PERSEMBAHAN pencak silat oleh anak muda tempatan.
PERSEMBAHAN pencak silat oleh anak muda tempatan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


TIDAK banyak yang penulis tahu mengenai pekan kecil Lenggeng, melainkan kisah hutan lipurnya yang satu ketika dahulu pernah viral dengan reputasi hutan air terjun paling menyeramkan di Malaysia.

Hakikatnya sebaik melangkah ke pekan kecil sebagai peserta Fiesta Bio Ekonomi Pelancongan Lenggeng, Negeri Sembilan anjuran My Altitude 30 Travel and Tours Sdn Bhd, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban baru-baru ini, nyata memiliki tarikan tersendiri.

Sebagai peminat aktiviti rekreasi dan juga pencinta adat resam budaya, perjalanan meneroka destinasi yang terdapat di sekitar Lenggeng memberikan pengalaman cukup bermakna.

Lawatan selama tiga hari dua malam itu bermula dengan kunjungan ke Hutan Lipur Lenggeng yang terletak dalam Hutan Simpan Setul. Pintu masuk ke hutan itu tidak jauh dari jalan utama kampung Pantai dan Lenggeng mudah diakses sesiapa sahaja.

Ketibaan penulis bersama jurufoto, Rohanis Shukri dan 40 peserta lain termasuk pemilik syarikat serta ejen pelancongan, diraikan penuh meriah oleh warga Lenggeng dengan pertunjukan pencak silat dan tekpi.

Tekpi adalah sejenis senjata besi yang digunakan sebagai alat mempertahankan diri. Kini ia sering digunakan dalam pertunjukan untuk majlis keramaian tempatan.

Selain persembahan kebudayaan, kami turut dihidang dengan sajian kampung cita rasa Negeri Sembilan seperti gulai lemak daging salai dan juga rendang maman daging salai yang sempurna dinikmati bersama nasi serta lemang. Boleh dikatakan cara tuan rumah atau orang tempatan meraikan kehadiran kami seperti suasana kenduri kendara di kampung.

Mengenai panorama sekitar hutan rekreasi pula, terdapat jeram cetek dan bertingkat membuatkan ia unik untuk diterokai. Malah terdapat ruang landai dan terbuka di kawasan sama, sesuai buat mereka yang gemar aktiviti berkhemah mahupun berkelah.

PANORAMA air terjun yang terdapat di Hutan Lipur Lenggeng.
PANORAMA air terjun yang terdapat di Hutan Lipur Lenggeng.

Malah kawasan hutan itu cukup terjaga selain mempunyai kemudahan seperti tandas untuk orang awam.

Usai acara di tapak perkelahan terbabit, kami meneruskan kunjungan ke destinasi pelancongan agro iaitu Nabila Farm. Masih mengekalkan pengisian ala eko pelancongan, aktiviti ikhtiar hidup berlangsung sekitar dua jam mengisi slot petang itu.

Ketika sesi itu berlangsung, peserta terdedah dengan pengetahuan dan skil penting untuk menjalani aktiviti lasak baik di hutan ataupun di luar.

Dalam sesi itu jurulatih sukan rekreasi dikenali dengan Sam berkongsi pengalaman beliau lebih 20 tahun dalam pembabitan sukan lasak. Kami turut diberi peluang mencuba sendiri aktiviti menyalakan api iaitu antara kemahiran penting ketika kecemasan.

Selesai sesi ikhtiar hidup kami dibawa menaiki tram (gerabak khas ditarik dengan traktor) bagi melawat sekitar kawasan percutian ala ladang itu. Lokasi percutian itu terletak dalam ladang kelapa dan menempatkan beberapa spesies haiwan peliharaan seperti rusa, lembu, kambing dan kuda.

Di hari pertama, kami menikmati pengalaman di lokasi penginapan unik iaitu Jelatok Retreat Farm. Kawasan penginapan itu seperti suasana rumah ladang ala Inggeris apabila ada elemen 'rustic' dan kayu selain tampil putih di keseluruhan bangunan. Namun begitu melihat sudut estetik rekaan bumbung pemiliknya masih menitik berat seni bina rumah Melayu.

Kawasan percutian itu turut memiliki kolam renang dan sudut bersantai serta berkumpul seperti mini stadium. Mood lokasi ini sebenarnya sesuai untuk mereka yang mahu menikmati suasana percutian privasi kerana cukup terasing dalam ladang sawit dan tidak jauh dari hutan simpan. Acara malam kami cukup relaks apabila diserikan dengan persembahan bercerita dan 'busking.'

Tidak jauh dari Jelatok Retreat Farm, pengunjung boleh menikmati suasana menghijau dengan menyusuri trek teraputik kira-kira 15 minit perjalanan kaki sehingga sampai ke destinasi air terjun. Lokasi itu boleh menampung sekitar 50 orang dan boleh untuk berkelah atau bermandi-manda.

TEKPI senjata unik turut diperkenalkan.
TEKPI senjata unik turut diperkenalkan.

JELATOK Retreat Farm berkonsepkan percutian lebih privasi.
JELATOK Retreat Farm berkonsepkan percutian lebih privasi.

PESERTA turut merakam kenangan di Surau Putih.
PESERTA turut merakam kenangan di Surau Putih.

Dalam siri lawatan ke Lenggeng juga, peserta turut diberi pendedahan mengenai sisi unik warisan dan sejarah Orang Melayu Negeri Sembilan. Antara destinasi sejarah yang menjadi persinggahan adalah Surau Putih selain Balai Undang Pantai yang menampilkan seni bina rumah panjang Melayu.

Mengenai surau putih, uniknya surau kayu ini berwarna serba putih dan memiliki seni bina unik. Kini menjadi tempat bagi kelas pengajian agama dan majlis agama.

Sementara itu, Pengarah Urusan My Altitude 30 Travel and Tours Sdn Bhd, Khairul Nizam Amat Zaini, prospek atau produk dimiliki kawasan Lenggeng cukup unik terutama membabitkan pakej eko dan warisan.

"Lenggeng memiliki produk pelancongan unik yang masih ramai tidak tahu atau teroka terutama produk warisannya. Disebabkan ciri-ciri pemerintahan yang unik diamalkan di Negeri Sembilan, termasuk, Pantai Lenggeng.

"Potensi lain sedia sudah popular ialah destinasi pekan ini menjadi tumpuan peminat sukan eko baik mendaki, berbasikal sehingga kepada sukan motor lasak perlu dikembangkan dengan perancangan mewujudkan trek riadah.

"Setakat ini harapan saya dan pihak yang terbabit seperti Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban ialah mahu menjadikan ia hub pelancongan berasaskan eko dan warisan.

"Setidak-tidaknya produk pelancongan Negeri Sembilan boleh dipelbagaikan dan orang ramai tidak hanya tertumpu kepada Port Dickson semata-mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:00 AM