PEMANDANGAN yang disajikan ketika berada di Kampung Sting.
PEMANDANGAN yang disajikan ketika berada di Kampung Sting.
Nizar Latif
rencana@hmetro.com.my


PERJALANAN ke Empangan Bengoh dari Kuching, Sarawak baru-baru ini mengambil masa hampir sejam dengan pemanduan berhemah.

Penulis menggunakan aplikasi Google Maps kerana ini kali pertama ke sana.

Bagaimanapun, penulis tiba awal dari jangkaan kerana perjalanan lancar tidak bersimpang-siur.

Setibanya di situ, banyak kereta sudah 'berbaris' di hadapan pagar empangan kerana setiap penumpang perlu turun untuk merekodkan butiran peribadi selain bacaan suhu di pondok pengawal keselamatan empangan.

Sebaik urusan selesai, penulis dan beberapa rakan kembara berjumpa jurupandu, dikenali sebagai Tatum yang juga juga penduduk tempatan.

Empangan ini mula dibina pada tahun 2007 dan siap sepenuhnya pada 2011 bertujuan membekalkan air bersih kepada penduduk di Kuching.

Disebabkan ramai pengunjung hari itu, jurupandu memberikan cadangan untuk mula mendaki di Kampung Sting terlebih dahulu sebelum mendaki ke Air Terjun Curtain dan Susung.

LALUAN pendakian ke Kampung Sting yang agak curam dan licin.
LALUAN pendakian ke Kampung Sting yang agak curam dan licin.

Perjalanan dimulakan dengan menaiki bot ke Kampung Sting. Bot yang membelah arus air empangan yang tenang dan bukit-bukau di kiri serta kanan membuatkan penulis terpesona selain tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar atau video.

Selepas 20 minit perjalanan, bot tiba di tapak permulaan untuk mendaki ke Kampung Sting. Jurupandu memaklumkan laluan pendakian mungkin licin kerana hujan lebat pada waktu malam.

Pendakian ke Kampung Sting ini mengambil masa 20 minit dan laluannya yang curam membuatkan penulis termengah-mengah.

Mendekati puncak, terdapat beberapa rumah penduduk kampung ini. Penulis turut disapa penduduk kampung dan mereka memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan pendakian ke puncak.

Sebaik tiba, pada saat melihat pemandangan di bawah, penulis sekali lagi terpukau dengan kebiruan langitnya yang memantulkan warnanya pada keseluruhan kawasan empangan dan kehijauan pokok serta bukit-bukau saujana mat.

Seakan hilang rasa hampir 'putus nyawa' di pendakian tadi selepas dihidangkan pemandangan menakjubkan di platform buluh yang dibuat penduduk Kampung Sting ini.

AIR Terjun Curtain yang mempersonakan.
AIR Terjun Curtain yang mempersonakan.

Perjalanan diteruskan ke Air Terjun Curtain dan Susung pula. Dari tapak mula pendakian Kampung Sting ini, penulis dan rakan-rakan menaiki bot semula, yang mengambil masa selama lima minit untuk tiba di tebing bagi memulakan pendakian ke air terjun.

Pendakian ke air terjun ini lebih mencabar di sebabkan hujan menjadikan laluan semakin licin.

Sebelum tiba di air terjun, kami perlu melalui tiga titian buluh yang unik. Dua titian buluh pendek dan tidaklah begitu mencabar.

Titian buluh ketiga paling mendebarkan kerana lebih panjang dan mengharungi anak sungai yang besar. Rakan penulis berasa gayat, mengambil masa sedikit untuk mengharungi titian ini.

Semakin lama pendakian, semakin kuat alunan deruan air terjun. Jurupandu memberitahu sudah dekat dengan Air Terjun Curtain.

Penulis memaling ke arah jam tangan pintar, hampir 30 minit mendaki dari tapak permulaan tadi. Deruan air terjun jelas kedengaran, tatkala penulis berpaling ke kiri, air terjun ini tersergam indah.

Kami kemudian berehat seketika di atas batu sambil menikmati pemandangan air terjun. Kehangatan tubuh mendaki dan kepenatan kaki melangkah disegarkan dengan kedinginan air terjun.

Deruan air nyata menenangkan hati yang gelisah, melupakan sejenak segala masalah. Rasa berbaloi pendakian kali ini.

Penulis ralit memerhatikan gelagat orang ramai di sini. Ada yang mandi-manda, merakamkan gambar, duduk bersembang, bergelak tawa mengeratkan silaturahim.

Dari Air Terjun Curtain, pendakian diteruskan menuju ke Air Terjun Susung yang juga dikenali sebagai Jurassic World of Sarawak.

MELAWAN rasa gayat ketika melalui titian buluh yang merentasi anak sungai.
MELAWAN rasa gayat ketika melalui titian buluh yang merentasi anak sungai.

Pendakian ke sana lebih mencabar kerana laluannya yang lebih sempit dan curam. Terdapat dua tempat memerlukan kesabaran di sebabkan bertembung dengan pendaki yang turun dari atas.

Rintangan demi rintangan diharungi akhirnya selepas mendaki selama 20 minit, akhirnya kami tiba di Air Terjun Susung.

Melihatkan air terjun ini, segala penat lelah seakan terbayar dan berbaloi. Seumpama berada di dunia fantasi dan magika, penulis berasa seperti di alam lain. Tepatlah julukannya sebagai Jurassic World of Sarawak.

Ketika penulis dan rakan tiba di Air Terjun Susung ini, tiada sesiapa pun di sini membuatkan kami menikmati pemandangan indah ini semaksimum mungkin.

Deruan dan percikan airnya, pokok-pokok dan lumut di batu yang menghijau dan ranting pokok yang begitu unik pasti memukau sesiapa yang melihatnya.

Selepas hampir 30 minit merawat mata melihat kehijauan dan keindahan air terjun ini, penulis mula beredar dan menuruni bukit ini.

Berat kaki melangkah, bukan kerana kepenatan tetapi seakan tidak mahu untuk meninggalkan 'alam fantasi' ini.

Penulis sempat singgah di Air Terjun Curtain seketika untuk menyegarkan badan sebelum meneruskan perjalanan ke bot yang menanti di tebing air.

Bot meluncur laju, membawa kami menuju ke realiti sebenar. Dari jauh, sudah kelihatan empangan menandakan kami sudah dekat ke destinasi.

Alhamdulillah, kami berpeluang melihat kampung atas awan dan penduduknya serta menyaksikan keindahan air terjun yang tersorok di celah-celah hutan yang cukup mempersonakan.

Berkelanalah di bumi Tuhan yang indah dan luas ini. Segalanya kita ada, Malaysia mempersona!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 7:00 AM