Pengunjung Floating Coral Bar rasai masakan tempatan dihidang secara bufet di dalam bot
Pengunjung Floating Coral Bar rasai masakan tempatan dihidang secara bufet di dalam bot
Asmidar Zainol


JIKA pengunjung pernah mendengar lokasi seperti Kemensah, Hulu Klang; Legong, Baling, Kedah dan Mukim Kerunai, Gerik, Perak, pastinya mengetahui persamaan ketiga-tiga lokasi berkenaan ialah menawarkan pengalaman menikmati hidangan di atas air.

Bunyi air yang mengalir selain kaki terendam dalam air sungai, pastinya membangkitkan selera berganda untuk menikmati juadah disediakan operator yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Terbaharu, menikmati hidangan di tengah lautan antara Laut Sulu dan Laut China Selatan. Ia antara aktiviti yang boleh dilakukan pelancong yang merancang percutian ke Pitas, Sabah.

Pengalaman berkenaan ditawarkan kepada pengunjung di Floating Coral Bar iaitu dengan menempuh perjalanan tiga jam dari Kota Kinabalu menggunakan kenderaan darat dan satu jam 30 minit menaiki bot dari Jeti Marina, Kudat.

MAKAN di atas benteng terbentuk daripada timbunan batu karang.
MAKAN di atas benteng terbentuk daripada timbunan batu karang.

Menurut Pengarah Archangle Borneo Holiday, Victor Tan Vui Kiong, 44, lokasi seluas dua kilometer itu terdiri daripada timbunan batu karang yang sudah mati atau juga dikenali dengan ‘batu timbul’ terbina secara semula jadi sejak ratusan tahun lalu.

“Kami menjumpai lokasi ini sejak lima tahun lalu dan sejak itu kami fikirkan apa yang dapat dilakukan di lokasi ini selain membantu komuniti setempat secara tidak langsung.

“Selepas berbincang dengan wakil komuniti iaitu Persatuan Pelancongan Supirak dan Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Pitas, kami membuat permohonan daripada pihak Taman-Taman Sabah untuk memajukan lokasi ini memandangkan ia terletak di dalam kawasan Taman Tun Mustapha yang meliputi kawasan perairan seluas 898,762.76 hektar membabitkan tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

FLOATING Coral Bar memberi peluang pekerjaan kepada belia dari kampung berhampiran.
FLOATING Coral Bar memberi peluang pekerjaan kepada belia dari kampung berhampiran.

“Buat masa sekarang kami sudah melatih 15 penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti di sini seperti snorkeling, petugas di pulau dan kru penyediaan makanan. Bagaimanapun, bilangan petugas akan ditambah bergantung kepada keperluan semasa,” katanya.

Menurut Tan makanan yang dijamu adalah halal dan disediakan penduduk kampung yang beragama Islam dari Kampung Malubang.

“Makanan yang disediakan tidak dimasak di sini atas sebab menjaga kebersihan dan faktor konservasi di Taman Tun Mustapha.

“Kami turut bekerjasama dengan Maktab Koperasi Malaysia Zon Sabah untuk memberikan latihan cara penyediaan makanan yang lebih baik dan teratur.

PENDUDUK kampung menghantar makanan menggunakan bot.
PENDUDUK kampung menghantar makanan menggunakan bot.

“Hidangan yang disediakan adalah masakan tempatan yang terdiri daripada makanan laut yang segar dan sayur-sayuran tempatan yang dihidang secara bufet di dalam bot,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara wakil komuniti dan Archangle Borneo Sdn Bhd (Archangle), baru-baru ini.

Syarikat berkenaan mengehadkan kepada 40 hingga 50 pelancong sahaja dibenarkan untuk menyertai trip ke Floating Coral Bar pada satu-satu masa bagi memastikan keselamatan dan terumbu karang tidak terganggu.

Sementara itu, wakil penduduk yang juga Pengerusi Persatuan Pelancongan Supirak, Moktar Amirol berkata, penduduk kampung mengalu-alukan usaha Archangle dalam membangunkan produk pelancongan di daerah berkenaan.

TAN (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada isteri Yang Dipertua Negeri Sabah,
TAN (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada isteri Yang Dipertua Negeri Sabah,

“Kami amat gembira dengan usaha Archangle yang memperkenalkan Floating Coral Bar sebagai salah sebuah destinasi pelancongan di daerah ini.

“Menerusi usaha itu, pihak komuniti turut merasai kesannya melalui peluang pekerjaan dan secara tidak langsung dapat menjana pendapatan tambahan daripada kehadiran pelancong ke Floating Coral Bar pada masa akan datang.

“Selain Floting Coral Bar, di Pitas turut ada tarikan pelancongan lain antaranya Pulau Supirak, Batu Gerawang, Batu Berunsai, Perigi Air Tawar, Batu Dulang, Batu Talam, dan Batu Kougun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 9:15 AM