MIRIP bumbung Keukenhof, seni bina sering dilihat pada kediaman di Belanda. FOTO Ihsan Chalet Latip D’Ayer Itam & BERNAMA
MIRIP bumbung Keukenhof, seni bina sering dilihat pada kediaman di Belanda. FOTO Ihsan Chalet Latip D’Ayer Itam & BERNAMA
Nurul Husna Mahmud

BAGI yang pernah ke destinasi duriotourism atau pelancongan durian, Batu Kurau bukanlah tempat asing dan terletak hanya kira-kira 20 kilometer (km) dari Bandar Taiping.

Pengunjung boleh memilih sama ada mahu menyusuri jalan lama atau Lebuhraya Utara Selatan sebelum memasuki jalan kampung dan akhirnya ke kebun durian dimiliki pengusaha tempatan.

Selain durian, satu lagi perkara menarik mesti diketahui pembaca ialah keistimewaan Batu Kurau apabila memiliki destinasi viral iaitu Chalet Latip D'Ayer Itam di Kampung Air Itam.

Buat anda yang tidak pernah menjejakkan kaki atau sampai ke Belanda, di sinilah lokasi sesuai apabila terdapat 20 buah chalet dengan konsep seni bina ala Keukenhof menerusi perincian pada bumbungnya.

Menurut Pengarah Urusannya Abdul Muzhafar Abdul Manab, 25, idea tercetus apabila dia perlu mengambil alih pengurusan chalet daripada ayahnya, Datuk Abdul Manab Abdullah, 64, pada 2018.

"Dulu saya belajar di United Kingdom dan sering bercuti ke luar negara. Saya lihat banyak seni bina dari luar boleh dipraktikkan di sini termasuklah konsep chalet berbumbung ala Keukenhof.

SELESA ruang dalam chalet bumbung segi tiga. FOTO Ihsan Chalet Latip D’Ayer Itam & BERNAMA
SELESA ruang dalam chalet bumbung segi tiga. FOTO Ihsan Chalet Latip D’Ayer Itam & BERNAMA

"Apabila saya berbincang dengan bapa dan abang, Abdul Muhaimin Abdul Manab, 27, yang turut berkongsi tanggungjawab dalam menguruskan chalet ini, mereka bersetuju.

"Kata mereka, selain tarikan baharu buat Batu Kurau, sekurang-kurangnya pengunjung tempatan yang tidak berkesempatan ke Belanda merasai pengalaman itu di sini,"katanya.

Selain chalet berbumbung ala Keukenhof, suasana di resort ala kampung itu juga semeriah Kampung Warna-Warni Jordipan di Malang, Indonesia apabila turut menggunakan warna berlainan pada chalet yang ada.

"Pengunjung pastinya boleh bersantai dengan ahli keluarga apabila menikmati pemandangan indah pokok yang menghijau selain meniti jambatan gantung merentasi sungai.

"Pentingnya ialah buka sahaja pintu chalet mereka akan menikmati pemandangan sungai Lata Air Hitam yang terbentang. Di sini juga kami tawarkan tempahan makanan buat pengunjung yang idam sajian kampung selain jamuan barbeku.

DUA beradik mengambil-alih pengurusan chalet daripada bapa. FOTO Ihsan Chalet Latip D’Ayer Itam & BERNAMA
DUA beradik mengambil-alih pengurusan chalet daripada bapa. FOTO Ihsan Chalet Latip D’Ayer Itam & BERNAMA

"Selain percutian keluarga, tempat kami ini sesuai untuk majlis korporat berdasarkan fasiliti akan datang dijangka siap sekitar September nanti iaitu kolam renang, trek ATV selain seksyen riadah tali tinggi untuk peminat aktiviti ekstrem,"katanya.

Menyentuh perancangan akan datang, beliau dan abangnya bercadang menambah unit chalet berkonsepkan seni bina tradisi Jepun sesuai untuk kelompok pelancong 'backpacker' serta pasangan yang datang untuk berbulan madu.

"Konsep chalet seterusnya saya dan abang membayangkan perincian sering dilihat pada rumah percutian kolam air panas di Jepun iaitu dengan pintu buluh gelongsor," katanya.

Ketika ini chalet terbabit sudah memiliki kemudahan asas seperti dewan dan surau selain mempunyai 12 lagi chalet lama menggunakan konsep biasa.

MERIAH seolah-olah pemandangan Kampung Warna-Warni Jordipan. FOTO Ihsan Chalet Latip D’Ayer Itam & BERNAMA
MERIAH seolah-olah pemandangan Kampung Warna-Warni Jordipan. FOTO Ihsan Chalet Latip D’Ayer Itam & BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:30 AM