INDAH panorama sekitar kawasan Gua Kota Gelanggi.
INDAH panorama sekitar kawasan Gua Kota Gelanggi.
Nurul Husna Mahmud


VIA Ferata adalah satu istilah asing bagi penulis apabila wakil penganjur Recreation Outdoor Hikers (ROH) Kapten (B) Ahmad Azuan Osman memaklumkan aktiviti rekreasi itu dilakukan di Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang pada 25 Mac nanti.

Kata Ahmad Azuan, via ferata adalah salah satu disiplin sukan memanjat pada kecerunan bukit hampir 90 darjah permukaannya menggunakan peralatan khas seperti kabel atau jambatan besi.

Bagi pemanjat, mereka akan mengenakan harness, carribiner dan kabel keselamatan bagi membantu meniti dinding sempit di keliling kawasan pendakian gua berkenaan sehingga boleh sampai ke puncak.

Menurut Ahmad Azuan, lokasi popular aktiviti via ferata di Malaysia ketika ini ialah Gunung Kinabalu dan 'trip' di Jerantut itu antara 'port' menarik boleh dicuba peminat pendaki ekstrem.

"Ekplorasi ROH di Kota Gelanggi kali ini selama dua hari sebenarnya peluang buat mereka menyahut cabaran gayat menerusi via ferata dan juga bagi dua kelompok 'nyctophobia' (fobia gelap) serta clautrophobia (fobia ruang sempit) menghadapi ketakutan mereka.

"Secara peribadi, saya pesara tentera turut menghadapi masalah dua fobia berkenaan dan mencabar diri dengan aktiviti penerokaan gua dikatakan mempunyai trek sempit dan gelap," katanya.

Dalam aktiviti ini dua pakar sukan bertali dan memanjat, Muhammad Faizal Abdul Manaf dan Wan Ruhaiza Wan Daud akan bertindak menyelaras bahagian teknikal dan keselamatan.

TAHAN gayat buat mereka yang ingin lakukan aktiviti berkenaan.
TAHAN gayat buat mereka yang ingin lakukan aktiviti berkenaan.

AKTIVITI ‘via ferata’ buat mereka menyertai ekplorasi di Gua Kota Gelanggi.
AKTIVITI ‘via ferata’ buat mereka menyertai ekplorasi di Gua Kota Gelanggi.

BENTUK batu unik dalam gua.
BENTUK batu unik dalam gua.

Tambah Ahmad Azuan, aktiviti berkenaan turut menitik berat kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan termasuk Covid-19.

"Ia adalah program kedua selepas setahun terhenti sebarang aktiviti rekreasi dan sebagai penganjur kami mematuhi syarat SOP termasuk kena ambil suhu, imbas kod MySejahtera selain persiapan seperti pensanitasi tangan dan pelitup muka (jika perlu).

"Penjarakkan sosial dipraktikkan selain jumlah peserta dihadkan tidak lebih 25 orang berbanding 50 orang," katanya.

Sementara itu penyelaras aktiviti meneroka gua, Mohd Zaki Yamani Azman berkata, kawasan ini mempunyai banyak lokasi gua boleh dijelajah.

"Di kawasan ini sahaja ada lebih 20 gua dan setiap satunya mempunyai laluan dan trek tersendiri. Bagi program ini, saya rancang tujuh gua dalam kawasan Gua Kota Sanding.

"Dari pintu masuk anda akan melalui Gua Tongkat, Gua Kepala Gajah, Gua Potret, Gua Angin, Gua Gajah sebelum berakhir di Gua Gelap.

"Paling mencabar rasanya Gua Gelap kerana ada slot yang mana kita akan minta peserta memadam lampu kepala mereka. Di sini, pengalaman ialah mereka akan berada pada kawasan yang langsung tiada cahaya, malah tidak nampak tangan sendiri," katanya.

Cabaran lain ialah peserta akan melalui ruang sempit selain menikmati pemandangan sekitar mahupun struktur stalaktik dan stalagmit dalam gua berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:48 AM