TARIKAN terbaharu di Tanjung Piandang dikatakan jelapang padi berkeluasan sekitar 400 hektar pada sekitar 1960-an.
TARIKAN terbaharu di Tanjung Piandang dikatakan jelapang padi berkeluasan sekitar 400 hektar pada sekitar 1960-an.
Nurul Husna Mahmud


MESKIPUN penulis berasal dari Perak, kewujudan Ban Pecah hanya diketahui baru-baru ini apabila melihat perkongsian Mohamad Erwan dalam video YouTube mengenai tarikan terbaharu di Tanjung Piandang, Parit Buntar.

Pemandangan dari udara memaparkan sawah padi terbentang dan dari satu sudut yang lain kelihatan pemandangan laut dengan sedikit ruang landai seakan-akan ‘berpantai’ menjadi pusat aktiviti penduduk mahupun orang luar berkunjung untuk beriadah.

Malah di sepanjang laluan pesisiran laut itu boleh kelihatan bongkah batu yang berfungsi sebagai pemecah ombak dan ini membentuk struktur tinggi menghalang air laut melimpah ke kawasan sawah.

Makna ban itu sendiri ialah struktur tebatan air dibina untuk mengawal air daripada melimpah ke kawasan lebih rendah. Biasanya tanah ditambak dan dimampatkan tinggi, tetapi uniknya di lokasi Ban Pecah ini terdiri daripada bongkah batu.

DULUNYA kawasan laut ini adalah jelapang padi milik penduduk.
DULUNYA kawasan laut ini adalah jelapang padi milik penduduk.

Mengenai suasana di lokasi tarikan itu, hujung minggu seperti berpesta apabila ada penduduk atau peminat aktiviti memancing akan bertenggek sepanjang kawasan bongkah berkenaan untuk menikmati pemandangan mahupun menangkap ikan.

Apatah lagi menjadi tumpuan pengunjung luar Parit Buntar mahupun Perak yang mengambil kesempatan untuk melihat pemandangan indah terutama tatkala senja di kawasan itu.

Namun perlu diingatkan untuk pengunjung yang meniti bongkah batu berkenaan, perlu berhati-hati kerana kedudukannya tidak sekata.

Sekali gus permukaan juga tidak rata sukar untuk melepasinya. Bagaimanapun, itu tidak menghalang ‘kaki’ media sosial untuk merakam pemandangan sekitar atau di sepanjang Ban Pecah.

Kawasan ini akan dipenuhi kenderaan setiap hujung minggu sehingga ada penduduk yang tinggal berhampiran ban itu menawarkan servis parkir pada kadar tertentu.

MI UDANG antara menu mesti dicuba.
MI UDANG antara menu mesti dicuba.

Malah ia yang turut terkenal sebagai lokasi penggambaran pasangan pengantin itu sebenarnya mempunyai penceritaan tersendiri apabila penduduk tempatan berkongsi kisah mengenai kawasan itu adalah jelapang padi berkeluasan sekitar 400 hektar yang subur sekitar 1960-an.

Mengapa kawasan penanam sawah itu bertukar kepada lautan, ada kisah menarik di sebaliknya.

Antara dikongsi dalam portal tempatan kononnya ia berpunca daripada sumpahan anak yatim piatu apabila dikhianati bapa saudaranya berkenaan harta tinggalan bapanya.

Kejadian iaitu ombak ‘luar biasa’ memecah benteng sawah atau ban yang dibina sehingga mengubah kawasan bendang dan kebun kelapa milik menjadi pantai dan laut.

BONGKAH batu berfungsi sebagai pemecah ombak.
BONGKAH batu berfungsi sebagai pemecah ombak.

Kisah ini bukan saja menjadi perbualan penduduk daerah berkenaan malah bertebaran sehingga ke sempadan Kedah dan Pulau Pinang.

Tidak dinafikan fenomena ombak besar atau air pasang besar luar biasa selain hakisan pantai menyebabkan tanah sawah penduduk ditenggelami ‘laut.’

Kesan daripada itu juga kerajaan menambak pesisir pantai dengan batu sepanjang kira-kira empat kilometer bermula dari Sungai Baru ke Sungai Burung sehingga ke Kampung Nelayan Baru, Tanjung Piandang.

Jika bernasib baik pengunjung berpeluang melihat objek seperti pintu air ban di tengah-tengah pantai ketika air surut kira-kira dua atau tiga kilometer dari pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:44 AM