LATAR bangunan menggunakan bata merah membuatkan sesi foto raya berlatarkan pemandangan unik. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto
LATAR bangunan menggunakan bata merah membuatkan sesi foto raya berlatarkan pemandangan unik. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto
Nurul Husna Mahmud

MERAIKAN Syawal dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyaksikan budaya ziarah raya berubah 'gaya' apabila umat Islam di Malaysia 'terperangkap' di kediaman masing-masing dengan cara tersendiri.

Selain menikmati hidangan tradisi seperti ketupat, lemang dan rendang di rumah, pelepasan bersyarat diberikan oleh kerajaan pada raya pertama dimanfaatkan warga kota untuk merakam kenangan raya di lokasi menarik berhampiran.

Tidak semestinya lokasi berkenaan popular sebagai tarikan pelancong, sebaliknya mereka memilih disebabkan memiliki latar belakang baik bangunan mahupun tatarias landskap unik untuk dijadikan gambar kenangan santai raya dalam tempoh PKPB.

Seperti pekerja swasta Elyantie Anis Md Noor, 33, memilih Pusat Komersial LGSB Sungai Buloh Selangor untuk merakam foto raya bersama suami, Helmi Majid Ismail, 40, dan dua anak, Sofea Issabella,7, dan Luqas Deniz, 3.

Katanya, meskipun ia hanyalah kawasan perniagaan yang mempunyai lot kedai namun struktur bangunan terdiri daripada binaan batu bata merah dan putih membuatkan lokasi ini unik.

"Lokasi ini menjadi pilihan kerana kedudukan terpencil dan jarang dikunjungi orang disebabkan lebih kepada bangunan komersial dan bukannya popular bagi tujuan melancong atau merakam foto.

LOKASI suasana kampung lokasi ‘outing’ raya lalu dirakam Ahmad Termizi. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto
LOKASI suasana kampung lokasi ‘outing’ raya lalu dirakam Ahmad Termizi. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto

RUMAH kampung tarikan unik di Gunung Lang menjadikan ia popular sebagai lokasi gambar ‘outing’ raya. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto
RUMAH kampung tarikan unik di Gunung Lang menjadikan ia popular sebagai lokasi gambar ‘outing’ raya. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto

"Saya dan suami pilih disebabkan jaraknya berhampiran dengan rumah iaitu 10 minit dari Kepong selain anak-anak juga gembira dapat keluar sekejap di kawasan berkenaan.

"Pada pengamatan saya, lokasi ini sudah cukup sesuai kerana terdapat landskap dengan pokok atau tanaman trend terkini serta beberapa kafe yang mempunyai gaya masa kini sesuai untuk bergambar.

"Malah mempunyai estetika dan menyuntik mood 'nostalgik' apabila adanya struktur batu bata merah dan putih menjadi latar dalam gambar raya keluarga kali ini," katanya.

Meskipun mengakui rindu dengan suasana kampung dan tidak dapat beraya bersama keluarga, kata Elyantie Anis, dia masih mahu meraikan bersama keluarga dengan cara lebih selamat.

"Biasanya kami akan pulang ke kampung di Kota Bharu, Kelantan untuk bergambar raya tetapi akur dengan perintah PKPB yang melarang pergerakan merentas negeri menyebabkan kami meraikan di Selangor sahaja.

"Tujuan saya dan suami membawa anak-anak bergambar di Pusat Komersial LGSB Sungai Buloh bagi mengelak aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah adik-beradik dan saudara mara sekitar Lembah Klang.

MERAKAM foto dengan tasik di Gunung Lang. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto
MERAKAM foto dengan tasik di Gunung Lang. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto

PENJARAKAN sosial dalam gambar. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto
PENJARAKAN sosial dalam gambar. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto

"Kami sekadar bertukar ucapan menerusi panggilan video bersama adik-beradik dan ibu bapa di kampung. Setidak-tidaknya waktu 'kosong' tidak beraya dipenuhi dengan sesi merakam foto bersama anak-anak," katanya berkesempatan bertukar duit raya dengan rakan di lokasi sama sebelum pulang ke rumah.

Selain keluarga Elyantie Anis menjadikan LGSB Sungai Buloh Selangor sebagai lokasi 'outing' gambar raya, landskap unik membabitkan lokasi di kawasan perumahan tidak ketinggalan menjadi pilihan kebanyakan warga kota untuk merakam foto raya.

Sementara itu bagi Ahmad Termizi Abd Rahim, 55, berkongsi pula pengalaman raya lalu yang merakam kenangan keluarga besar di lokasi popular di Gunung Lang, Perak.

Katanya julung kali menggunakan khidmat fotografi profesional semata-mata untuk merakam gambar raya bersama keluarga dirasakan berbaloi apabila melihat hasil sebagai kenangan kemudian hari.

"Tahun sebelum ini memang meriah kerana adik-beradik saya sembilan orang akan berkumpul. Jadi biasanya anak-anak buah dan sebahagian adik- beradik gemar bergambar di rumah-rumah kampung.

"Pantang jumpa lokasi seperti sawah padi, tepi tasik dan sungai, ada sahaja ruang digunakan untuk merakam gambar. Tahun lepas anak buah saya upah jurufoto profesional untuk rakam gambar di Gunung Lang.

"Berlatarkan rumah kampung, bunga hutan unik sebagai landskap seperti heliconia dan tasik menyuntik pemandangan luar biasa lokasi berkenaan. Apabila belek gambar raya lepas, kerinduan dengan kemeriahan raya terubat sedikit," katanya.

Turut serta dalam sesi bergambar itu ialah isterinya, Azura Yaacob, Nur Syuhada Ahmad Termizi, 23, Nur Athirah, 19 dan Nur Syazwani, 13 bersama lebih 20 ahli keluarga lain pada raya tahun lalu.

ALIH ziarah raya dengan santai berfoto di lokasi pusat komersial. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto
ALIH ziarah raya dengan santai berfoto di lokasi pusat komersial. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto

AKSI ‘kandid’ raya Elyantie Anis dan keluarganya ketika ‘outing’ raya. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto
AKSI ‘kandid’ raya Elyantie Anis dan keluarganya ketika ‘outing’ raya. FOTO Ihsan Elyanti Anis Md Noor & The Syim Foto

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 7:00 AM