PEMANDANGAN memukau dari Kuak Hill Rosort.
PEMANDANGAN memukau dari Kuak Hill Rosort.
Hafiz Ithnin


Penggemar ekopelancongan, Hulu Perak antara lokasi menarik untuk diterokai kerana menawarkan pelbagai aktiviti sesuai untuk anda jika berpeluang ke sana.

Bukan sekadar mempunyai landskap hijau yang masih terpelihara, malah Hulu Perak juga menyajikan kemudahan pelancongan seperti penginapan, aktiviti dan tempat menjamu selera.

Berikut antara beberapa aktiviti dan destinasi menarik jika berkunjung ke sana:

GALERI Aki Aji yang terisi dengan lebih 500 barangan antik.
GALERI Aki Aji yang terisi dengan lebih 500 barangan antik.

1. Melawat Galeri Aki Aji

Terletak di Kampung Chepor di Lenggong, Galeri Aki Aji antara destinasi yang menarik untuk dikunjungi kerana ia mempunyai lebih 500 barangan antik yang boleh dilihat secara dekat.

Dimiliki Lukhman Mahmud, Galeri Aki Aji adalah sebuah rumah tradisional dibina sekitar 1957 yang dipindahkan secara tradisional oleh penduduk setempat.

Menariknya, anda boleh melihat pelbagai peralatan pertukangan tradisional, perkakasan memasak, barangan tembaga dan seni bina kediaman tradisional itu di kata mata sendiri.

LENGGONG mempunyai ladang ternakan rusa yang boleh dikunjungi.
LENGGONG mempunyai ladang ternakan rusa yang boleh dikunjungi.

2. Ladang Rusa

Tahukah anda bahawa Lenggong antara destinasi penternakan rusa terbesar di negara ini dan lebih menarik diusahakan secara komuniti.

Penulis difahamkan terdapat kira-kira 200 ladang rusa selain mempunyai keluasan yang agak besar untuk menampung kira-kira 1,000 ekor rusa spesies Java timorensis.

Jika berkunjung ke sana, anda dapat melihat haiwan ternakan itu bergerak bebas di dalam ladang yang begitu luas dan ada juga agak jinak untuk didekati.

3. Kuak Hill Resort

Resort ini antara yang tular di media sosial sejak penghujung tahun lalu kerana ia mempunyai pemandangan amat menarik. Hanya dari pintu bilik anda dapat menyaksikan panorama memukau Banjaran Titiwangsa.

Bukan hanya berkonsepkan resort dan 'glamping,' semata-mata, malah ia juga menjadi destinasi penginapan seisi keluarga terutama untuk mendedahkan anak-anak anda mengenai keseronokan bermalam di dalam khemah.

Kewujudan kolam berbentuk 'infivity' dan airnya adalah dari sumber semula jadi. Jadi, apabila berenang di dalamnya terasa amat segar!

AKTIVITI berkayak di Sungai Beruk.
AKTIVITI berkayak di Sungai Beruk.

4. Berkayak di Sungai Beruk

Lokasi ini bagi penduduk setempat di Lenggong mungkin agak popular kerana ia sesuai untuk pelbagai aktiviti riadah membabitkan rekreasi air.

Menariknya, di sini anda boleh berkayak bersama keluarga menelusuri Sungai Beruk yang mempunyai pemandangan serba hijau di sekelilingnya.

Selepas puas berkayak, anda boleh menikmati makanan tempatan yang dihidangkan Catella Cafe di tepi sungai sambil berendam kaki di dalam air.

BUNGA Palma di Taman Negeri Royal Belum.
BUNGA Palma di Taman Negeri Royal Belum.

5. Taman Negeri Royal Belum

Jika ke Hulu Perak, menjadi suatu 'penyesalan' jika tidak mengembara ke Taman Negeri Royal Belum di Gerik kerana di sini terdapat pelbagai aktiviti rekreasi menerokai alam semula jadi yang begitu menarik.

Antaranya melihat bunga gergasi, Refflesia yang terdapat di dalam Royal Belum. Tidak sekadar itu, anda juga boleh melakukan aktiviti menaiki rumah bot yang begitu sinonim dengannya.

Antara tarikan lain jika menerokai Tasik Banding di taman negeri itu ialah melihat dan menikmati keindahan Air Terjun Kooi.

AIR Terjun Sungai Kooi yang memukau.
AIR Terjun Sungai Kooi yang memukau.

Selain itu, jika membawa kanak-kanak, mereka juga dapat menimba ilmu mengenai hidupan liar jika berkunjung ke Sungai Papan yang memiliki sira atau jenut iaitu kawasan yang mengandungi simpanan garam galian penting untuk mamalia tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:40 AM