LALUAN denai yang mencabar. FOTO Ed Junaidi
LALUAN denai yang mencabar. FOTO Ed Junaidi
Hafiz Ithnin

SEBUT saja Sarawak, pastinya ia antara satu lokasi amat menarik bagi mereka yang mencintai alam semula jadi dan keunikan budayanya.

Apatah lagi, dapat mendekatkan diri dengan masyarakat setempat. Tentunya ia pengalaman pengembaraan yang tidak dapat dilupakan.

Berkongsi pengalaman ke Bario, Ed Junaidi yang amat menggemari aktiviti meneroka sambil mengembara, membuatkan penulis seakan ingin ke lokasi itu kerana keindahan dan keunikan masyarakat setempatnya.

Ed berkata, dari Kuala Lumpur ke Bario perlu mengambil dua kali penerbangan iaitu Kuala Lumpur ke Miri dan seterusnya ke Bario. Jumlah jam penerbangan keseluruhan sekitar tiga jam.

Katanya, dia berkesempatan mengunjungi Bario bagi aktiviti meredah laluan denai untuk melihat kemudahan pondok yang disediakan sebuah syarikat berstatus multinasional bagi kegunaan masyarakat Orang Ulu dan pelancong yang melalui laluan denai, Bario Ancestral Trail.

ANTARA pemandangan yang menarik ketika perjalanan. FOTO Ed Junaidi
ANTARA pemandangan yang menarik ketika perjalanan. FOTO Ed Junaidi

Jelasnya, pengalaman meredah laluan itu yang mengambil masa sehingga 14 jam perjalanan sememangnya tidak dapat dilupakan kerana laluan denainya masih lagi dara dan dilitupi hutan hijau tebal.

"Laluan sebenarnya mencecah 25 kilometer bermula dari Pekan Bario dan berakhir di puncak Bukit Batu Lawi yang unik kerana mempunyai dua puncak.

"Bagaimanapun, kami tidak dapat meneruskan perjalanan sehingga penghujungnya kerana laluan begitu jauh dan amat mencabar terutama perlu meredah laluan denai yang tidak kelihatan laluannya," katanya.

Ed berkata, ia adalah laluan keluar masuk masyarakat Orang Ulu terutamanya kaum Kelabit dan Penan yang tinggal di kawasan pedalaman untuk memasarkan barangan hasil hutan ke Pekan Bario.

Jelasnya, menerokai laluan itu lebih mencabar kerana ia bukan saja mendatar tetapi kadangkala pengunjung perlu melalui trek yang agak curam dan mendaki.

SUASANA tenang di sekitar Bario. FOTO Ed Junaidi
SUASANA tenang di sekitar Bario. FOTO Ed Junaidi

ED ketika melalui jalan denai yang jarang diterokai. FOTO Ed Junaidi
ED ketika melalui jalan denai yang jarang diterokai. FOTO Ed Junaidi

"Terdapat juga laluan yang melalui tebing gaung yang tanahnya agak peroi dan berbahaya. Apatah lagi, keadaan dalam hutan tebal yang memerlukan kita sentiasa bergerak mengikut penunjuk arah yang pakar mengenai laluannya.

"Menariknya, sepanjang perjalanan, saya dapat merasai pengalaman kehidupan masyarakat luar bandar yang perlu berulang-alik untuk mendapatkan barangan keperluan di pekan itu," katanya.

Sepanjang perjalanan, dia juga perlu melintasi tiga anak sungai dan kelihatan juga air terjun yang masih cantik kerana tidak ramai pengunjung luar yang datang ke kawasan itu.

"Bagaimanapun, kami tidak mengambil kesempatan untuk bermandi manda kerana perlu meneruskan perjalanan ke pondok ke dua yang masih jauh. Cukup sekadar mengambil gambar dan mengisi bekalan air.

Ed berkata, dia difahamkan bukan semua peminat aktiviti lasak mampu untuk menerokai hutan di kawasan itu kerana kesukaran laluan denai yang masih dara.

"Menggunakan penunjuk arah penduduk setempat adalah langkah terbaik kerana hutan di sini amat tebal dan bukan senang untuk melihatnya kerana ada sebahagiannya sudah ditumbuhi semak akibat jarang dilalui.

"Bagi saya pengalaman menerokai laluan ini sememangnya tidak dapat dilupakan memandangkan ia adalah laluan denai yang amat mencabar," katanya.

MASYARAKAT setempat yang kaya dengan pegangan budaya dan adat. FOTO Ed Junaidi
MASYARAKAT setempat yang kaya dengan pegangan budaya dan adat. FOTO Ed Junaidi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:30 AM