PULAU Tuba sesuai bagi pencinta alam semula jadi kerana persekitaran masih tidak terusik dengan pembangunan.
PULAU Tuba sesuai bagi pencinta alam semula jadi kerana persekitaran masih tidak terusik dengan pembangunan.
Nurul Husna Mahmud


RAMAI mengunjungi Langkawi, Kedah sebagai destinasi percutian kerana tertarik dengan keindahan pantai yang putih selain reputasinya sebagai pusat beli-belah zon bebas cukai.

Sambil menikmati panorama indah, mereka juga boleh membeli-belah pelbagai barangan seperti set pinggan mangkuk import, coklat dan kain batik.

Jadi, ramai yang pergi ke Langkawi kerana hanya mengetahui destinasi tersohor di pulau lagenda itu seperti Pekan Kuah, Padang Mat Sirat dan Tasik Dayang Bunting.

Baru-baru ini, Pengasas Bersama Persatuan Luncur Udara, Orkid Jamilah Awang, 54, berkongsi mengenai tarikan terbaharu terdapat di pulau tumpuan pelancongan itu ketika beliau bersama suami, Kapten (B) Ikhwan Azillah, 44, mencari 'port' baharu untuk sukan udara.

Kata Orkid, dia yang juga penggiat sukan luncur udara turut terkesan dengan pandemik Covid-19 apabila tidak dapat jalankan aktiviti berkenaan.

ORKID menyertai aktiviti penduduk berendoi atau berbuai di petang hari.
ORKID menyertai aktiviti penduduk berendoi atau berbuai di petang hari.

Atas faktor itu, dia dan suami mengambil kesempatan meninjau kawasan baharu untuk dijadikan 'port' penerbangan paragliding atau aktiviti sukan udara yang lain seperti dron dan paramotor dalam usaha merancakkan kembali kegiatan sukan udara.

Dalam meninjau lokasi baharu bagi aktiviti sukan luncur udara, kata Orkid, dia dan suami sempat menjelajah Pulau Tuba yang terletak 20 minit perjalanan menaiki bot dari Jeti Pulau Langkawi.

Kata Orkid, kewujudan pulau itu tidak begitu diketahui pelancong tempatan dan asing. Sedangkan ia adalah pulau berbukit kedua yang berpenghuni di Kedah.

Kedudukan pulau itu bersebelahan Pulau Dayang Bunting, namun tidak ramai tahu ia satu daripada destinasi pelancongan yang boleh singgah dan menginap.

"Walaupun beberapa kali ke Langkawi, tetapi saya tidak pernah mengunjungi Pulau Tuba. Saya hanya ketahui menerusi kenalan dan kebetulan saya bersama suami meninjau 'port' baharu untuk jalankan aktiviti sukan udara ketika aktiviti rentas negeri dibenarkan tahun lalu.

MENUNGGANG motosikal antara pilihan paling sesuai untuk menjelajah sekitar Pulau Tuba.
MENUNGGANG motosikal antara pilihan paling sesuai untuk menjelajah sekitar Pulau Tuba.

"Uniknya mengenai pulau berkenaan ialah suasananya tidak ubah seperti Langkawi era 80-an atau 90-an kerana cara hidup masyarakat di pulau itu mengamalkan gaya hidup tradisi.

"Imej perkampungan nelayan tradisi masih kuat meskipun sudah dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk internet, elektrik, air dan kemudahan penting seperti sekolah serta klinik," katanya.

Tambahnya, peluang menginap di pulau berkenaan selama tiga hari dua malam banyak mengimbau nostalgia ketika zaman kanak-kanak apabila dapat menyantuni komuniti atau penduduk pulau secara langsung.

"Kalau pelancong datang, rata-rata mereka singgah untuk makan mi udang selain menikmati suasana perkampungan. Boleh menginap atau balik hari.

"Bagi mereka yang merancang untuk menginap, pulau ini lebih sesuai dengan pencinta alam semula jadi kerana persekitaran masih 'dara' dan tidak terusik dengan pembangunan.

PANORAMA menarik di kawasan jeti ketika petang.
PANORAMA menarik di kawasan jeti ketika petang.

"Pengunjung boleh dapatkan foto panorama unik. Paling saya tidak dapat lupakan sepanjang berada di pulau ini ialah berpeluang melihat gelagat sekumpulan kerbau 'bermain' dan berkubang di tapak sawah yang tidak lagi diusahakan penduduk kampung.

"Suasana itu membuatkan saya terkenang zaman kanak-kanak atau keadaan kampung ketika 80-an dan 90an dengan sawah serta kerbau di sekitar kampung," katanya.

Tambah Orkid lagi, penduduk pulau itu juga mudah mesra menyebabkan dia dan suami sempat menyantuni penduduk pulau itu.

"Selain aktiviti bersama alam semula jadi, pengunjung pulau boleh beramah mesra dengan penduduk sekitar. Saya sendiri sempat bermesra dengan seorang penduduk tempatan paling tua di pulau itu yang dikenali sebagai Tok Pora, tapi saya selesa memanggilnya dengan panggilan Nenek Pora.

SUASANA senja mengasyikkan.
SUASANA senja mengasyikkan.

"Menariknya meskipun sudah berusia 106 tahun, namun nenek itu masih cergas boleh melakukan kerja laut termasuk mengail udang dan menangkap ikan. Itu adalah rutin sejak usia remaja dan masih diteruskan sehingga hari ini.

"Lagi satu perkara unik di sini, boleh pengunjung lihat ialah hampir setiap rumah penduduk ada buaian. Setiap petang tidak kira kanak-kanak sehinggalah orang tua mereka suka bersantai dan berayun buai di rumah masing-masing. Saya dan suami turut isi masa santai mereka dengan sama-sama bermain buaian," katanya.

Sementara itu, Kapten Ikhwan menyifatkan selain meriah dengan juadah makanan laut, rumah penginapan juga cukup selesa dan sangat berpatutan.

"Saya dan isteri menginap di Tuba Island Cottage dan persekitarannya cukup redup meskipun tidak jauh dari pantai. Fasiliti dan kebersihan juga sangat menyenangkan.

"Selain kemudahan van atau berjalan kaki, pengunjung boleh sewa motosikal untuk mengelilingi pulau. Ada beberapa lokasi menarik boleh menjadi persinggahan 'kaki foto' sepanjang berada di pulau ini. Paling popular ialah Jeti Ombak Rindu kerana pernah menjadi lokasi penggambaran filem berkenaan.

MENENANGKAN suasana di Pulau Tuba.
MENENANGKAN suasana di Pulau Tuba.

"Kalau peminat sukan lasak pula, selain aktiviti air, sukan mendaki boleh dilakukan seperti Bukit Batu Licin. Pemandangan dari puncak bukit ini boleh lihat pemandangan termasuk Pekan Kuah, Pulau Langkawi.

"Bagi sukan udara, rasanya sukan paramotor dan dron lebih sesuai kerana terdapat satu kawasan lapang dipanggil Batu Hampar sesuai untuk aktiviti berkenaan," katanya.

ALAM semula jadi antara menarik boleh dinikmati pengunjung.
ALAM semula jadi antara menarik boleh dinikmati pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 6:30 AM