SEPERTI luar negara pemandangan jambatan kanopi Lembah Datum. FOTO Sumber Google
SEPERTI luar negara pemandangan jambatan kanopi Lembah Datum. FOTO Sumber Google
Nurul Husna Mahmud

MENGUJI keberanian tidak semestinya perlu melakukan aktiviti berbahaya mahupun ekstrem, sebaliknya menyeberangi jambatan gantung yang tinggi sudah memadai.

Bagi peminat aktiviti luar mahupun mereka yang ingin menguji rasa gayat, jambatan di destinasi domestik disenaraikan Santai kali membuatkan anda 'berpeluh' sejuk.

Tidak kurang 10 meter dari permukaan tanah, sambil dialun bayu menyusuri hutan atau sungai membuatkan langkah diatur akan kaku dek rasa gayat.

Berbanding fokus kepada rasa ketakutan, anda boleh cuba tarik nafas dan menikmati pemandangan atau panorama indah pada ketinggian berkenaan.

Pastinya memahat memori indah jika selangkah lebih berani dengan klik lensa dan kongsikan pengalaman sendiri bersama rakan mahu pun keluarga.

Di sini penulis senaraikan empat destinasi jambatan gantung disarankan pengunjung tempatan di atas talian.

1. Jambatan Gantung Lembah Datum Lahad Datu, Sabah.

Rata-rata warganet lokal di negeri bawah bayu mencadangkan lokasi ini sebagai pilihan peminat kepada rekreasi semula jadi.

Dikenali bukan sahaja pengunjung tempatan, jambatan itu lebih tersohor dalam kalangan pelancong luar sebagai Canopy Walk Borneo Rainforest Lodge.

Tergantung setinggi 27 meter dengan laluan sepanjang 300 meter membolehkan pengunjung meninjau panorama sekitar hutan simpan berkenaan.

Keluasan hutan simpan berkenaan ialah 440 kilometer persegi adalah habitat bagi badak Sumatera, orang utan, kancil, harimau bintang dan 270 spesies burung.

BOLEH melihat pemandangan sekitar hutan simpan dan spesies yang ada. FOTO Sumber Google
BOLEH melihat pemandangan sekitar hutan simpan dan spesies yang ada. FOTO Sumber Google

PEMANDANGAN hutan di Kuala Tahan boleh dinikmati pengunjung. FOTO Sumber Google
PEMANDANGAN hutan di Kuala Tahan boleh dinikmati pengunjung. FOTO Sumber Google

2. Jambatan Kanopi Kuala Tahan, Pahang.

Menuju ke Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Pahang dari Kuala Lumpur mengambil masa tiga hingga ke empat jam perjalanan bergantung kepada cara pemanduan.

Bagi penulis ia berbaloi kerana reputasi jambatan gantung di hutan simpan ini iaitu jambatan gantung atas pokok antara paling panjang di dunia.

Berketinggian 40 meter dari aras tanah dan panjangnya 500 meter pasti perjalanan di atas jambatan itu dirasakan terlalu lama.

Apatah lagi kalau ada angin bertiup, rasa terbuai-buai mengundang gementar mereka yang gayat.

Sebalik rasa ketakutan itu cuba alih pandangan ke kiri dan ke kanan anda bagi melihat pemandangan pada aras mata ketinggian berkenaan. Namun kerana ia berbeza dengan perjalanan di bawah atau di permukaan tanah.

JAMBATAN gantung Kuala Tahan dalam rekod dunia. FOTO Sumber Google
JAMBATAN gantung Kuala Tahan dalam rekod dunia. FOTO Sumber Google

3. Jambatan Gantung Tamparuli, Sabah.

Jambatan ini bukan sahaja tersohor dalam kalangan penduduk di negeri itu sebaliknya terkenal sehingga ke Semenanjung dek lagu dusun mengenai jambatan itu yang dilagukan penyanyi tempatan

John Lusah, pada tahun 80-an.

Lebih menarik ada legenda mengenai jambatan Tamparuli yang terletak berdekatan iaitu mengenai kononnya seorang gadis cantik bernama Solungkoi dikorbankan untuk tombuakar (hantu air) ketika pembinaan jambatan itu semula selepas musnah dalam banjir besar pada 1930.

JAMBATAN Gantung Tamparuli popular tempias lagu dusun oleh penyanyi tempatan tahun 80-an. FOTO Sumber Google
JAMBATAN Gantung Tamparuli popular tempias lagu dusun oleh penyanyi tempatan tahun 80-an. FOTO Sumber Google

4. Jambatan Tergantung Kuala Semantan, Temerloh, Pahang.

Meskipun beberapa kali ke Temerloh tidak pula penulis tahu bandar popular dengan juadah tempoyak patin itu ada jambatan gantung tersendiri.

Sehinggalah membaca penulisan blogger Cik Renex yang berkongsi mengenai kewujudan jambatan berkenaan tidak jauh daripada Esplanade Temerloh.

Jambatan itu sebenarnya merentangi laluan ke sebuah restoran ikan patin yang khabarnya tidak lagi beroperasi.

Namun fakta lain perlu diketahui hanya dua orang sahaja boleh menyeberangi dalam satu masa.

Ketinggian jambatan itu ialah 40.22 meter dengan panjang sejauh 86 meter yang memberi peluang mereka melihat pemandangan di Kuala Sungai Semantan bertembung dengan Sungai Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 6:30 AM