PEMANDANGAN sekitar pekan Kundasang.
PEMANDANGAN sekitar pekan Kundasang.
Nurul Husna Mahmud

Buat mereka yang 'kaki jalan' seperti penulis, tentu memahami betapa sukarnya tempoh penularan pandemik Covid 19 apabila tidak dapat lagi memenuhi hobi seperti melancong ke luar negara.

Ketika ini rata-rata menahan diri dengan 'berkurung' atau mengehadkan pergerakan ke tempat umum bagi memastikan kesihatan dan keselamatan seisi keluarga.

Namun tidak semestinya anda tidak boleh berangan dan merencana percutian akan datang bermula dengan melancong dalam negeri.

Satu perkara boleh memenuhi 'kerinduan' terhadap suasana percutian di negara luar adalah mengunjungi lokasi percutian seakan-akan dengan suasana itu dalam negara.

Sebelum itu tinjau dahulu lokasi percutian yang mampu memberi suasana seperti itu.

Untuk SANTAI kali ini penulis tertarik berkongsi dengan pembaca mengenai dua lokasi iaitu Desa Cattle Dairy Farm, Kundasang, Sabah dan UK Farm di Kulai Johor setanding dengan tarikan di luar negara.

Memandangkan Sabah masih mencatatkan penularan Covid-19 yang membimbangkan, ada baiknya anda peka dengan perkembangan semasa jika merancang ke Desa Cattle Dairy Farm.

MEMILIKI padang ragut dan kereta kuda boleh melengkapkan angan-angan seolah bercuti di luar negara.
MEMILIKI padang ragut dan kereta kuda boleh melengkapkan angan-angan seolah bercuti di luar negara.

Tidak salah untuk meletakkan destinasi itu dalam rancangan percutian anda apabila suasana kembali reda.

Sebut sahaja Desa Cattle Dairy Farm itu pastinya ramai sudah membayangkan lembu tompok hitam putih meragut padang rumput terbentang luas dengan pemandangan Gunung Kinabalu dan bukit-bukau di belakangnya.

Pemandangan itu tidak ubah seperti di New Zealand.

JUALAN sayur oleh penduduk tempatan.
JUALAN sayur oleh penduduk tempatan.

Negara kiwi berkenaan pelopor industri tenusu terbesar di dunia dan mempunyai ladang ragut lebih luas berbanding dengan penempatan penduduk negara itu sendiri.

Berbalik kepada tarikan unik di destinasi di Kundasang itu, ia memerlukan pengunjung memandu sejauh 120 kilometer untuk sampai ke pekan tanah tinggi itu.

Selain tarikan ladang berkenaan, destinasi itu juga terkenal dengan hasil sayur-sayuran segar. Malah boleh juga lihat ada penduduk tempatan menjual hasil di tepi jalan.

Dalam menikmati pemandangan menarik itu, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti memberi susu kepada anak lembu, melihat bagaimana susu di ladang ini diproses dan dibungkus serta memberi kambing makan rumput.

BOLEH melawat bangsal haiwan ternakan turut terdapat di lokasi sama.
BOLEH melawat bangsal haiwan ternakan turut terdapat di lokasi sama.

Dalam keseronokan itu, pengunjung turut boleh menikmati pelbagai produk tenusu dijual seperti aiskrim, yogurt dan susu kotak.

Sementara untuk warga Semenanjung pula, destinasi seperti UK Farm yang terletak di Kluang Johor juga mempunyai padang ragut luas dalam ladang berkeluasan 40 hektar yang boleh memenuhi angan-angan anda.

Ladang itu menjadi tempat untuk pengunjung mendekati pengalaman hidup dalam ladang ternakan yang mana gaya hidup kedesaan sering dilihat di luar negara.

Menariknya UK Farm mempunyai ratusan ternakan biri-biri dan haiwan lain termasuk kuda dan burung unta, pengunjung boleh menikmati produk ladang secara langsung di lokasi terbabit.

Malah aktiviti unik iaitu menangkap kambing bukanlah biasa dilakukan dalam rutin harian terutama mereka yang membesar di bandar.

KILANG dan jualan susu segar terus dari ladang.
KILANG dan jualan susu segar terus dari ladang.

Selain itu ada pakej menjelajah dengan kereta kuda selain fasiliti bas untuk kumpulan besar melawat sekitar ladang.

Jika jauh, ada kemudahan penginapan membolehkan mereka menikmati suasana unggun api atau bermalam ala desa di ladang terbabit.

Pendek kata selain dalam merakam foto yang menarik dalam Instagram buat tatapan 'pengikut' setia, pengalaman dan pembelajaran membantu memahami sumber makanan antara boleh dimanfaatkan pengunjung sepanjang berada di situ.

Namun, dalam apa jua keadaan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 7:00 AM