KERETA API menawarkan pengalaman berbeza.
KERETA API menawarkan pengalaman berbeza.
Muhamaad Razis Ismail


BIASANYA untuk bercuti, ramai yang lebih suka menggunakan kenderaan sendiri supaya lebih mudah bergerak dan menjimatkan masa.

Bagaimanapun, masih ada yang lebih selesa menggunakan pengangkutan awam termasuk kereta api kerana lebih menjimatkan wang dan tenaga.

Uniknya dengan kereta api, anda disajikan pemandangan menakjubkan termasuk kawasan pedalaman, hutan dan bukit bukau yang tidak boleh dilihat dengan kenderaan lain.

Pada Disember lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Muhammad Farhan Abu Talib, 30, mengembara secara solo selama 30 jam (pergi dan balik) menggunakan perkhidmatan kereta api dari Gemas, Negeri Sembilan ke Wakaf Bharu, Kelantan.

Katanya, tujuan menaiki pengangkutan awam itu adalah atas tuntuan kerja ('photo hunting'), di samping bertemu rakan lama di Kelantan.

"Saya kerap menggunakan kereta api sejak dari kecil apabila abah dan ibu kerap membawa kami sekeluarga menaiki pengangkutan ini sama ada untuk bercuti mahupun ke rumah saudara.

"Apabila meningkat dewasa, saya pula kerap bergerak jarak jauh dan turut gemar memilih menggunakan kereta api.

"Jadi, saya memilih menggunakan kereta api bukan sahaja kerana mudah dan selesa, tetapi ia seperti dekat dengan jiwa kerana mampu mengembalikan nostalgia zaman saya kecil," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, untuk perjalanan kali ini dia menggunakan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) dan memilih untuk naik di Stesen Keretapi Gemas.

KEINDAHAN waktu pagi di Stesen Keretapi Gua Musang.
KEINDAHAN waktu pagi di Stesen Keretapi Gua Musang.

"Stesen itu hanya 30 minit dari rumah dan pada Sabtu 26 Disember tahun lalu tepat jam 12 tengah malam saya menaiki kereta api berkenaan.

"Saya pilih 'sleeper coach' ataupun koc katil kerana perjalanan ke Wakaf Bharu yang memakan masa 12 jam.

"Sepanjang perjalanan kereta api akan merentasi beberapa daerah dan stesen di Mentakab sekitar 5 pagi, Jerantut (5.30 pagi), Kuala Lipis (6 pagi), Gua Musang (7.30 pagi)," katanya yang juga pereka grafik dan editor.

Bagaimanapun apabila tiba di Stesen Gua Musang, penumpang dimaklumkan berlaku kejadian tanah runtuh yang menutup landasan menyebabkan mereka terpaksa menunggu kira-kira dua jam.

"Namun, ia tidak menjadi masalah kepada saya dan penumpang lain (dari pemerhatian saya), kerana keindahan pagi di Stesen Keretapi Gua Musang sangat mempersona dan menenteramkan jiwa.

SARAPAN pagi di kantin kereta api.
SARAPAN pagi di kantin kereta api.

"Di sebelah kereta api kami terdapat dua gua yang besar yang jelas kelihatan, dilimpahi cahaya matahari pagi dan kabus menjadikan pemandangan itu sangat cantik," katanya.

Jelasnya, apabila kereta api kembali dibenarkan meneruskan perjalanan, dia mengambil kesempatan untuk berada di bahagian pintu bagi menikmati pemandangan sambil mengambil gambar.

"Sepanjang perjalanan saya dapat lihat banyak kawasan ladang, kebun dan perkampungan dinaiki banjir.

"Apa yang lebih menarik perhatian saya adalah dari sudut pandangan dari dalam keretapi, saya dapat lihat bentuk muka bumi kawasan yang sering terdedah dengan banjir, termasuk kawasan perkampungan di Manek Urai (Kelantan)," katanya.

Selain itu, dia turut berpeluang melihat stesen lama dan kecil seperti di Manek Urai, Limau Kasturi, Bertam dan Kemubu.

MENIKMATI keindahan waktu senja.
MENIKMATI keindahan waktu senja.

"Bagaimanapun kereta api tidak berhenti di stesen itu kerana ia hanya digunakan untuk tren tempatan.

"Seterusnya saya melihat ramai pengembara yang turun di Stesen Keretapi Dabong, untuk ke Gunung Stong yang terkenal dalam kalangan pendaki," katanya.

Katanya, kereta api tiba di Stesen Wakaf Bharu pada jam 2 petang sebelum dia dijemput beberapa sahabat lama untuk ke Kota Bharu yang hanya sekitar 10 minit dari stesen terbabit.

"Kami makan tengah hari di Kedai Nasi Ulam Cikgu dan saya lebih suka untuk duduk berbual dengan sahabat lama ini berbanding berjalan di sekitar bandar Kota Bharu.

"Apabila jam menunjukkan 5.30 petang, saya segera pulang ke Stesen Wakaf Bharu untuk menaiki kereta api pulang ke Gemas yang dijadualkan bergerak jam 7 malam.

KANAK-kanak di kawasan pedalaman di sekitar Tanah Merah.
KANAK-kanak di kawasan pedalaman di sekitar Tanah Merah.

"Kemudian bersambunglah pengembaraan saya selama 12 jam lagi. Keseluruhan perjalanan saya memakan masa selama hampir 30 jam," katanya.

Akuinya, pengembaraan secara solo dengan kereta api meninggalkan satu pengalaman yang berharga kepada dirinya.

"Bukan sahaja memberikan keseronokan, ia mampu memberi ketenangan dengan menikmati keindahan pemandangan yang tidak boleh dilihat dengan pengangkutan lain.

"Insya-Allah selepas ini saya merancang untuk membawa ibu dan abah mengembara menaiki tren," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 7:01 AM