BERKHEMAH di tepi sungai.
BERKHEMAH di tepi sungai.
Nurul Hidayah Sungit


Sebaik kerajaan mengumumkan kelonggaran untuk aktiviti merentas daerah, antara perkara terawal yang penulis rancang adalah bercuti bersama suami dan anak-anak.

Selepas sekian lama dalam 'mood' Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan anak-anak melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), penulis mula tercari-cari lokasi sesuai untuk kami sekeluarga menenangkan fikiran.

Penulis mahukan kelainan untuk anak-anak, namun lokasi itu perlu selamat dan jauh daripada kesibukan kota serta mempunyai pemandangan bukit bukau yang indah, sejuk, nyaman lagi bersih.

Kebetulan kenalan suami menceritakan mengenai satu lokasi menarik dan menepati cita rasa kami iaitu di Felda Trolak Timur, Perak.

Sebelum bertolak, penulis membuat persiapan awal kerana baharu kali pertama ke sana dengan menyediakan kelengkapan perkhemahan dan barang basah.

Pada 25 September lalu, kami sekeluarga bertolak dari rumah di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah, Perak ke Felda Trolak Timur membabitkan perjalanan yang memakan masa satu jam dua puluh minit.

Kami disajikan dengan pemandangan indah bukit bukau dan angin yang sejuk mengiringi perjalanan.

Ladang kelapa sawit yang hijau juga ada di sekeliling dan beberapa aktiviti penduduk kampung yang berniaga di sepanjang jalan itu dapat kami lihat.

Gerai buah-buahan segar dan kuih-muih ada dijual di sana. Di samping dapat bercuti, kita juga boleh merancakkan kembali aktiviti jualan dan ekonomi setempat.

Setibanya di sana, pemandangan pertama yang membuatkan penulis teruja adalah pokok getah di tepi sungai. Masih kelihatan susu getah yang mengalir.

Sungai yang mengalir perlahan dan jernih, seolah-olah menggamit kehadiran pengunjung yang tidak sabar untuk mandi-manda.

Pastinya, anak penulis paling teruja selepas sekian lama terperap di rumah. Sungai yang cetek dan mengalir perlahan sangat sesuai untuk kanak-kanak.

Menariknya untuk masuk ke kawasan ini tiada dikenakan bayaran. Biarpun begitu, penulis tabik dengan Koperasi Felda Trolak Timur yang menguruskan tempat ini dengan baik.

Walaupun tempat ini masih dalam proses naik taraf, kemudahan asas seperti tandas dan tong sampah disediakan untuk pengunjung.

PELBAGAI aktiviti menarik untuk keluarga.
PELBAGAI aktiviti menarik untuk keluarga.

Pengunjung juga boleh mendirikan khemah di sepanjang anak sungai. Aktiviti barbeku juga boleh dijalankan di sepanjang sungai.

Kawasan ini juga berdekatan Bukit Intan yang menjadi tumpuan penggemar aktiviti mendaki.

Sepanjang seharian di sana pelbagai aktiviti santai yang dilakukan penulis bersama keluarga termasuk mengutip getah sekerap dan melihat sendiri penduduk menoreh getah.

Kami juga mendirikan khemah di bawah pokok getah, menjalankan aktiviti barbeku, memancing ikan dan selebihnya adalah aktiviti mandi sungai.

Biarpun hanya sehari, penulis sangat berpuas hati dengan percutian santai ini, sekali gus dapat mencipta kenangan manis yang tidak dapat dilupakan bersama keluarga.

Nasihat penulis kepada pengunjung yang ingin ke sana, sebaiknya rancang percutian dan perjalanan anda.

Jaga kebersihan destinasi yang anda kunjungi dan lebih penting jangan tinggalkan sampah. Kita semua perlu bertanggungjawa

b menjaga kemudahan asas yang disediakan supaya keindahan ini dapat diwariskan kepada anak dan cucu kita kelak. Selamat menikmati keindahan alam!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:22 AM