KEMUDAHAN jeti Sekolah Nanga Mujong.
KEMUDAHAN jeti Sekolah Nanga Mujong.
BOT ekspres untuk laluan sungai ke Kapit.
BOT ekspres untuk laluan sungai ke Kapit.
SEKITAR Pasar Teresang.
SEKITAR Pasar Teresang.
Fathihah Amirah Amsani
rencana@hmetro.com.my


SIAPA sangka di sebalik tebalnya hutan hujan tropika Sarawak masih terdapat penempatan kepada puluhan ribu manusia yang kental dengan keupayaan ikhtiar hidup luar biasa di tengah kerasnya rimba.

Mungkin masih ramai yang tidak terfikir untuk menjadikan Kapit sebagai salah satu destinasi pelancongan kerana kedudukannya yang jauh di pedalaman bumi kenyalang dan kurangnya informasi mengenai bagaimana untuk ke sana.

Penulis sendiri pernah ke Kapit sebanyak dua kali iaitu pada 2019 dan September 2020 kerana tertarik dengan keunikan alam semula jadi serta budaya masyarakatnya.

Kapit dihubungkan dengan Sungai Rajang atau lebih dikenali sebagai Batang Rajang oleh masyarakat setempat.

Terdapat juga laluan darat untuk semua kenderaan dan sudah digunakan secara rasmi selepas dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sebelum sempurnanya jalan darat, cara termudah untuk ke Kapit adalah dengan laluan air menggunakan bot ekspres yang memiliki reka bentuk unik selain hanya boleh dilihat di sekitar perairan Sarawak mahupun Sabah-Labuan sahaja.

Perjalanan yang boleh mengambil masa selama tiga jam dari terminal penumpang Sibu mampu memberikan anda satu pengalaman baru yang tidak mungkin didapati di mana-mana.

JAMBATAN lama Sungai Mujong untuk ke kawasan pedalaman.
JAMBATAN lama Sungai Mujong untuk ke kawasan pedalaman.

Tiga jam perjalanan menyusuri sungai yang besar dan panjang ini membawa perasaan yang bercampur baur.

Begitu juga dengan keterujaan melihat kemampuan bot ekspres membelah Sungai Rajang yang kita sedia maklum memiliki alur yang sangat cantik dengan kiri dan kanannya dikelilingi hutan liar dengan pokok tinggi menggapai angkasa.

Namun kegusaran hati tidak dapat dibendung apabila berada di atas bot ekspres di tengah-tengah Batang Rajang ini kerana khuatir betapa bahayanya sungai ini dengan aliran yang deras hingga permukaannya kelihatan berombak-ombak.

Terdapat lebih 500 rumah panjang di Kapit, namun kebanyakannya sudah dijadikan rumah panjang moden dengan fasiliti yang lebih selesa.

Namun begitu, masih tidak terlambat untuk anda melihat sendiri salah satu rumah panjang tradisional yang masih dipelihara hingga ke hari ini iaitu Rumah Panjang Jandok (RH Jandok) di penghujung jalan mati Ulu Yong yang dijadikan sebagai inap desa.

Pelancong juga boleh menyewa hotel bajet di sekitar pekan Kapit, sekiranya tidak mahu bermalam di sini.

PEMANDANGAN di tebing Sungai Rajang.
PEMANDANGAN di tebing Sungai Rajang.

Untuk ke RH Jandok, pengunjung boleh menyewa van di pekan di sekitar Pasar Teresang dengan harga RM60 sehala.

RH Jandok terletak di penghujung jalan mati Ulu Yong, sesampai sahaja di sana, mata akan tertancap kepada keindahan aliran sungai yang jernih seolah-olah memanggil untuk menikmati kesejukan air segar itu.

Bersebelahan sungai, tersergam indah RH Jandok yang sudah berusia lebih 100 tahun namun masih mengekalkan keasliannya demi menunjukkan kepada generasi baru mengenai sejarah silamnya.

Pasar Teresang juga antara salah satu tempat unik kerana ia menjual pelbagai makanan eksotik yang sudah menjadi kebiasaan makanan ruji masyarakat di sana. Namun sejak kebelakangan ini perkara ini sukar untuk anda lihat di sekitar Pasar Teresang.

Selain itu, Kapit memiliki demografi yang berbukit-bukau dan terdapat banyak tempat mendaki dan air terjun yang masih belum tercemar selain hanya diketahui penduduk setempat di situ.

Kebetulan, penulis berkawan dengan salah seorang penduduk tempatan di sini, Injang dan Singguk. Mereka berdua dari suku Iban memiliki perahu atau bot kecil.

RUMAH panjang moden.
RUMAH panjang moden.

Injang memiliki perahu kecil yang dikendalikan dengan menggunakan pendayung yang biasa digunakan untuk menangkap ikan di sungai kecil seperti Sungai Baleh dan Sungai Mujung.

Jika bernasib baik, ikan semah boleh dijumpai di sekitar sungai ini namun begitu, disebabkan kejadian banjir yang baru terjadi, habitat asal ikan ini dicemari. Ikan ini memiliki tekstur berbeza dari ikan air tawar yang lain dan menurut masyarakat tempatan, ia mampu mencecah sehingga RM300.

Selain itu, mereka juga membawa penulis melawat kawasan yang dikaitkan dengan kepercayaan masyarakat tempatan di sana yang dikenali sebagai Karang Pulai Ari.

Ia adalah satu tempat perkelahan di tengah-tengah Sungai Mujong dan akan bertukar menjadi tempat pengumpulan buaya bunian ketika senja. Kawasan itu tidak dibenarkan bermalam kerana kewujudan sang raja sungai itu.

Terdapat ratusan rumah panjang yang boleh dilawati di kawasan pedalaman ini tetapi hanya boleh diakses dengan jalan air atau pun laluan pekerja balak yang pastinya berisiko tinggi.

Tentunya pengembaraan di Kapit membuka mata penulis mengenai betapa hebatnya manusia yang masih boleh hidup hanya dengan bergantung kepadapunca pendapatan harian seperti memburu dan berkebun.

PENULIS dibawa rakan mencari ikan semah.
PENULIS dibawa rakan mencari ikan semah.

'Kekerasan' rimba tidak sedikit pun mengundang perasaan takut dalam diri mereka untuk terus hidup di tengah belantara tebal itu.

Semoga pandemik ini akan segera pulih supaya diberi peluang untuk menerokai lebih banyak lagi tempat menarik yang masih belum dijamah pencemaran.

RUMAH Panjang Jandok berusia 100 tahun.
RUMAH Panjang Jandok berusia 100 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 6:40 AM