KEGEMBIRAAN jelas terpancar sebaik berada di puncak Gunung Baling.
KEGEMBIRAAN jelas terpancar sebaik berada di puncak Gunung Baling.
Hafiz Ithnin


“PASTI terbit rasa kecewa kerana tidak dapat menawan Gunung K2 versi Malaysia, tapi ia terubat sebaik menawan tiga puncak lain dalam ekspedisi kali ini,” antara kata-kata pertama diucapkan Fadhilah Daud saat ditemu bual, baru-baru ini.

K2 Malaysia ialah gabungan nama dua gunung di Gerik, Perak iaitu Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai dengan masing-masing berketinggian 1,223 meter (m) serta 1,000m dari aras laut.

Menceritakan pengalaman pendakian Fadhilah berkata, idea itu tercetus hasil perbincangan dengan rakan selain ingin melepaskan ‘kerinduan’ mendaki gunung di Malaysia selepas beberapa bulan berada di Amerika Syarikat.

“Alang-alang sudah menghala ke utara, kami bercadang mendaki K2 dan Gunung Pulut. Tapi apakan daya, bukan rezeki untuk mendaki K2.

MENDAKI Gunung Pulut berdepan laluan berbatu curam.
MENDAKI Gunung Pulut berdepan laluan berbatu curam.

“Perjalanan ke Gunung Pulut melalui kebun dan laluan pacak berbatu mengambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai ke puncak.

“Pemandangan di gunung itu memang menarik apatah lagi berpeluang menyaksikan keseluruhan Gerik yang masih menghijau. Bersebelahannya pula Gunung K2,” katanya.

Kemudian perjalanan diteruskan ke Baling, Kedah untuk mendaki Gunung Baling dan Gunung Pulai. Mengejar panorama matahari terbenam sememangnya menjadi impian!

Bagaimanapun, mencabar kemampuan diri di Gunung Baling memerlukan bayaran RM15 seorang untuk permit dan penggunaan jurupandu sebelum pendakian pada jam 6.30 petang.

“Jangka masa yang diambil untuk sampai ke puncak begitu singkat apabila kami berjaya sampai sekitar jam 7.15 malam. Situasi itu kedengaran mudah, namun ia cukup mencabar mental dan fizikal kami.

“Masakan tidak, sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan laluan mencanak, berbatu dan bertanah merah. Tidak sampai 10 minit mendaki, badan lencun bermandi peluh dek laluan pacak tanpa ‘diskaun’,” katanya.

Segalanya berbaloi saat menikmati matahari terbenam dengan panorama memukau banjaran yang menghubungkan Gunung Baling dan Gunung Pulai. Ketika itu masa yang berbaki dimanfaatkan sebaik-baiknya. Masing-masing sibuk merakam gambar dan video.

PENGALAMAN pendakian bersama rakan sememang cukup mengujakan.
PENGALAMAN pendakian bersama rakan sememang cukup mengujakan.

Turun dari puncak selepas Maghrib ternyata memberikan pengalaman berbeza kerana cuaca lebih sejuk dan suasana pula gelap gelita.

Esoknya, seawal jam 5.30 pagi, misi menawan Gunung Pulai pula diteruskan. Sedikit menguji kekuatan mental dan fizikal kerana hampir sejam setengah sesat sebelum menemui laluan sebenar pendakian.

Selepas hampir dua jam meredah pendakian sukar, akhirnya puncak gunung itu berjaya ditawan.

“Terasa bahang ketika di puncak dek ketiadaan pokok untuk berteduh. Gambar pemandangan yang dirakam pula sedikit terganggu kerana cahaya membelakangi panorama.

“Namun, pengalaman empat hari menawan tiga puncak sangat berbaloi. Pendakian yang menjanjikan cabaran unik nyata memaksa kami untuk menguji kemampuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 10:01 AM