Nurul Husna Mahmud


MESKIPUN ketika ini masih ramai pesawah mengusahakan bendang, namun tidak ramai mengamalkan cara tradisi dalam menuai padi.

Kalau ikutkan orang lama, sebelum padi diproses atau ditumbuk menjadi beras, ia perlu disimpan selama sebulan bagi mendapatkan rasa enak apabila ditanak menjadi nasi. Malah tidak ramai yang masih mengadakan aktiviti menghempas ataupun menumbuk padi.

Namun buat mereka yang menginap di di Homestay Pelangi Ban Pecah Kuala Kurau, Perak situasi itu boleh menjadi satu pengalaman baru kepada generasi yang tidak sempat mengenali zaman itu selain menggamit nostalgia buat mereka sudah berusia atau pernah melaluinya.

Pengusahanya yang juga pasangan suami isteri berusia 50 tahun, Yazid Sanusing dan Anadiah Mohamed, menjadikan situasi tradisi di bendang antara jadual aktiviti yang boleh dinikmati pengunjung inap desa berkenaan.

"Sesuai dengan kedudukan inap desa ini yang terletak dalam perkampungan tradisi di kebun sawit dikelilingi bendang membuatkan saya mahu memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba cara membuat bendang orang lama.

"Dulu padi dituai disimpan sebelum diproses menjadi beras kerana itu boleh memberi kualiti segar selain beras enak dan wangi ketika ditanak. Kalau sekarang, semua diproses segera malah beras sudah siap.

"Setidak-tidaknya generasi berpeluang belajar kepayahan petani dahulu. Selain itu boleh juga bezakan kualiti beras dihasilkan mengikut cara tradisional berbanding kaedah moden," kata Yazid.

SUASANA kampung yang mendamaikan.
SUASANA kampung yang mendamaikan.

Tambah Yazid, inap desanya itu terdiri daripada 12 rumah mampu memenuhi 100 pengunjung dalam satu masa. Malah ia sesuai untuk meraikan hari keluarga mahupun majlis korporat yang santai.

"Rata-rata datang ke inap desa kami adalah individu dan berkumpulan. Lagi ramai ialah golongan sudah berkeluarga kerana kemudahan kami mesra dengan pengunjung mahu meraikan percutian dengan ahli keluarga.

"Kami ada kolam renang kanak-kanak dan juga kemudahan lain seperti kolam memancing dalam kawasan inap desa. Tarikan lain ialah berpeluang mengelilingi kampung dengan menyewa ATV mahupun basikal.

"Jadi banyak aktiviti boleh dilakukan dalam persekitaran kampung. Dari segi keselamatan tidak perlu bimbang kerana setiap aspek dijaga kerana konsep tuan rumah tinggal bersama dengan penyewa. Kebajikan pengunjung dijaga sepanjang masa," katanya.

Menyentuh keistimewaan lokasi inap desanya, Yazid tidak menafikan ia berada tidak jauh dari pantai popular malah pernah viral iaitu Pantai Ban Pecah.

Ia adalah laluan pesisiran laut dipenuhi dengan bongkah batu yang berfungsi sebagai pemecah ombak dan membentuk struktur tinggi menghalang air laut melimpah ke kawasan sawah.

PEMANDANGAN udara sekitar Ban Pecah.
PEMANDANGAN udara sekitar Ban Pecah.

Terdapat juga kawasan pesisir pantai tanpa kehadiran bongkah batu membolehkan pengunjung membawa anak-anak mandi atau menikmati aktiviti rekreasi di petang hari. Tidak kurang juga ada yang meniti bongkah untuk merakam foto selain berhasrat untuk memancing.

Kata Yazid lagi, ramai pengunjung yang datang terdiri daripada kaki pancing dan mereka menyewa bot sementara anak dan isteri ditempatkan di inap desa untuk bersantai.

"Selain memancing di tali air berhampiran atau kolam memancing dalam kawasan inap desa, ada juga kaki pancing laut ambil kesempatan untuk memancing dengan menyewa bot dari pengusaha tempatan.

"Mereka juga boleh memilih untuk 'parkir' joran di pesisir tanpa bimbang keselamatan anak dan isteri kerana mempunyai tempat selesa untuk menginap," katanya.

KOLAM mandi untuk anak-anak.
KOLAM mandi untuk anak-anak.

Untuk menambahbaik perkhidmatan untuk pengunjung di inap desa terbabit, Yazid berhasrat memenuhi permintaan dalam kalangan pengunjung yang mahukan dia menyediakan sajian makanan atau kafe berasakan selera tempatan.

"Perancangan pada Oktober nanti kami mahu membuka kafe bercita rasakan selera tempatan. Keistimewaan mestilah sajian kuih muih banjar kerana saya asal dari suku itu. Antara kuih bakal disajikan kuih kalakatar dan widai kipeng," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 6:20 AM