AKTIVITI riadah di tasik secara berkumpulan menjanjikan keseronokan.
AKTIVITI riadah di tasik secara berkumpulan menjanjikan keseronokan.
Hafiz Ithnin

MENGHIRUP udara segar berlatarkan alam semula jadi yang mengelilingi pemandangan semestinya memberi kepuasan tersendiri. Lebih damai, apabila telefon bimbit langsung tidak dapat menjangkau liputan. Ternyata lebih privasi tanpa gangguan.

Berada di atas rumah bot untuk beberapa malam berlagukan nyanyian cengkerik dan kadangkala terlihat kelibat ikan liar melompat dari dalam tasik sememangnya suatu kenikmatan ketika bersantai.

Bercerita berkenaan aktiviti bersantai sambil menikmati keindahan alam tanpa gangguan kesibukan kerja, nama Royal Belum bukan sesuatu yang asing lagi.

Destinasi yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan eko itu menawarkan aktiviti santai menarik seperti bermalam di rumah bot, mendaki untuk menerokai air terjun dan melawat kampung Orang Asli di beberapa pulau berhampiran Tasik Temenggor.

Mohammad Shazwan Mohd Yat, pemilik NY Adventure & Consultant adalah antara ejen pelancongan yang kerap membawa pelancong ke lokasi berkenaan, menceritakan pengalamannya kepada penulis.

Shazwan berkata, Royal Belum sangat unik kerana mempunyai hutan hujan tropika masih dara dan Tasik Temenggor bersempadan dengannya memberi nilai tambah kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

Katanya, musim paling ramai dikunjungi pelawat yang mengambil pelbagai pakej pengembaraan di Royal Belum seperti menginap selama satu malam di atau bot rumah biasanya bermula Mei hingga Ogos.

 BELUM mempunyai pelbagai daya tarikan rekreasi tersendiri.
BELUM mempunyai pelbagai daya tarikan rekreasi tersendiri.

“Bagi mereka yang ingin menikmati percutian serba lengkap di Royal Belum, harga ditawarkan kebanyakan ejen pelancongan bermula RM150 seorang untuk menginap di rumah bot semalam dengan jumlah minimum 20 orang peserta.

“Di sini, biasanya pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti air seperti berakit, berenang dan mendaki ke kawasan pulau yang terletaknya Air Terjun Sungai Kooi dan Ruok,” katanya.

Hutan Belum terletak di Hulu Perak dan bersempadan dengan Thailand manakala, di bahagian timurnya pula bersempadan dengan Kelantan.

Royal Belum diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak pada 2001 dan seluas 117,500 hektar sudah diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum.

Syazwan berkata, lokasi mengembara di Tasik Temenggor bersama keluarga antara destinasi menarik jika ke Royal Belum.

Katanya, rumah bot mempunyai pelbagai kemudahan seperti bilik selesa untuk bermalam, tandas yang bersih, ruang istirahat untuk berhibur dan ruang dapur bagi membolehkan pelawat memasak makanan.

“Dalam aktiviti mengembara di Tasik Temenggor misalnya, anak yang masih bersekolah dapat melihat sendiri khazanah alam semula jadi. Kadangkala kita juga boleh melihat kelibat haiwan liar seperti gajah berada di tebing tasik.

“Selain itu, melawat perkampungan Orang Asli dari kaum Jahai dan Negrito yang mendiami Royal Belum juga antara perkara yang boleh dilakukan seisi keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 5:01 AM