Hafiz Ithnin

MEMPUNYAI keluasan yang dianggarkan 478.5 kilometer persegi, Pulau Langkawi yang cukup terkenal dengan jolokan Permata Kedah, sememangnya sebuah dunia percutian yang cukup inklusif.

Penulis yang mengunjungi pulau itu selama empat hari untuk menerokai Pulau Langkawi dari sisi lain, sememangnya belum merasa puas.

Penulis yang diterbangkan dari Kuala Lumpur menerusi syarikat penerbangan AirAsia dengan kerjasama Tourism Malaysia yang menganjurkan Ekspresi Media Langkawi 2021 atas tiket tugasan liputan, mendedahkan delegasi media tempatan mengenai rantaian produk yang mencakupi pelbagai segmen usia.

Bermula dengan menerokai Pulau Tuba iaitu salah satu daripada 99 gugusan pulau di Pulau Langkawi, pengunjung dapat menikmati pengalaman yang berbeza kerana ia menawarkan dunia privasi tersendiri.

Dengan bayaran RM5 menaiki bot penumpang dari Jeti Kuah sejauh kira-kira 5 kilometer (KM), pengunjung dapat menikmati pengalaman dunia kampung yang mempesona.

Apatah lagi, jika pusing pulau menaiki motosikal anda dapat berhenti di banyak lokasi yang menarik untuk bergambar antaranya menyaksikan pemandangan sawah padi dan kerbau yang asyik berkubang di Kampung Tengah atau dikenali sebagai Buffalo Park.

Di pulau ini juga anda boleh melakukan aktiviti pendakian mini di Bukit Kecik yang hanya perlu menaiki tangga kurang lima minit.

ANTARA panorama memukau ketika sepanjang aktiviti jetski.
ANTARA panorama memukau ketika sepanjang aktiviti jetski.

Menariknya di Bukit Kecik yang turut berada di Kampung Tengah, anda dapat melihat formasi 'kontur' batuan batu kapur yang berusia 350 juta tahun yang amat unik.

Malah, terdapat juga cengkerang kuno yang menunjukkan bahawa pulau itu pada masa dahulu berada di bawah laut.

Jika bertandang ke Pulau Tuba, tidak lengkap jika tidak menikmati hidangan mi udang. Penulis dibawa menikmati menu popular itu di Restoran Ombak Rindu yang bukan seekor udang di dalam pinggan tetapi lima udang harimau dengan hanya RM8 sepinggan sahaja! Ternyata 'harga marhaen.'

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti bersiar di sekeliling Pulau Langkawi, jangan lepaskan peluang untuk bertandang ke Biogeotrail Kubang Badak.

Dalam persiaran yang mengambil masa tiga jam itu, ia cukup sesuai untuk memberi pendedahan kepada anak-anak terutamanya mengenai sejarah Pulau Langkawi, dunia sains dan menikmati panorama alam semula jadi yang unik.

Apatah lagi dalam aktiviti itu, anda dapat mengunjungi beberapa destinasi seperti Bukit Pinang yang mempunyai Gua Kelawar untuk diterokai.

BUFFALO Park antara lokasi yang menarik untuk bergambar.
BUFFALO Park antara lokasi yang menarik untuk bergambar.

PENDAKIAN mini ke Bukit Kecik.
PENDAKIAN mini ke Bukit Kecik.

Penulis juga berkesempatan menikmati aktiviti air iaitu bermain jet ski dengan menggunakan khidmat operator tempatan, Mega Water Sport ternyata ia menawarkan suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Ia kerana menerusi pakej 'fun island hoping,' penulis dibawa sejauh 30 kilometer atau empat jam perjalanan ke beberapa destinasi antaranya Pulau Dayang Bunting dan Pulau Singa Besar.

Sepanjang perjalanan menaiki jentera air itu yang dipandu sendiri, penulis merasa aktiviti itu amat mencabar tetapi menyeronokkan.

Apatah lagi, sepanjang perjalanan, terasa begitu tamak untuk berhenti merakam panorama indah di sekelilingnya.

Namun, pastikan anda mendapatkan penunjuk arah yang berpengalaman untuk memastikan perjalanan anda sentiasa dalam keadaan selamat.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti seni, jangan lupa untuk mengunjungi Balai Seni Negara di Dayang Walk Commercial Square Kuah yang mempunyai pelbagai aktiviti seni.

MI udang yang popular di Pulau Tuna.
MI udang yang popular di Pulau Tuna.

PAMERAN foto mengenai Langkawi yang berlangsung di Balai Seni Negara Langkawi.
PAMERAN foto mengenai Langkawi yang berlangsung di Balai Seni Negara Langkawi.

PAMERAN berbentuk interaktif menerusi imbasan telefon pintar.
PAMERAN berbentuk interaktif menerusi imbasan telefon pintar.

Ketika penulis mengunjungi destinasi itu, sedang berlangsungnya pameran fotografi sejarah Langkawi yang menghimpunkan lebih 200 gambar berkaitan pulau itu dan masyarakatnya seawal 1950-an.

Justeru, jika anda bercadang untuk ke Pulau Langkawi bersama keluarga, mungkin boleh melawat lokasi yang dikunjungi dan aktiviti yang dilakukan penulis ini. Ayuh ke Langkawi!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 7:00 AM