PEMANDANGAN mengasyikkan berlatarbelakangkan Banjaran Nakawan.
PEMANDANGAN mengasyikkan berlatarbelakangkan Banjaran Nakawan.
Nurul Husna Mahmud


BAGI peminat bunga, sudah pasti berhasrat menjengah destinasi seindah Lopburi di Thailand walaupun sekali bagi menikmati pemandangan hamparan bunga matahari di sana.

Namun, kekangan akibat penularan pandemik Covid-19, ramai tidak dapat berbuat demikian dan hanya mampu menanti pintu sempadan dibuka.

Tidak perlu khuatir sebenarnya kerana Malaysia sendiri mempunyai tarikan seindah Lopburi.

Bagi mereka yang obses dengan bunga matahari boleh menjengah tiga lokasi menarik untuk memenuhi impian bergambar berlatarkan pemandangan itu.

Lokasi pertama yang mirip sekali dengan Lopburi ialah Sunflower Garden yang terletak di Bagan Sungai Burung, Bagan Datoh, Perak.

Hanya perlu memandu sejauh 120 kilometer (km) iaitu kira-kira tiga jam pemanduan ke taman berkenaan yang terletak di perkampungan nelayan bagi merealisasikan impian itu.

Taman berkenaan diusahakan oleh pengusaha tempatan, Khor Weng Kiang, 46, bersama enam rakannya bagi mewujudkan kelainan serta destinasi tarikan baharu di kawasan itu.

Jika sebelum ini, Bagan Sungai Burung turut terkenal sebagai destinasi menyaksikan fenomena 'sky mirror,' kali ini taman matahari berkenaan antara tarikan unik yang boleh dikunjungi orang ramai.

Taman berkeluasan 0.8 hektar itu turut mempunyai lebih 2,000 pokok bunga matahari atau nama saintifiknya Helianthus annus selain pernah viral tahun lalu dan sering menjadi pilihan untuk pengantin merakam foto di situ.

UNIK sarang burung turut dijadikan sudut bergambar.
UNIK sarang burung turut dijadikan sudut bergambar.

Selain bunga terbabit sebagai tarikan, taman itu turut tampil dengan kepelbagaian tema.

Antaranya sudut menampilkan buaian, sarang burung, tangga langit dan flamingo. Selain bergambar pengunjung juga boleh memberi makan kepada ikan peliharaan di situ.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), taman berkenaan dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga jam 7 malam dengan bayaran RM5 untuk kanak-kanak dan RM13 bagi dewasa.

Seterusnya lokasi kedua yang mirip dengan Lopburi ialah Taman Ular dan Reptilia di Kangar, Perlis. Uniknya panorama ladang mataharinya berlatarkan Banjaran Nakawan yang menghijau. Ia adalah banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia berukuran 38km bermula dari Kuala Perlis dan berakhir di Wang Kelian.

PENGUNJUNG juga boleh memberi ikan makan.
PENGUNJUNG juga boleh memberi ikan makan.

Ladang bunga terbabit yang berkeluasan 1.21 hektar itu sudah cukup mengujakan apabila meraih kunjungan lebih 15,000 orang ketika tiga bulan pertama dibuka kepada orang ramai sejak penghujung Disember 2019.

Benih khas bunga itu dibawa dari Thailand berhasil ditanam pada percubaan ketiga menerusi teknik semaian berperingkat.

PEMANDANGAN yang mengasyikkan bersama 2,000 pokok bunga matahari.
PEMANDANGAN yang mengasyikkan bersama 2,000 pokok bunga matahari.

Tarikan pengunjung semestinya golongan remaja yang mahu berkongsi foto mereka menerusi laman media sosial sebagai perkongsian dengan rakan atau pengikut mereka.

Selain bergambar dengan hamparan bunga terbabit, orang ramai juga boleh menjenguk tarikan lain termasuk 150 spesies ular di taman terbabit.

Lokasi ketiga ialah Bee Farm, Cameron Highlands, Pahang. Tidak menjadikan bunga matahari sebagai tarikan utama sebaliknya lebih kepada sumber nektar untuk lebah menghasilkan madu.

Namun, orang ramai masih boleh bergambar dan mencuci mata dengan tanaman bunga berkenaan yang juga ditanam sekelompok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:35 AM