SEPERTI air terjun sebenar di Jalan Changkat.
SEPERTI air terjun sebenar di Jalan Changkat.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


DI beberapa destinasi percutian termasuk Melbourne, Australia, grafiti antara kaedah diguna pakai untuk menceriakan lorong belakang sebagai tarikan pelancong ke bandar itu.

Malaysia juga mula mengorak langkah terhadap seni jalanan itu apabila lorong lama diceriakan dengan sentuhan grafiti unik baik dari artis tempatan mahu pun luar negara.

Bukan sekadar bermain dengan warna dan motif kerana ada antara paparan seni jalanan itu tampak 'hidup' serta 'timbul' dalam lensa kamera.

Tidak hairan, dahulunya lorong atau jalan kurang 'dipedulikan' kini berubah wajah hingga meraih perhatian peminat 'OOTD' untuk dikongsi dalam akaun Instagram masing-masing.

Jika pandemik sudah pulih, mungkin lorong di sekitar Kuala Lumpur ini boleh jadi lokasi pertama untuk anda relaks dan santai sambil merakam foto unik bersama teman atau keluarga:

Jalan Changkat dan Jalan Alor, Bukit Bintang

Sebelum pandemik, jalan sekitar kawasan ini kerap dilewati pelancong luar negara kerana dikatakan sebagai pusat beli-belah dan 'port' makanan.

Keadaan bangunan dan lorong sekitarnya kelihatan lama dan usang, mendorong Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif memperindahkan kawasan berkenaan.

Menariknya banyak mural atau lukisan grafiti popular terdapat di situ dan paling 'viral' sejak 2019 ialah laluan bertangga menampilkan imej seperti jeram serta sungai mengalir.

KARYA menyentuh hati Ernest Zacharevic di Jalan Gereja.
KARYA menyentuh hati Ernest Zacharevic di Jalan Gereja.

UNIK mural di Jalan Sultan.
UNIK mural di Jalan Sultan.

MURAL tertinggi di Malaysia di Jalan Kamunting, Dang Wangi.
MURAL tertinggi di Malaysia di Jalan Kamunting, Dang Wangi.

Jalan Sultan dan Jalan Gereja

Kreatif dan bijak! Itu antara gambaran hasil seni yang ditampilkan artis jalanan kelahiran Lithuania, Ernest Zacharevic apabila mengabdikan karyanya di dua jalan penuh nostalgia itu.

Karya Lithuania sebelum ini banyak dipaparkan di Pulau Pinang dan paling tersohor ialah 'Kids on bicycle.'

Memilih konsep dan subjek yang mirip, kali ini karya 'The Sampan Boy' di Jalan Gereja bagi tujuan kempen salah satu syarikat insurans tempatan boleh menjadi lokasi bergambar unik.

Jalan Kamunting, Dang Wangi

Salah satu jalan masih memberi impak persekitaran cukup nostalgia ialah bangunan rumah kedai yang mengekalkan seni bentuk rekaan warisan.

Namun, tarikan unik tidak boleh diabaikan ialah grafiti berketinggian 25 tingkat bangunan hotel yang pernah mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Record sebagai mural tertinggi di Malaysia oleh artis tempatan, Kenji Chai.

Selain grafiti terbabit, ada mural tidak kurang hebatnya terletak berhampiran kafe dan kedai makan boleh dirakam lensa foto.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 6:44 AM