WARNA kemerahan di bahagian atas Air Terjun Giluk.
WARNA kemerahan di bahagian atas Air Terjun Giluk.
Roslina Jaapar

SABAH antara negeri yang memiliki banyak tempat menarik, bukan sahaja terkenal dengan Gunung Kinabalu, malah pulau dan khazanah hutan di sini memiliki daya tarikan tersendiri.

Salah satu destinasi menarik yang perlu dikunjungi ialah Maliau Basin yang turut dikenali sebagai Lembangan Maliau.

'The Lost World Of Sabah' ini adalah kawasan Konservasi Kelas Pertama yang memiliki pelbagai flora dan fauna bukan sahaja menjadi salah satu pusat penyelidikan, tetapi menjadi daya tarikan sebagai destinasi pelancongan menarik bagi pengunjung dalam dan luar negara.

Saya sudah dua kali meneroka kawasan ini iaitu pada Ogos 2019 dan September tahun lalu, namun tidak pernah menjemukan kerana menyajikan pengalaman yang berbeza.

Maliau Basin terletak kira-kira lima jam perjalanan dari Kota Kinabalu bergantung kepada cara pemanduan.

Tarikan utama Maliau Basin ialah dengan keindahan laluan trek hutan dan keunikan air terjunnya berwarna kemerahan.

Terdapat lima air terjun yang boleh diterokai iaitu air terjun Maliau, Ginseng, Takob Akob, Fauzi dan Giluk. Air Terjun Maliau setinggi tujuh tingkat menjadi salah satu tarikan utama di sini.

Dengan kebenaran Yayasan Sabah, kami berpeluang mengembara ke kawasan ini selama empat hari tiga malam dengan ditemani renjer hutan.

DI bahagian bawah Air Terjun Giluk.
DI bahagian bawah Air Terjun Giluk.

AIR Terjun Maliau ketika hujan.
AIR Terjun Maliau ketika hujan.

Menariknya, sepanjang 40 kilometer (km) perjalanan, kami melalui laluan hutan yang unik dan berpeluang menikmati laluan hutan berlumut serta melewati kawasan periuk kera yang terdiri daripada pelbagai spesies.

Pengembaraan pertama saya ke Maliau Basin pada 2019 ialah ketika musim buah dan kami dapat merasa keenakan durian hutan dan manggis hutan yang bersaiz kecil serta disajikan dengan pemandangan pelbagai jenis cendawan dan bunga orkid sepanjang laluan.

Pada hari pertama, kami memulakan perjalanan sejauh sembilan kilometer dari Kem Agathis ke Kem Ginseng dan sepanjang perjalanan kami menemui bunga orkid yang dikenali sebagai Aphyllorchis Maliauensis yang agak jarang berbunga dalam hutan Maliau Basin.

Kami menginap selama dua malam di Kem Ginseng yang terletak kira-kira 300 meter (m) dari Air Terjun Ginseng.

Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan di kem ini adalah kemunculan seekor labah-labah dari spesies Tree Trunk agak besar dalam tandas sehingga membuat saya sedikit kecut perut.

Keesokan hari, kami meneruskan perjalanan sejauh 11km ke Air Terjun Maliau.

JAMBATAN gantung di kawasan Studies Centre.
JAMBATAN gantung di kawasan Studies Centre.

Cuaca baik menyebelahi kumpulan kami dan yang lebih menggembirakan kami dapat naik sehingga ke tingkat tujuh Air Terjun Maliau agak jarang pengunjung datang ke sini.

Biarpun, laluan trek agak curam, ia tidak melemahkan semangat kami untuk meneruskan perjalanan ini.

Pada hari ketiga, kami meneruskan perjalanan ke Kem Nephentes sejauh tujuh kilometer dengan disajikan pokok besar, hutan berlumut dan kawasan periuk kera yang terdiri daripada pelbagai spesies seperti nepenthes hybrid, veitchii, tentaculata, lowii dan gracilis.

Sepanjang laluan antara Kem Ginseng dan Kem Agathis, kami menjumpai beberapa tapak binatang seperti tapak beruang matahari, musang, babi hutan dan gajah.

Selepas selesai meletakkan barang dan berehat sebentar, kami meneruskan perjalanan sejauh tiga kilometer ke tiga air terjun lain iaitu Air Terjun Fauzi, Takob Akob dan Giluk.

ASRAMA Maliau Basin Studies Centre.
ASRAMA Maliau Basin Studies Centre.

KEINDAHAN kawasan hutan berlumut di Maliau Basin.
KEINDAHAN kawasan hutan berlumut di Maliau Basin.

Perjalanan 500m terakhir ke setiap air terjun agak mencabar dengan laluan yang curam dan agak licin. Ia menjadi satu kepuasan kepada kami kerana dapat pergi ke kawasan air terjun yang berlainan di sini.

Kemudian kami kembali ke Kem Nepenthes dan pada sebelah malam kami dikunjungi Musang Tenggalung (Malayan Civet) yang jinak.

Pada hari terakhir, kami bergerak sejauh tujuh kilometer untuk kembali ke kem permulaan iaitu kem Agathis.

Layanan dari porter dan renjer hutan (Kenneth, Mas, Wan, Mus dan Rio) juga sangat baik kerana sentiasa melayan kerenah kami biarpun terpaksa mengangkat barang sehingga 30 kilogram.

Tanpa liputan telefon sepanjang trek, bekalan elektrik terhad sehingga jam 10 malam sahaja, bermalam di hutan tebal, tidur dalam keadaan kem terbuka dengan ditemani bunyi-bunyian serangga dan angin sejuk antara pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan.

Pengalaman berada dalam hutan tebal selama empat hari adalah satu perasaan yang sukar digambarkan dan membuatkan saya rasa lebih bersyukur kerana masih berpeluang menikmati keindahan alam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 7:00 AM