PERCUTIAN di tengah laut. FOTO Azuraini Ikhwan Mohd Hushaini
PERCUTIAN di tengah laut. FOTO Azuraini Ikhwan Mohd Hushaini
Azuraini Ikhwan Mohd Hushaini

‘TONG TALUN’ adalah jolokan nama lain bagi Semporna yang bermaksud 'Hujung Hutan' dalam bahasa Bajau.

Semporna adalah sebuah daerah dan pekan besar di Sabah dikelilingi pulau indah yang menjadikannya satu destinasi percutian pulau unik, indah dan antara terbaik dunia.

Tidak hairanlah, Semporna dikenali juga sebagai Maldives Malaysia dek lautan indah berkaca, air laut yang jernih hingga dasar laut di samping hidupan marinnya hidup bebas dengan ekosistem yang terpelihara.

Penulis bersama enam rakan kumpulan kembara Ace Ventura yang bertugas sebagai guru di Sabah sering meluangkan masa bersama meneroka keindahan negeri ini.

Pada edisi kali ini iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami ingin merasai pengalaman berbeza iaitu bersantai sambil menikmati keindahan lautan di Semporna.

Kebiasaannya, pelancong datang ke Semporna untuk ke pulau indah, tetapi kali ini kami sebagai pelancong tempatan ingin mencuba pengalaman baharu iaitu berada di tengah-tengah lautan yang tidak berpenghujung.

Seawal jam 8 pagi, bot kami bersedia di Jeti Umum Semporna untuk ke Grand Dive Resort Semporna.

Perjalanan mengambil masa 30 minit dan sejurus tiba, Kak Aminah yang juga pengurus di sini menyambut kedatangan kami dengan mesra.

PENULIS (kanan) dan keluarga teruja memegang tapak sulaiman. FOTO Azuraini Ikhwan Mohd Hushaini
PENULIS (kanan) dan keluarga teruja memegang tapak sulaiman. FOTO Azuraini Ikhwan Mohd Hushaini

Wow! Itu kata yang terungkap apabila melihat keindahan Pulau Bohey Dulang yang dihidangkan kepada pengunjung ke sini di samping lautan indah berkaca terbentang di depan mata.

Di sini, terdapat bilik penginapan termasuk kemudahan dan ruang makan santai yang menghadap laut. Selain itu, dasar laut yang cetek sesuai untuk aktiviti berenang dan bersnorkel.

Deruan angin sepoi-sepoi bahasa dan bunyi desiran ombak membelai kami di sini. Itu yang kami mahukan untuk eksplorasi kali ini.

Ia sesuai untuk seisi keluarga dan teman-teman. Seorang daripada ahli kami berkata:

“Tidak perlu pergi jauh-jauh sampai ke Maldives, Semporna pun ada.

Jadi tidak hairan mengapa Semporna menjadi tempat tumpuan pelancong dari luar dan dalam negara.

Dasar laut dengan pasir yang putih dan air laut yang jernih memikat hati kami untuk tidak sabar turun ke sana. Ketika ini, air laut surut.

Maka, sangat sesuai untuk melihat hidupan marin di sini. Banyak tapak sulaiman terdampar di dasar laut dapat dilihat dengan jelas.

Selain itu, batu karang dengan pelbagai bentuk unik dan warna menarik disajikan di dada lautan. Sekumpulan ikan kecil mencelah di sekitar himpunan batu karang menggamit pemandangan di sini. Sungguh indah ciptaan Tuhan.

Seorang rakan berjaya menangkap seekor ikan buntal. Sungguh comel apabila ikan itu melindungi diri dengan mengembungkan badannya.

Untuk pengetahuan semua, masyarakat Bajau di sini memilih ikan buntal sebagai menu juadah masakan yang dinamakan Sagol. Ia sangat enak dimakan dengan nasi panas.

Selesai berenang dan bersnorkel, kami ke ruang makan santai yang berbumbungkan birunya langit untuk menikmati makanan tengah hari yang disediakan pihak pengurusan cukup santai dengan dihidangkan pemandangan Pulau Bohey Dulang.

Acara wajib iaitu aktiviti membakar ikan juga boleh dilakukan di sini. Sambil menunggu siap ikan dibakar, kami berbual mengenai hal kekeluargaan, pekerjaan, isu semasa di samping merancang aktiviti seterusnya.

Kemudian kami berehat di bilik penginapan. Keterujaan terserlah tatkala membuka jendela bilik apabila melihat pemandangan pulau yang indah dari tengah lautan yang tenang sambil angin menderu ke wajah kami. Cukup menakjubkan.

Kami tidak merancang untuk bermalam dan apabila menjengah senja, kami beransur pulang ke daratan.

Walaupun hanya sehari, namun ia pengalaman yang sangat berbaloi kerana dapat melegakan tekanan dengan aktiviti santai seperti ini di samping dapat mengeratkan ukhwah.

Apa yang pasti, Semporna, lautan indah berkaca ibarat Maldives Malaysia. Pastinya selepas PKP ini kami bakal kembali ke sini!

AIR yang jernih sesuai untuk aktiviti berenang dan bersnorkel. FOTO Azuraini Ikhwan Mohd Hushaini
AIR yang jernih sesuai untuk aktiviti berenang dan bersnorkel. FOTO Azuraini Ikhwan Mohd Hushaini

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 7:00 AM