ZIPLINE Shah Alam kini dibuka semula untuk aktiviti riadah dan rekreasi.
ZIPLINE Shah Alam kini dibuka semula untuk aktiviti riadah dan rekreasi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Penggemar aktiviti lasak kini boleh mencuba keseronokan Zip Line Shah Alam yang sudah dibuka semula sejak Sabtu lalu.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad, kemudahan terbabit beroperasi bermula 10 pagi hingga 6.30 petang (Isnin hingga Jumaat) dan 8.30 pagi hingga 6.30 petang (Sabtu dan Ahad).

Katanya, pengunjung yang mahu menggunakan kemudahan itu hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Antaranya, sudah melengkapkan vaksinasi, pengamalan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada SOP am sektor sukan serta rekreasi.

"MBSA juga menasihatkan orang ramai supaya dapat menggunakan kemudahan ini dengan bertanggungjawab dan mematuhi peraturan serta garis panduan bagi membantu mengawal jangkitan Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, harga bayaran tiket adalah sebanyak RM20 bagi warga Shah Alam, RM10 kanak-kanak, RM20 pelajar (17 tahun dan ke bawah) untuk dua sesi.

Manakala tiket dewasa warga Malaysia adalah RM25 dan RM40 bagi pelancong luar.

Zip Line Shah Alam adalah kemudahan bagi aktiviti 'flying fox' disediakan MBSA di Persiaran Tasik, Seksyen 14.

Aktiviti terbang kelawar atau 'flying fox' sepanjang 240 meter merentasi tasik itu antara produk pelancongan terbaharu di Bandaraya Shah Alam yang dibuka April lalu.

TARIKAN pelancongan terbaharu di Bandaraya Shah Alam.
TARIKAN pelancongan terbaharu di Bandaraya Shah Alam.

Ia dirasmikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang turut berkenan membuat terjunan dengan diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tarikan pelancongan itu juga adalah zipline awam pertama di Malaysia yang diperkenalkan di bawah pihak berkuasa tempatan.

Terletak di Taman Tasik Shah Alam dan difahamkan tarikan terbaharu itu menggunakan sistem teknologi canggih terkini yang diimport dari negara luar.

Pemeriksaan keselamatan sudah dilakukan pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan ciri-ciri keselamatan dipatuhi sepenuhnya sebelum mula beroperasi.

Ia sebelum ini ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 lalu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:40 AM