KOMPLEKS Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama sebagai Pusat Seni Persembahan. FOTO fail NSTP
KOMPLEKS Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama sebagai Pusat Seni Persembahan. FOTO fail NSTP
Garret Dawum


KEUNIKAN dan kepelbagaian di Sarawak pasti akan memberi keterujaan dalam pengalaman melancong bagi mereka yang baru menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang itu.

Mereka juga tidak akan kecewa jika memilih Sarawak sebagai destinasi percutian seisi keluarga kerana pencinta kepelbagaian etnik, budaya dan warisan sejarah akan merasai semuanya di situ.

Ditambah pula dengan suasana yang tenang dan udara segar, ia pasti menambahkan lagi keterujaan, sekali gus menggamit kunjungan dalam mencipta memori terindah.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagi merancakkan industri pelancongan tempatan, kerajaan negeri kini menjadikan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama sebagai Pusat Seni Persembahan.

Beliau berkata, projek menaik taraf dan ubah suai kompleks terbabit kepada sebuah panggung seni akan bermula tidak lama lagi dan mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan.

“Kabinet kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri Sarawak sudah bersetuju dengan pelan dan reka bentuk pusat itu.

“Pusat seni persembahan sangat diperlukan di Sarawak kerana negeri ini mempunyai kepelbagaian budaya dan seni yang harus dipertontonkan kepada umum membabitkan tarian, teater serta nyanyian,” katanya.

Beliau berkata, pengubahsuaian kompleks tiga tingkat yang dibina pada 1973 itu menjadi sebuah pusat seni persembahan sudah tentu akan membantu mengangkat martabat budaya dan melebarkan warisan budaya negeri ini ke seluruh dunia.

“Saya mahu melihat persembahan seni diadakan pada setiap minggu apabila siapnya kerja menaik taraf kompleks itu kelak.

“Setakat ini, persembahan kesenian secara terbuka oleh badan kebudayaan Sarawak banyak diadakan di Panggung Udara Kuching dan ia dilihat mampu menarik ramai pengunjung.

“Saya juga percaya kebudayaan dan kesenian antara tarikan pelancong ke Sarawak selain pengunjung datang untuk menghayati alam semula jadi, aktiviti lasak dan makanan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya juga bercadang untuk membuka dua lagi pejabat pelancongan dan perdagangan Sarawak di negara jiran.

“Dua lokasi itu ialah Pontianak dan Brunei. Setakat ini, kerajaan negeri sedang mencari lokasi sesuai.

“Pejabat seperti ini sudah dibuka di Singapura sebagai pusat sehenti untuk pelaburan dan perniagaan serta pemain industri pelancongan di Singapura lebih mengenali Sarawak.

“Pembukaan pejabat itu di dua lokasi baharu akan menambahkan pelaburan, menggalakkan perdagangan dan menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak,” katanya.

Abdul Karim berkata, pihaknya juga akan meningkatkan tahap keselamatan dalam usaha berterusan untuk menggalakkan kehadiran pelancong ke Sarawak.

“Kami akan bekerjasama lebih erat dengan polis pelancong agar Sarawak selamat dikunjungi. Isu keselamatan sentiasa menjadi perkara utama yang dititikberatkan oleh pelancong.

“Selain itu, kami juga akan melihat kepada isu digital seperti penyediaan WiFi kerana kita sangat komited dalam menjayakan kempen melawat Sarawak, Sarawak More To Discover.

“Malah, sejak kempen ini dilancarkan pada 31 Disember tahun lalu, kami sudah berjaya menarik 3.76 juta pelancong dan akan berusaha menambah baik masalah perhubungan seperti penerbangan secara terus ke Sarawak,” katanya.

Kata beliau, pihaknya juga sempat mendapat maklum balas daripada pihak hotel yang mengatakan tempahan bilik sepanjang 2019 sangat memberangsangkan.

“Ini berikutan pelbagai aktiviti besar diadakan di Sarawak seperti larian lasak, Spartan Race Sarawak, Rainforest World Music Festival, Jazz Music Festival, Sarawak Regatta dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 5:30 AM