MASJID Al-Hussain, Kuala Perlis.
MASJID Al-Hussain, Kuala Perlis.

Aniza Zainudin

[email protected]

INDERA Kayangan, perlambangan negeri terkecil Malaysia yang memiliki keluasan kira-kira 810 kilometer persegi sememangnya bertepatan.

Ketenangan, kehijauan dan keunikan bentuk muka bumi Perlis menjadi faktor tarikan utama dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun asing untuk menerokai negeri yang memiliki tiga jajahan iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.

Arau sememangnya sinonim sebagai bandar diraja manakala Kangar yang juga ibu negeri berfungsi sebagai kota pentadbiran negeri dan Padang Besar pula syurga beli-belah popular.

Negeri dinaungi Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ini juga sering menjadi persinggahan sementara untuk melancong ke Pulau Langkawi ataupun memasuki negara jiran, Thailand.

Berikut antara tarikan tersembunyi negeri mangga harumanis ini:

1. Gua Kelam

Dulunya, gua ini terkenal dengan penghasilan bijih berkualiti tinggi dan ia juga menjadi penghubung antara penduduk Wang Kelian dan Kaki Bukit.

Keistimewaan gua batu kapur ini adalah terowong semula jadi sepanjang 370 meter di dalamnya.

Dalam Gua Kelam juga terdapat sungai bawah tanah semula jadi yang panjangnya mencecah 400 meter.

2. Gua Wang Burma

Terbahagi kepada dua, Gua Wang Burma Satu dan Gua Wang Burma Dua, lokasi ini antara gua paling popular di Perlis kerana keunikan stalaktit dan stalagmit yang terbentuk sejak jutaan tahun dahulu.

Penggemar aktiviti lasak seharusnya menyenaraikan Gua Wang Burma sebagai satu destinasi wajib dikunjungi sekiranya bercuti ke Perlis.

Peneroka boleh merasai pengalaman eksloprasi sama ada secara santai, mendaki, merangkak mahupun mengecilkan tubuh semata-mata ingin melalui laluan sempit serta berlumpur.

Pengembaraan melalui trek hutan menuju ke pintu gua yang memakan masa kira-kira 40 minit ditemani renjer hutan berbaloi apabila pengunjung turut didedahkan dengan pelbagai jenis tanaman termasuk tumbuhan beracun.

Peneroka disaran mendapatkan panduan daripada Jabatan Perhutanan Perlis sebelum memulakan penjelajahan yang mengambil masa keseluruhan hampir empat jam.

GUA Wang Burma
GUA Wang Burma

3. Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen

Warna-warni dan variasi spesies Bougainvillea atau bunga kertas di taman ini seakan-akan memberi gambaran pengunjung sedang berada di destinasi popular dunia.

Terletak di Laman Cenderawasih di kaki Bukit Lagi, taman bunga yang dinamakan sempena Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah ini memiliki keluasan empat hektar.

4. Tasik Timah Tasoh

Pembentukan tasik ini bermula dengan projek pembinaan empangan yang terletak 17 kilometer ke utara bandar Kangar pada 1987 dan siap sepenuhnya pada 1992.

Nama tasik ini diambil sempena dua sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Difahamkan, di dasar tasik ini awalnya terdapat kampung bernama Tasoh yang kemudian ditenggelamkan bagi menjayakan projek empangan ini.

Menyajikan pemandangan indah, pengunjung juga berpeluang menikmati buah-buahan segar jika berkunjung pada musimnya.

Selain itu, tasik ini juga menjadi tumpuan kaki pancing dan aktiviti sukan air seperti berkayak serta berakit.

5. Bukit Keteri

Bukit batu kapur ini dikatakan lokasi terbaik untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam di Perlis.

Dikelilingi kehijauan bendang, selalunya masa diperlukan bagi menyempurnakan pendakian dan tiba ke belly button window Bukit Keteri kira-kira beberapa jam bergantung kepada keupayaan masing-masing.

Laluan yang diteroka sejak 2007 ini difahamkan mempunyai kira-kira 50 laluan berbatu dan antara laluan pendakian paling sukar di Asia Tenggara.

6. Masjid Alwi

Masjid berkonsepkan seni bina Mughal klasik yang disempurnakan pembinaannya pada Februari 1933 antara masjid ikonik Perlis yang wajar dikunjungi.

Diisytiharkan sebagai warisan negara pada 1988 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, masjid ini dinamakan sempena Raja Perlis ketika itu, Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Tuan Syed Saffi Jamalullail.

7. Masjid Al Hussain, Kuala Perlis

Kuala Perlis sememangnya dikenali sebagai satu daripada pintu masuk utama ke Pulau Langkawi, malah ia juga sering menjadi buah mulut ramai gara-gara hidangan makanan laut yang enak.

Popularitinya kian mencanak dengan pembinaan Masjid Al-Hussain bersebelahan jeti Kuala Perlis.

Masjid ikonik ini juga digelar ‘masjid terapung’ kerana struktur jambatan berukuran 50 meter yang berfungsi menghubungkan dewan utama dibina di atas perairan Selat Melaka.

8. Pintu Wang Gunung

Memiliki ketinggian 499.1 meter, itu bukanlah satu-satunya tarikan utama penggemar sukan mendaki gunung menawan Pintu Wang Gunung.

Sebaliknya, gunung ini mempunyai keunikan tersendiri apabila lokasinya di sempadan antara dua negara, Malaysia dan Thailand.

Memakan masa dua hingga tiga jam pendakian bersama 14 pit stops, lelah pendaki pastinya hilang tatkala menyaksikan keindahan panorama sebaik tiba di puncaknya.

9. Muzium Kota Kayang

Muzium ini berdekatan Bukit Kayang, Bukit Lambong Panah, Bukit Jagat Hutang, Bukit Wai dan Bukit Menara dalam mukim Kayang yang juga berhampiran terusan buatan manusia tertua di Semenanjung Malaysia.

Tanpa dikenakan bayaran, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran tinggalan sejarah dan kebudayaan di enam galeri termasuk galeri sejarah, galeri arkeologi, galeri senjata, galeri diraja, galeri kebudayaan dan galeri Menteri Besar Perlis.

10. Padang Besar

Dikenali juga sebagai Pekan Siam kerana kedudukan geografinya berdekatan sempadan wilayah Songkhla, Thailand.

Popular dengan jolokan syurga beli-belah di utara Semenanjung sejak 59 tahun lalu, Padang Besar sering menjadi tumpuan pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Arked niaga Padang Besar menawarkan variasi produk dari negara jiran terutama kraf tangan, makanan, pakaian, aksesori wanita, peralatan dapur dan set bilik tidur pada harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 11:42 AM