KETURAJAAN pengunjung yang menyertai aktiviti berakit redah jeram.
KETURAJAAN pengunjung yang menyertai aktiviti berakit redah jeram.
Mohd Nassir Bin Abd Rashid


BERAKIT redah jeram atau lebih dikenali sebagai 'white water rafting' adalah sebuah sukan lasak yang menggunakan bot pelampung angin.

Bot jenis ini sering digunakan bagi menelusuri air sungai berjeram kerana ia lebih ringan dan mudah untuk dikemudi.

Tahukah anda dengan hanya sejam pemanduan dari Kuala Lumpur terdapat sungai peringkat keempat di Sungai Kuala Kubu Bharu, Selangor atau dikenali sebagai sungai KKB?

Disebabkan pembinaan Empangan Selangor pada 2003, tempoh perjalanan berakit tidak sejauh seperti sebelumnya.

Bukaan air lepasan dari Empangan Selangor membuatkan perjalanan dari mula hingga penamat mengambil

masa dua jam sahaja.

BERGAMBAR berlatarbelakangkan air terjun.
BERGAMBAR berlatarbelakangkan air terjun.

Jarak perjalanan yang dahulunya 14 kilometer (km) kini dipendekkan kepada 8km sahaja.

Di kaki bukit Kampung Gerachi, anda akan diserahkan segala peralatan selain diberikan taklimat keselamatan.

Peralatan yang wajib dipakai ialah topi keselamatan, pendayung dan jaket keselamatan.

Kebiasaannya bot mula bergerak pada jam 11.30 pagi dan setiap bot ditempatkan dua jurumudi di depan dan di belakang bot yang terlatih.

Berbanding sungai lain yang lebih senang yang hanya menggunakan khidmat seorang pengemudi.

ANTARA pengunjung yang menyertai aktiviti lasak.
ANTARA pengunjung yang menyertai aktiviti lasak.

Sungai KKB yang diklasifikasikan peringkat empat (pertengahan) memerlukan pengemudian lebih cekap dan tangkas.

Walaupun sekadar dua jam perjalanan, namun sepanjang perjalanan berakit anda akan berhadapan lima jeram yang besar.

Selepas kira-kira 15 minit bertolak, anda akan diperkenalkan dengan jeram peringkat empat yang pertama iaitu jeram 'First Canyon'.

Laluan sungai yang sejauh 100 meter ini dipenuhi pelbagai saiz dan formasi batuan yang menyebabkan laluannya agak teknikal.

Di sini tugas jurumudi yang berpengalaman benar-benar memainkan peranan.

Sekiranya tersilap pilih laluan yang selamat, ada dua kemungkinan yang akan berlaku sama ada anda terbalik atau bot tersangkut atas batu.

Selesai mengharungi cabaran pertama, anda akan dihidangkan dengan sebuah pemandangan air terjun setinggi tujuh meter.

PENGUNJUNG berpeluang mandi sungai.
PENGUNJUNG berpeluang mandi sungai.

Tidak jauh dari lokasi air terjun, anda dikejutkan pula dengan jeram Hidraulik.

Setiap kali anda melalui jeram yang besar, jurumudi memberi arahan dengan tegas dan kuat, 'sit in, sit in' (bertinggung dalam bot bagi mengelakkan daripada jatuh).

Di saat jurumudi berteriak memberi arahan, jantung anda mula berdebar-debar terutama yang pertama kali terbabit dengan aktiviti lasak ini.

Perasaan takut ini juga penting supaya penumpang bot sentiasa peka dengan arahan diberikan.

Bagaimanapun, selepas mengharungi beberapa jeram besar, perasaan takut yang sebelum ini mengganggu fikiran bertukar seronok kerana sedar bahawa aktiviti yang disangkakan bahaya sebelum ini sebenarnya selamat.

Selepas berakit kira-kira 45 minit, anda akan mengharungi jeram besar yang ketiga dikenali sebagai 'Chicken Drop'.

Sehingga kini asal usul nama jeram ini masih misteri.

Mungkin juga jeram ini diberi nama sedemikian kerana potensi untuk bot terbalik adalah tinggi.

Jeram seterusnya adalah jeram paling besar di sungai ini yang dikenali sebagai jeram 'Second Canyon.'

 JERAM ‘Chicken Drop’.
JERAM ‘Chicken Drop’.

Jurumudi perlu lebih berhati-hati dan peka melalui jeram ini kerana sekiranya tersalah langkah bot mungkin terbalik.

Perasaan apabila turun jeram ini adalah seperti menunggang kuda liar kerana bila-bila masa sahaja anda mungkin terjatuh dan terhumban keluar dari pedati.

Malah, pernah berlaku beberapa kali jurumudi belakang terpelanting ke hadapan bot disebabkan jeram yang curam.

KIra-kira 100 meter dari jeram 'Second Canyon' anda dapat melihat sebuah air terjun yang memukau.

Lokasinya yang strategik di pinggir sungai seolah-olah menantikan kedatangan kami.

JERAM 'Second Canyon'.
JERAM 'Second Canyon'.

Di sini anda berpeluang bergambar berlatarbelakangkan air terjun sambil menikmati hidangan yang disediakan syarikat Xventure Mind.

Spesies ikan tengas di sini agak banyak dan anda berpeluang melihat aksi tangkas mereka ketika merebut makanan yang dicampak.

Selepas berehat selama 15 minit kami menyambung perjalanan berakit.

Baki perjalanan selama sejam, jeram seterusnya tidak mengerikan seperti sebelumnya.

Kira-kira 200 meter sebelum penamat, sungai ini seolah-olah menawarkan hadiah cenderahati sebelum tiba di penamat.

Sesuai dengan nama yang diberi iaitu 'Last Rapid' jurumudi mengambil peluang mengusik peserta dengan sengaja terbalikkan bot sebelum mereka dibiarkan hanyut di sungai sehingga penamat.

RAKIT terbalik.
RAKIT terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 7:00 AM