kesibukan dan hiruk-pikuk kota ke tempat yang tenang dan mendamaikan.

Bagaimanapun, untuk ke lokasi percutian memenuhi ciri-ciri seumpama itu amat sukar ditemui selain terletak agak jauh.

Baru-baru ini penulis berpeluang menikmati keindahan lokasi eko pelancongan di Sri Damai Resort, Kalumpang, Selangor yang menjadi tumpuan warga kota sejak beberapa tahun lalu.

Penulis yang hampir dua tahun tinggal Lembah Klang baru mengetahui kewujudan lokasi unik ini yang sebenarnya hanya terletak kira-kira sejam perjalanan daripada Kuala Lumpur.

SESUAI untuk mereka yang inginkan ketenangan.
SESUAI untuk mereka yang inginkan ketenangan.

Lokasi ini cukup mudah ditemui menggunakan aplikasi Waze. Daripada tol Tanjung Malim, Perak, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk tiba di Sri Damai Resort melalui jalan bertar.

Sebaik tiba, penulis berpeluang bertemu pemiliknya Datuk Ruslee Hashim untuk mengetahui lanjut berkenaan resort berkenaan.

Uniknya kedudukan ada penginapan yang benar-benar bersebelahan dengan sungai bersih dan sejuk sehingga boleh mendengar dengan jelas air yang mengalir diselangi 'nyanyian' unggas hutan.

Sebenarnya, banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini termasuk menunggang kenderaan serba rupa bumi (ATV), hari keluarga, kursus, berkelah, mandi sungai, mendaki, berbasikal dan berkuda.

AKTIVITI bermandi-manda.
AKTIVITI bermandi-manda.

Apatah lagi lokasi ini mempunyai pakej lengkap untuk mereka yang dahagakan ketenangan dengan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung.

Berkeluasan 3.2 hektar, selain memiliki 32 penginapan (chalet, inap desa dan dorm), kemudahan lengkap lain turut disediakan seperti bekalan elektrik, air, surau, kafe, dewan, kolam renang, kolam memancing dan sebagainya.

Tarikan lain pastinya, pelbagai haiwan yang dipelihara di sini termasuk rusa, burung unta, kuda dan kambing yang boleh dilihat dengan lebih dekat oleh pengunjung.

Ruslee berkata, kawasan terbabit adalah destinasi eko pelancongan yang amat sesuai untuk dikunjungi semua lapisan masyarakat terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang.

SELESA untuk berkhemah dengan keluarga.
SELESA untuk berkhemah dengan keluarga.

"Rata-rata mereka yang terpaksa berdepan banyak tugasan di pejabat dan kesibukan jalan raya pada setiap hari sememangnya inginkan suasana kampung serta alam semula jadi.

"Atas faktor itu saya nampak ada kelompongan yang boleh diisi dengan membangunkan lokasi eko pelancongan berhampiran Lembah Klang.

"Kita menyediakan jalan penyelesaian kepada mereka tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh bagi mendapatkan ketenangan dan kedamaian sekali gus membantu mengembangkan industri pelancongan setempat," katanya.

Beliau berkata, setakat ini majoriti pengunjung memberi maklum balas positif yang berpandangan ini antara lokasi yang wajar dikunjungi.

Bagi mengekalkan keindahan alam semula jadi, pembangunan di kawasan itu dirancang dengan cukup teliti dan rapi untuk mengelakkan kesan terhadap flora serta fauna di sini.

KEMUDAHAN dewan turut disediakan.
KEMUDAHAN dewan turut disediakan.

"Saya akan pastikan setiap pokok yang ada di sini tidak usik dan ditebang dengan sewenang-wenangnya.

"Kebersihan juga sentiasa diutamakan untuk keselesaan pengunjung," katanya.

Jelasnya, pihaknya sentiasa mengutamakan kepuasan pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan terbaik.

"Semua 15 pekerja di sini terlatih dan sentiasa ingin memberikan yang terbaik kepada pengunjung.

"Malah kebanyakan pekerja terdiri daripada penduduk tempatan sekali gus dapat membantu mereka mendapat peluang pekerjaan," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, beliau berhasrat memperhebatkan lagi promosi untuk menarik bukan hanya pelancong domestik malah dari luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 7:01 AM