BEKAS tin mempunyai peminat tersendiri.
BEKAS tin mempunyai peminat tersendiri.
Zaitie Satibi


KEUNIKAN barang antik dan vintaj mempunyai nilai tersendiri dan sering dijadikan koleksi selain melengkapkan hiasan dalaman kediaman atau premis perniagaan. Malah, barangan berkenaan yang rata-ratanya sukar diperoleh menjadikan lokasi jualannya dikenali pasar karat menjadi tumpuan.

Antara pasar karat yang terkenal dan menjadi pilihan pengumpul dan peminatnya adalah Flea Market di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor.

Ia antara tarikan utama dan wajib dikunjungi pelancong jika berada di bandar raya berkenaan.

Pasar karat yang menempatkan lebih 200 peniaga itu hanya beroperasi pada setiap Sabtu dan Ahad sekali gus menjadikannya destinasi tarikan untuk warga kota yang ingin meluangkan masa bersama keluarga ketika hujung minggu.

Warisan barangan lama pasti mengimbau kembali segala nostalgia zaman datuk nenek dahulu yang boleh dikongsi bersama anak.

Pelbagai barangan lama yang boleh didapati termasuk radio, piring hitam, hiasan rumah, mesin jahit, aksesori tembaga, seterika, tepak sirih, pakaian, permainan dan pinggan mangkuk.

Flea Market Amcorp Mall ini dikatakan antara pasar karat yang paling tua atau paling lama bertahan di kawasan Lembah Klang.

ANTARA barangan antik yang dijual pada Perhimpunan Barangan Antik dan Vintaj di Amcorp Mall.
ANTARA barangan antik yang dijual pada Perhimpunan Barangan Antik dan Vintaj di Amcorp Mall.

Ia dibuka sejak 1997 dan menjadi medan berkumpul buat pencinta barang antik yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berusia.

Kedudukan pasar karat ini yang strategik terletak betul-betul di dalam bangunan Amcorp Mall bersebelahan dengan Lebuh raya Persekutuan memudahkan pengunjung dari serata tempat datang.

Malah, cuti hujung minggu adalah paling dinantikan pengumpul dan peminat barangan antik untuk mendapatkan pelbagai koleksi yang dijual serendah RM10 hingga mencecah ribuan ringgit.

Apa menambahkan keunikannya adalah ia menempatkan kepelbagaian budaya negara ini. Oleh itu, pengunjung boleh membayangkan bagaimana barangan diperoleh daripada pelbagai sumber dihimpunkan di satu tempat.

Malah, pasar karat ini juga pernah diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai pasar karat induk terbesar di negara ini.

SEORANG pengunjung memilih bekas tembaga lama.
SEORANG pengunjung memilih bekas tembaga lama.

Pengunjung boleh membeli apa sahaja di pasar karat berkenaan dan bahagian terbaik apabila boleh tawar-menawar untuk barangan yang diidamkan.

Cuma perlu luangkan masa beberapa minit untuk berbual dengan penjual bagi mengenali mereka dan perihal berkaitan barangan lama.

Walaupun anda mungkin bukan seorang pengumpul atau peminat barangan lama berkenaan, tetapi pasti ada satu atau dua barangan yang anda berkenan.

Pasar karat ini turut menjadi saluran untuk pengunjung menikmati kemeriahan, berkongsi minat dan mempelajari perkara baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 9:18 AM