PERANCAH utama jejantas diperbuat daripada aluminium.
PERANCAH utama jejantas diperbuat daripada aluminium.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SELEPAS hampir lapan bulan pembukaannya ditangguhkan, tarikan terbaharu di Lembah Klang, Forest Skywalk di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dibuka kepada orang ramai akhir Ogos lalu.

Forest Skywalk atau juga dikenali sebagai Jejantas Rimba itu terdiri daripada beberapa pelantar dengan ketinggian antara 18 hingga 50 meter (m) dan panjang keseluruhan 250m.

Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar FRIM, Dr Noor Azlin Yahya berkata, proses pembinaan jejantas yang terletak dalam Taman Botani Kepong itu bermula 15 Disember 2018 dan siap sepenuhnya pada 16 Disember tahun lalu.

Namun, ia tidak dapat dibuka lebih awal kerana pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 PENGUNJUNG tidak ketinggalan merakam gambar kenangan.
PENGUNJUNG tidak ketinggalan merakam gambar kenangan.

Kata Dr Noor Azlin, meskipun Jejantas Rimba baharu sahaja dibuka namun sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila merekodkan 2,300 pengunjung pada minggu pertama.

"Jejantas Rimba menawarkan pemandangan indah hutan matang (arah utara) dan pemandangan sekitar Taman Botani Kepong (arah selatan).

"Pemandangan memukau ibu kota Kuala Lumpur termasuk bangunan Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas pula boleh dilihat ke arah timur manakala jika memandang ke arah barat, pengunjung akan disajikan pemandangan hutan ladang.

"Pembukaan Jejantas Rimba ini menawarkan tarikan pelancongan terbaharu kepada orang ramai khususnya penduduk di sekitar Lembah Klang," katanya.

PENGUNJUNG dalam dan luar Lembah Klang tidak melepaskan peluang menguji keberanian menaiki Jejantas Rimba.
PENGUNJUNG dalam dan luar Lembah Klang tidak melepaskan peluang menguji keberanian menaiki Jejantas Rimba.

Mengulas lanjut, Pengurus Teknikal Forest Skywalk, Wan Mohd Nafizul Hal-Alim Wan Ahmad berkata, jejantas berkenaan didirikan di atas tanah seluas 0.83 hektar di Taman Botani Kepong.

Ia disiapkan dengan kos keseluruhan berjumlah RM3.2 juta menerusi peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Kata Wan Mohd Nafizul, jejantas itu diperbuat daripada aluminium dan rekaannya sesuai untuk pemuliharaan alam sekitar.

 PENGUNJUNG beratur panjang untuk membeli tiket
PENGUNJUNG beratur panjang untuk membeli tiket

"Rekaan jejantas itu diinspirasikan dari jejantas di Ireland Utara selain turut diguna pakai di beberapa negara termasuk Brunei.

"Konsep jejantas itu juga disesuaikan dengan fokus utama FRIM iaitu mengutamakan pemuliharaan hutan, keselamatan dan keselesaan pengguna untuk bersantai termasuk golongan orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Jelas Wan Mohd Nafizul, orang ramai boleh mencuba keberanian menaiki jejantas itu dalam tiga sesi iaitu bermula jam 8.30 pagi, 10.30 pagi dan 2 petang.

Bagaimanapun, untuk keselamatan, hanya 150 pengunjung dibenarkan dalam sesuatu sesi iaitu 125 orang di Skydeck manakala 25 lagi di Skydeck dan menara (setinggi 50m) dengan pengawasan empat petugas.

"Anda perlu bersabar kerana hanya lima pengunjung dibenarkan berada di atas sesuatu pelantar kerana ia laluan sehala dan pengunjung dilepaskan secara berperingkat.

MENARA setinggi 50m yang menguji keberanian pengunjung.
MENARA setinggi 50m yang menguji keberanian pengunjung.

"Apapun kesabaran itu berbaloi kerana pemandangan indah yang disajikan di sepanjang pelantar jejantas berkenaan.

"Jadi, bagi yang inginkan kelainan sambil menguji keberanian dan menikmati panorama indah hutan semula jadi, Jejantas Rimba ini adalah pilihannya," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Mohamad Zharfan Mohd, 18, berkata, dia dan dua lagi rakannya memilih hari bekerja untuk menaiki jejantas itu bagi mengelakkan situasi menunggu terlalu lama.

Ini kerana kata Mohamad Zharfan, ada rakannya terpaksa beratur hampir dua jam pada hari pembukaan jejantas itu pada 31 Ogos lalu kerana terlalu ramai pengunjung.

"Ramai yang mahu mencuba tarikan terbaharu FRIM ini dan kebanyakannya memilih untuk datang pada hujung minggu atau cuti umum.

"Oleh kerana kami tidak mahu bersesak atau menunggu terlalu lama jadi, hari biasa adalah pilihan yang sesuai.

"Berbaloi kami datang dari jauh (Putrajaya) kerana selain berpeluang menguji keberanian menaiki jejantas yang berada di atas pokok, saya dan rakan juga dapat melihat pemandangan indah sekitar ibu kota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 7:00 AM