ANTARA kolam kecil yang boleh dinikmati pengunjung.
ANTARA kolam kecil yang boleh dinikmati pengunjung.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Terletak hanya kira-kira 40 kilometer (km) dari Pekan Kuah di Langkawi, Air Terjun Temurun bukan sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat setempat kerana mempunyai aura pesona yang tersendiri.

Mempunyai ketinggian 200 meter, Air Terjun Temurun secara tepatnya terletak di Hutan Simpan Machincang sememangnya lokasi sesuai untuk aktiviti beriadah bersama keluarga.

Penulis yang berkesempatan mengunjungi salah satu keindahan permata di Pulau Langkawi itu bersama operator perkhidmatan pelancongan, Rimba Segara sememangnya memberikan pengalaman yang amat menarik.

Air Terjun Temurun mempunyai pelbagai kemudahan asas untuk orang ramai mengunjunginya seperti ruang parkir dan pondok untuk berehat.

Tidak sekadar itu, kemudahan tangga batu yang disediakan juga memberi kemudahan kepada pengunjung untuk tiba di kolam paling atas.

Penulis juga tidak perlu berjalan jauh untuk tiba di kolam utama Air Terjun Temurun kerana hanya mengambil masa kurang 10 minit sahaja.

Pada hemat penulis, Air Terjun Temurun hanya mempunyai dua kolam utama yang mempunyai kedalaman berbeza.

AIR Terjun Temurun menawarkan pesona tersendiri.
AIR Terjun Temurun menawarkan pesona tersendiri.

TERDAPAT beberapa peringkat kolam yang boleh dijadikan lokasi beriadah.
TERDAPAT beberapa peringkat kolam yang boleh dijadikan lokasi beriadah.

Sebelum tiba di kolam paling atas, pengujung dapat melihat kolam yang agak cetek, sesuai untuk mereka yang membawa kanak-kanak beriadah di sana.

Manakala di kolam paling atas, ia mempunyai kedalaman yang berperingkat. Ia paling hampir dengan air terjun paling dalam dan disyorkan kepada mereka yang tahu berenang sahaja untuk merasai kenikmatan jatuhan air terjun yang memukau itu.

Air Temurun juga mempunyai keindahan hijau yang memukau, sudah semestinya memberi udara nyaman untuk pengunjung menikmati salah satu produk ekopelancongan di Langkawi itu.

Pemilik bersama Rimba Sengara, Fahim Nazri berkata, Air Terjun Temurun menjadi salah satu destinasi percutian penduduk tempatan terutama pada waktu cuti umum dan hujung minggu.

Jelasnya, keindahan air terjun yang tinggi menjadi tarikan utama orang ramai untuk menikmati kesejukan air sungai itu terutama pada musim panas.

"Di Langkawi terdapat banyak air terjun yang menarik dan salah satunya, Air Terjun Temurun. Apabila pelanggan datang dan ingin menikmati kesejukan air terjun, destinasi ini antara yang dicadangkan oleh kami.

"Ia begitu sesuai untuk pelbagai peringkat umur menikmati kesejukan airnya kerana terdapat pelbagai peringkat kedalaman air. Jadi, untuk yang tidak tahu berenang, mereka boleh berada di kawasan cetek, tetapi dalam masa sama masih boleh menikmati keindahan Air Terjun Temurun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:47 AM