GG Retreat Bukit Tasik Serendah antara lokasi perkhemahan menarik di ibu negara yang boleh dicuba untuk penggemar aktiviti berkhemah.
GG Retreat Bukit Tasik Serendah antara lokasi perkhemahan menarik di ibu negara yang boleh dicuba untuk penggemar aktiviti berkhemah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

AKTIVITI riadah seperti berkhemah semakin mendapat tempat di hati rakyat negara ini.

Perkhemahan secara santai dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik seperti mandi sungai, mandi laut, memancing, melihat bintang, barbeku kini menjadi pilihan utama ibu bapa untuk mengisi waktu hujung minggu atau ketika cuti sekolah.

Selain memberi pendedahan kepada keindahan alam semula jadi, ia juga secara tidak langsung dapat memupuk minat kanak-kanak bagi menjaga dan memelihara khazanah warisan untuk generasi masa hadapan.

Ada banyak tapak perkhemahan di seluruh negara untuk dikunjungi dan kita bertuah kerana Malaysia kaya dengan kawasan hijau yang masih kekal terpelihara.

Bagi yang mahu cuba berkhemah, berikut adalah beberapa lokasi perkhemahan yang boleh dikunjungi:

AKTIVITI berkhemah kini semakin digemari ramai.
AKTIVITI berkhemah kini semakin digemari ramai.

Selangor

Kemensah Valley Recreation & Chalet

Lokasi perkhemahan ini sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti berkhemah kerana ia terletak hanya 30 minit dari ibu negara.

Pelbagai kemudahan disediakan dan kawasan tapak perkhemahannya luas manakala sewa yang dikenakan juga berpatutan.

Selain mandi sungai dan barbeku, di sini juga ada beberapa aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti merentas hutan, mendaki bukit dan memancing.

GG Retreat Bukit Tasik Serendah, Serendah

Antara lokasi perkhemahan menarik di ibu negara yang boleh dicuba untuk penggemar aktiviti berkhemah.

Ia menyediakan kemudahan tapak khemah dan gazebo dengan pelbagai kemudahan asas yang selesa.

Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini antaranya 'night walk', mandi sungai, naik 'motorcross', ATV, memancing dan banyak lagi.

River & Glamp, Ulu Yam

Tapak perkhemahan yang terletak di tepi sungai dan hanya 15 minit dari Batu Caves, Selangor.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuk menelusuri sungai menggunakan tiub besar atau tubing, mandi sungai, berbasikal dan ATV.

Perak

Denai Kabus, Gerik

Terletak di kaki Gunung Kenderong, Kampung Pahat, Gerik.

Ia antara lokasi popular penggemar aktiviti perkhemahan kerana lokasinya nyaman dan berkabus umpama di luar negara.

Denai Kabus mempunyai pemandangan menarik berlatarkan 'The Twin Sisters of Hulu Perak,' Gunung Kenderong dan Kerunai.

DENAI Kabus mempunyai pemandangan menarik berlatarkan ‘The Twin Sisters of Hulu Perak,’ Gunung Kenderong dan Kerunai.
DENAI Kabus mempunyai pemandangan menarik berlatarkan ‘The Twin Sisters of Hulu Perak,’ Gunung Kenderong dan Kerunai.

Perlis

Nakawan Base Camp, Bukit Air

Kawasan tapak perkhemahan ini bersih dan mempunyai banyak kemudahan asas seperti tandas, surau, tempat mandi dan bekalan elektrik.

Lebih istimewa, ia berdekatan dengan air terjun yang boleh untuk mandi-manda.

Terengganu

TWCampstay, Pantai Tok Jembal

Lokasi perkhemahan yang menghadap Laut Cina Selatan dan menyediakan pelbagai aktiviti sukan air.

Latar dekorasinya yang tersendiri ala kehidupan di pulau menarik perhatian ramai dan sesuai untuk golongan muda.

Pahang

Rimba Valley Motor Campsite, Janda Baik

Selain tapak perkhemahan, ia juga menyediakan kemudahan penginapan dalam karavan dan rumah kayu.

Pelbagai kemudahan disediakan dan pengunjung juga boleh memancing dan menaiki ATV.

RIMBA Valley Motor Campsite.
RIMBA Valley Motor Campsite.

Hikers Paradise, Cameron Highlands

Lokasi perkhemahan yang nyaman, berkabus dan penuh privasi.

Ia terletak di Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa dan berhampiran sungai.

Johor

Tiger Base Camp, Tanjung Sedili, Johor

Tapak perkhemahan yang luas dan selesa di tepi pantai yang dikelilingi pokok rhu.

Kawasannya sangat redup, tidak terlalu panas dan pantainya tidak ramai pengunjung kerana terletak bukan di kawasan utama.

Antara kemudahan yang disediakan adalah tandas, peralatan barbeku dan banyak lagi.

TIGER Base Camp, tapak perkhemahan yang luas dan selesa di tepi pantai dikelilingi pokok rhu.
TIGER Base Camp, tapak perkhemahan yang luas dan selesa di tepi pantai dikelilingi pokok rhu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 6:30 AM