ANTARA panorama yang menarik di Puncak View.
ANTARA panorama yang menarik di Puncak View.
Firdaus Yusof


PENGALAMAN menerokai laluan gunung kelapan tertinggi di Semenanjung Malaysia itu bukan sesuatu yang mudah. Tidak sekadar itu, jumlah tempoh perjalanan pendakian menjangkau 16 jam juga tidak pernah terbayang bahawa penulis bersama rakan-rakan mampu melakukannya.

Gunung Batu Putih dengan ketinggian 2,130 meter dari paras laut yang terletak di Batu 7, Kuala Woh, Perak seolah-olah melambai-lambai kami datang. Dalam pendakian kali ini kami mencari rentak pendakian yang sedikit berbeza dengan aktiviti mendaki sebelum ini iaitu cuba menawan puncak Gunung Batu Putih dalam tempoh sehari.

Ternyata ia bukan sesuatu yang mudah kerana kami perlu berdepan pelbagai cabaran bermula laluan denai mencanak, meranduk sungai, meredah hujan, berjalan pada sebelah malam hingga hampir terpijak ular paling berbisa di dunia, mana mungkin semuanya dapat dilupakan.

Memulakan pendakian seawal jam 9 pagi di Kampung Orang Asli Sungai Woh bertemankan penunjuk arah menyasarkan untuk tiba tapak perkhemahan, Kem Balak terlebih dahulu. Jumlah jarak perjalanan yang diketahui penulis dari lokasi permulaan pendakian ke puncak sejauh 12 kilometer (km).

MENAWAN puncak Gunung Batu Putih mempunyai cabaran tersendiri.
MENAWAN puncak Gunung Batu Putih mempunyai cabaran tersendiri.

Memikul beg galas mendaki seberat 20 kilogram (kg) sejak awal pendakian untuk menuju Kem Balak bukan mudah meskipun hanya mengambil masa tiga jam kerana laluan trek yang begitu mencanak dan tidak ada ‘diskaun’ langsung disebabkan tidak ada permatang yang rata. Tiga jam itu kadangkala terasa seperti sudah sehari mendaki!

Sebaik jarum jam menghampiri 12 tengah hari, penulis bersama 20 rakan pendaki tiba di Kem Balak. Wajah letih masing-masing tidak dapat disembunyikan. Kami hanya ada masa sejam untuk berehat dan mengalas perut di sini, kemudian perlu meneruskan perjalanan semula menuju puncak.

Beg galas mendaki ditukar kepada saiz lebih kecil, 15 liter yang diisi dengan air dan makanan ringan untuk menuju ke puncak. Lebih baik meringankan beg terlebih dahulu kerana baki 7km di hadapan masih menjadi tanda tanya mengenai cabarannya.

Usai dua jam berjalan dari tapak perkhemahan itu, kini penulis bersama rakan pendaki yang lain tiba di lokasi terbaik untuk menikmati panorama di gunung itu yang dikenali sebagai Puncak View dalam kalangan pendaki.

ANTARA cabaran dilalui untuk tawan puncak Gunung Batu Putih dalam tempoh sehari.
ANTARA cabaran dilalui untuk tawan puncak Gunung Batu Putih dalam tempoh sehari.

Memanjat empat tangga yang biasa digunakan bomba dalam kerja menyelamat dengan 90 darjah kecuraman, sudah pastinya menembak rasa gayat dalam jiwa kental masing-masing.

Sebaik tiba di atasnya, pemandangan begitu menarik kerana kelihatan jelas beberapa puncak gunung yang berada di sekitarnya seperti Gunung Kak dan Gunung Bah Gading.

Merakam foto di Puncak View menjadi kemestian dan bagi mereka yang berpeluang mendaki ke sini, jadi jangan lepaskan peluang untuk menikmati keindahan di lokasi berkenaan. Sekurang-kurangnya dapat juga melepaskan penat buat seketika.

Dalam perjalanan ke puncak juga, kami sempat berhenti seketika di Air Terjun Terbunuh untuk mengisi air dan mengumpulkan semula ahli kumpulan yang lain sebelum meneruskan pendakian.

Jarum jam menunjukkan 4.45 petang. Menurut penunjuk arah, hanya berbaki dua jam lagi untuk kami tiba ke puncak. Namun, cuaca yang kelihatan cerah dari awal pagi kini bertukar gelap, petanda hujan bakal membasahi bumi.

LAPISAN pelbagai gunung yang boleh dilihat dari Puncak View.
LAPISAN pelbagai gunung yang boleh dilihat dari Puncak View.

Akhirnya pada jam 7 malam, kami tiba di puncak. Perasaan gembira tidak dapat diungkap dengan kata-kata selepas 10 jam mendaki. Dataran puncaknya adalah batu menjadikan gunung itu begitu unik di mata penulis.

Selesai merakam gambar di puncak, kini kami semua perlu turun ke Kem Balak semula. Dalam perjalanan turun bertemankan lampu kepala, di sini penulis merasai pengalaman hampir memijak seekor ular yang amat dikenali antara berbisa di dunia, Trimeresaurus Albolabris yang berada di trek pendakian.

Akhirnya, pada jam 1 pagi kami semua tiba di Kem Balak dengan selamat. Pengalaman bertemu sang berbisa itu pastinya menjadi mimpi ngeri dan bahan bualan sebelum melelapkan mata.

Keesokannya, pada jam 2 petang, kami selamat tiba di lokasi permulaan pendakian. Bagi penulis, pengalaman menerokai gunung ini lebih mencabar dari tujuh gunung tertinggi di Semenanjung yang pernah ditakluki sebelum ini. Bagaimanapun, setiap pendakian gunung pasti ada kisah dan cabarannya tersendiri.

MENAWAN puncak Gunung Batu Putih mempunyai cabaran tersendiri.
MENAWAN puncak Gunung Batu Putih mempunyai cabaran tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 11:22 AM