ATUR pengangkutan bersesuaian supaya warga emas selesa sepanjang perjalanan dan elak tempoh perjalanan terlalu panjang.
ATUR pengangkutan bersesuaian supaya warga emas selesa sepanjang perjalanan dan elak tempoh perjalanan terlalu panjang.
PILIH tempat penginapan yang menyediakan kemudahan untuk warga emas seperti laluan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan mereka.
PILIH tempat penginapan yang menyediakan kemudahan untuk warga emas seperti laluan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan mereka.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Bercuti bersama seisi keluarga sememangnya menyeronokkan kerana ia adalah waktu sesuai untuk meluangkan masa bersama berkualiti.

Namun, persediaan rapi perlu dirangka terutama apabila ibu bapa atau datuk dan nenek yang sudah berusia turut serta bagi memastikan mereka selesa sepanjang percutian.

Mengatur percutian yang berkualiti bersama warga emas tidak sukar, tetapi beberapa perkara perlu dititikberatkan supaya semua ahli keluarga selesa dan dalam masa sama mengelakkan perkara tidak diingini.

1. Tempat penginapan

Ramai yang ambil ringan lokasi penginapan kerana rata-rata mementingkan keselesaan di dalam bilik penginapan sahaja.

Selain itu, kebanyakannya turut mementingkan harga dan promosi dan menempah penginapan secara atas talian.

Tidak salah berbuat demikian namun, perlu dikaji dan ambil tahu segala kelengkapan dan keperluan yang disediakan di tempat penginapan berkenaan supaya ia sesuai untuk semua ahli keluarga terutama warga emas.

Terdapat tempat penginapan yang tidak menyediakan laluan untuk kerusi roda, malah ada juga yang mempunyai tangga yang terlalu tinggi menyukarkan perjalanan warga tua.

Laluan kerusi roda bukan saja untuk pengguna kerusi roda, malah memudahkan pergerakan warga emas yang bertongkat.

Sebaiknya, ambil tahu dan kumpul maklumat dalam Internet atau menerusi panggilan telefon ke tempat penginapan terlebih dahulu supaya tidak tersilap menempah tempat penginapan yang hanya serba lengkap di dalam bilik.

2. Pengangkutan

Pilih dan atur pengangkutan bersesuaian terutama jika percutian mengambil masa lama dan perlu bertukar dari satu destinasi ke destinasi lain.

Elakkan tempoh perjalanan yang terlampau panjang secara berterusan kerana perjalanan panjang sangat meletihkan dan warga emas memerlukan rehat secukupnya.

Sekiranya perjalanan ke luar negara terlalu panjang, elak ambil penerbangan terus dan transit di mana-mana tempat dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju.

Pastikan pengangkutan yang dipilih menyediakan kemudahan untuk warga emas terutama yang berkerusi roda supaya mereka selesa selain melancarkan pergerakan.

Contohnya, percutian ke pulau menawarkan dua laluan iaitu melalui laut dan udara, sebaiknya menaiki kapal terbang. Selain waktu perjalanan yang singkat, pergerakan warga tua juga menjadi mudah tanpa perlu bersesak menaiki feri atau bot.

Sekiranya tiada pilihan, pilih bot atau feri yang menyediakan kemudahan khusus untuk warga emas dan golongan kurang upaya supaya perjalanan lebih selamat.

3. Jadual dan lokasi percutian

Elak jadual yang terlalu padat dan selitkan waktu rehat dan makan yang bersesuaian bagi mengelakkan warga emas keletihan dan seterusnya tidak menikmati percutian itu.

Pilih destinasi bersesuaian kerana perlu diingatkan anda membawa bersama warga tua dan sebaiknya elak ke taman tema kerana kebiasaannya tiada aktiviti bersesuaian untuk mereka.

Sebaiknya, berbincang dengan mereka terlebih dahulu dan atur destinasi percutian yang lebih relaks dan santai selain menikmati pemandangan serta landskap yang indah di tempat baru.

4. Ubat-ubatan

Paling penting dan utama sebelum memulakan perjalanan adalah memastikan ubat-ubatan dibawa dan tidak tertinggal terutama bagi mereka yang mengambil ubatan secara tetap.

Salin nama ubatan dalam telefon bimbit dan bawa preskripsi doktor supaya memudahkan pembelian ubatan di lokasi percutian sekiranya ubat habis atau tertinggal.

Selain itu, jangan terlepas dan ikut jadual untuk makan ubat dengan betul kerana ia akan mempengaruhi fizikal dan kesihatan warga emas dan seterusnya membuatkan mereka tidak selesa meneruskan perjalanan.

Pastikan hidangan dan makanan yang dipilih juga sesuai bagi mengelakkan mereka jatuh sakit terutama jika mengalami alergi atau penyakit kronok seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 1:29 PM