MENERUSI penggunaan aplikasi Zoom, pelancong dibawa melihat aktiviti pertanian akuaponik.
MENERUSI penggunaan aplikasi Zoom, pelancong dibawa melihat aktiviti pertanian akuaponik.
Muhamaad Razis Ismail


PELANCONGAN di dalam mahupun di luar negara antara sektor yang paling terjejas teruk akibat penangan pandemik Covid-19 sejak hujung tahun lalu.

Beberapa langkah diambil kerajaan untuk mencegah penularan pandemik ini termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mencegah aktiviti rentas negeri secara tidak langsung mengakibatkan pemain industri terjejas teruk.

Ketika PKP dilaksanakan pada Mac lalu, ramai pengusaha terduduk kerana tidak dapat menerima kehadiran pelancong yang menjadi sumber pendapatan mereka.

Salah satu lokasi percutian menarik di Kelantan iaitu Min House Camp, Kubang Kerian antara yang terawal mengambil inisiatif memperkenalkan pelancongan secara maya.

Pengarahnya, Nur Muhammad Muhamad Zanini berkata, konsep ekopelancongan ditawarkan di sini menarik minat ramai pelancong di luar negara terutama dari Eropah yang ingin merasai pengalaman menginap di sini.

"Di sini, terdapat lapan aktiviti utama yang boleh dijalankan termasuk berpeluang menelusuri keindahan flora dan fauna di sekitar Sungai Lubok Durian dengan berkayak.

"Selain itu, sungai di sini agak cetek dan mereka boleh mencari lokan di kawasan sekitar untuk terus dimasak.

"Pelancong dari luar negara sangat menyukai aktiviti seperti ini, namun disebabkan Covid-19, jumlah pengunjung merudum. Malah banyak tempahan yang sudah dibuat awal, terpaksa dibatalkan," katanya.

Enggan menyerah kalah, pihaknya mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan pengalaman melancong secara maya.

Katanya, dengan menggunakan aplikasi Zoom, pelancong akan dibawa melawat di sekitar Min House Camp dan melihat aktiviti yang dijalankan.

NUR Muhammad membawa pelancong maya melawat ke galeri lebah kelulut.
NUR Muhammad membawa pelancong maya melawat ke galeri lebah kelulut.

Pelancong bukan sahaja dapat mendengar penerangan yang diberikan malah dapat berinteraksi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Pada mulanya sambutan agak perlahan, namun lama-kelamaan ia mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada pelancong luar negara.

"Terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk mencari lokan, pertanian akuaponik, melawat galeri lebah kelulut dan menonton pertunjukan wayang kulit," katanya.

Menurutnya, dengan bayaran berpatutan pelancong dapat melawat Min House Camp tanpa perlu mengeluarkan wang lebih banyak untuk pengangkutan, penginapan dan sebagainya.

PERTUNJUKAN wayang kulit antara mendapat sambutan.
PERTUNJUKAN wayang kulit antara mendapat sambutan.

"Kaedah ini masih baharu di negara ini, namun di luar negara sudah lama dilaksanakan.

"Situasi yang tidak menentu ini, pemain industri pelancongan perlu juga berubah dengan pelancongan secara maya sebagai alternatif menjana sumber pendapatan akibat Covid-19," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, pihaknya tetap akan meneruskan pelancongan secara maya biarpun keadaan sudah kembali pulih seperti biasa.

"Melihat sambutan yang diberikan, saya lihat kaedah ini memiliki potensi besar untuk menjana pendapatan tambahan.

"Sekurang-kurangnya, kita dapat beri peluang terutama kepada pelancong di luar negara yang berdepan halangan ke negara ini merasai pengalaman suasana kampung di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 6:40 AM