MENGABADIKAN kenangan dengan rakan pendaki di Lata Cuit.
MENGABADIKAN kenangan dengan rakan pendaki di Lata Cuit.
Muhamaad Razis Ismail

MALAYSIA sememangnya kaya dengan keindahan alam semula jadi sehingga menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar negara.

Salah satu daripadanya adalah air terjun Lata Cuit dan Lata Perah di Kampung Lata Janggut, Jeli, Kelantan yang tersembunyi di tengah hutan.

Baru-baru ini, Rozani Abd Shukor Heng yang berasal dari Pulau Pinang berpeluang untuk menikmati keindahan air terjun ini.

Rozani berkata, sebelum ini dia tidak mengetahui kewujudan air terjun ini biarpun sering ke Kelantan.

Katanya, apabila rakannya, Firdaus Razali yang tinggal di negeri Cik Siti Wan Kembang itu menceritakan mengenai keunikan air terjun yang tersembunyi di tengah hutan, dia teruja untuk melihatnya sendiri.

"Sebenarnya, saya dalam perjalanan untuk bercuti ke Terengganu. Jadi saya mengambil peluang untuk singgah di air terjun ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, dia dan rakan tiba sehari lebih awal dan mengambil keputusan untuk berkhemah di Tapak Perkhemahan Sehati Sejiwa di Jeli.

KEINDAHAN Lata Cuit.
KEINDAHAN Lata Cuit.

BEREHAT sebelum meneruskan perjalanan ke Lata Cuit.
BEREHAT sebelum meneruskan perjalanan ke Lata Cuit.

"Oleh kerana tiba awal, saya meluangkan masa ke Lata Perah yang mengambil masa perjalanan selama 30 minit.

"Saya difahamkan masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan air terjun dan keindahannya masih terpelihara," katanya.

Pada keesokkan hari, selepas sarapan, dia bersama rakannya menyertai kumpulan pendaki yang turut berangkat ke Lata Cuit.

"Perjalanan untuk ke air terjun ini tidak mudah seperti yang disangka. Kami terpaksa mendaki tiga bukit yang menguji ketahanan fizikal dan mental.

"Malah perjalanan menjadi semakin sukar apabila salah seorang peserta, tidak boleh berjalan sehingga saya terpaksa mengurut kakinya.

"Pada masa sama, tapak kasut saya tertanggal dan terpaksa diikat dengan

tali untuk meneruskan perjalanan," katanya.

Katanya, bagaimanapun sebaik mendengar deruan air terjun, semangat untuk meneruskan perjalanan kembali membara.

LATA Perah.
LATA Perah.

"Sebaik tiba, penat mendaki terus hilang, apabila dihidangkan dengan keindahan air terjun Lata Cuit.

"Siapa sangka, di tengah-tengah hutan tebal, tersembunyi air terjun yang cantik dan bersih.

"Melihat air yang menderu, membuatkan saya tidak sabar untuk menyegarkan badan dengan berendam di dalam air terjun," katanya.

Rozani berkata, mereka meluangkan masa selama beberapa jam untuk bermandi-manda dan berkelah sebelum bertolak pulang.

"Secara keseluruhan, saya rasa sangat berbaloi ke Lata Cuit selepas terpaksa menempuh pelbagai cabaran untuk ke sini. Saya berharap keindahan alam semula jadi terus kekal terpelihara.

"Nasihat saya kepada yang ingin ke Lata Cuit pastikan anda menggunakan pemandu arah berpengalaman dan memakai pakaian bersesuaian," katanya.

KASUT terpaksa diikat dengan tali.
KASUT terpaksa diikat dengan tali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 6:30 AM