Hafiz Ithnin


MESKIPUN kunjungan ke Dusun Tok Wak Desa Sentosa di Baling, Kedah baru-baru ini disambut dengan hujan lebat, namun sempat juga penulis merasai pengalaman makan di dalam sungai.

Konsep makan di sungai bukanlah satu-satunya produk pelancongan yang disediakan oleh pemiliknya, Mohd Akhir Ismail, 62 atau lebih mesra disapa Pak Long dalam kalangan masyarakat setempat.

Ibarat ‘mempergunakan’ keindahan yang ada di sekeliling tanah milik keluarganya, Pak Long bijak memperkenalkan pelbagai produk pelancongan lain seperti aktiviti mendaki Gunung Baling, merasai makanan tempatan, mandi di kolam air panas dan paling menarik pastinya kediaman inap desa serba kampung.

Dalam kalangan masyarakat setempat di kawasan itu, Pak Long antara pengusaha produk pelancongan tempatan yang terkenal dan pendapatan yang diraih turut dirasai komuniti setempat.

Pak Long berkata, pada 2012 dia memperkenalkan aktiviti menikmati makanan kampung di dusun dan usaha itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong.

Katanya, memandangkan terdapat kemudahan sungai berhampiran tanah miliknya, aktiviti menikmati juadah tempatan itu diperluaskan di dalam sungai dan mempelbagaikan lagi produk pelancongan yang lain.

“Jika anda datang ke sini, selain dapat menjamu makanan tempatan kita juga menawarkan aktiviti inap desa dengan pelbagai pilihan sama ada untuk bermalam di dalam rumah kampung atau buaian (hemmock) yang dinamakan sebagai Rumah Ndoi.

PENGUNJUNG boleh bermalam di buaian dikenali sebagai Rumah Ndoi. FOTO Halim Salleh
PENGUNJUNG boleh bermalam di buaian dikenali sebagai Rumah Ndoi. FOTO Halim Salleh

“Saya juga mempunyai kediaman yang dilengkapi dengan ternakan madu kelulut. Jadi apabila pelancong datang mereka juga dapat melihat cara ternakannya dan merasai makanan yang menggunakan madu itu sebagai bahan asas,” katanya.

Semasa berkunjung ke Desa Tok Wak Sentosa, Pak Long turut memperkenalkan aktiviti permainan kampung yang menarik untuk dicuba oleh pengunjung terutama yang datang dari bandar.

Katanya, permainan seperti boling kelapa, mengayam dan mencari udang di sungai antara aktiviti yang sering diadakan bagi pengunjung yang datang secara berkumpulan.

PENGUNJUNG merasai madu kelulut. FOTO Halim Salleh
PENGUNJUNG merasai madu kelulut. FOTO Halim Salleh

“Setakat ini sambutan amat memberangsangkan kerana pengunjung yang mahu ke sini mereka perlu membuat tempatan lebih awal kerana boleh dikatakan setiap hujung minggu pengunjung sentiasa ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:00 PM
KONSEP makan di sungai antara produk pelancongan disediakan Pak Long. FOTO Halim Salleh
KONSEP makan di sungai antara produk pelancongan disediakan Pak Long. FOTO Halim Salleh