Sebahagian penyokong bola sepak Terengganu.
Sebahagian penyokong bola sepak Terengganu.
Saipul Adli Mohamad


Nak tulis apa pun tulis lah Pul, kalau setakat Terengganu nak lawan pasukan mana-mana. Tapi jangan tulis pasal persatuan tak bayar gaji."

Lesen besar itu diberikan seorang pemain bola sepak Terengganu ketika saya bertugas sebagai wartawan sambilan di Kuala Terengganu pada 1995.

Ketika itu, cara dapatkan berita sama ada komen pemain atau jurulatih adalah turun ke padang latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu atau hubungi pemain di rumah kerana zaman itu belum ada telefon bimbit lagi.

Saya tinggal menyewa bilik di perumahan di Padang Hiliran dan ia memberi kelebihan kerana kawasan itu disewa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk pemain dari luar Terengganu.

Jadi, hubungan saya dengan pemain agak akrab kerana selain bertegur di padang selepas latihan, kami kerap minum bersama dan saya turut bertandang ke rumah mereka.

Dari situ, banyak saya dengar kisah mengenai gaji dan masalah kewangan pemain terutama yang jarang beraksi dalam kesebelasan utama. Pemain cedera lagi teruk kerana ada yang tidak mendapat gaji penuh, apa lagi imbuhan perlawanan.

Saya pernah menemani pemain meminjam wang daripada pemain import yang menginap di kondominium di Kampung Tiong.

Malah, ada pemain meminjam wang daripada saya untuk pulang bercuti di negeri kelahirannya. Sedangkan ketika itu, pendapatan saya hanya menerusi setiap patah perkataan disiar di dada akhbar.

Harus diingat, gaji yang tidak dibayar, kelewatan menerima gaji dan masalah kewangan boleh menjadi antara punca dan perangkap menjerumuskan pemain kepada gejala rasuah, mengatur perlawanan dan bookie.

Apabila tiada duit dan bookie pula datang memberi tawaran, pemain yang gelap mata serta tiada pilihan kerana terdesak dan hidup tertekan, berpotensi menyambar umpan itu.

Malah, ada bekas pemain pasukan di utara semenanjung menyatakan dia ditawar gaji RM6,000 sebulan, selain bonus kemenangan.

Bagaimanapun, gaji penuh RM6,000 itu hanya dibayar pada bulan pertama saja manakala pada bulan lainnya dia hanya hidup dengan sebahagian gaji serta bonus perlawanan.

Situasi itu sukar kerana dia sudah membeli kereta BMW, selain menyewa rumah besar sesuai dengan statusnya sebagai pemain bola sepak popular dan akhirnya dia ditahan kerana rasuah.

Ketika Liga Perdana diperkenalkan pada 1994, episod hitam berlaku kepada dunia bola sepak tanah air apabila lebih 100 pemain serta jurulatih ditahan serta disoal siasat kerana gejala rasuah dan mengatur perlawanan.

Tindakan tegas pihak terbabit itu menyaksikan bola sepak negara hampir lumpuh kerana ia bukan sahaja membabitkan pemain mempunyai nama besar, malah pemain muda yang dikatakan mampu menjadi bintang di masa depan, tapi mudah tergoda dengan wang ringgit.

Insiden memalukan itu menyebabkan bola sepak negara mula diperkatakan masyarakat dunia namun yang menyedihkan ia bukan kerana kehebatan aksi atau skil pemain, sebaliknya gejala tidak bermoral yang menjerat mereka.

Selain itu, Singapura yang menjuarai Piala Malaysia 1994 turut disingkir daripada menyertai Liga Perdana kerana dipercayai punca gejala rasuah menular ke negara ini.

Singapura pasukan pertama disiasat kerana rasuah dan ia membabitkan pemain import republik itu dari Czechoslovakia, Michal Vana dan pengadil, T Rajamacnikam.

Walaupun pembersihan dilakukan pihak berkuasa, ia bukan mudah dan jurulatih Sabah, Kelly Tham mendakwa ada pengkhianat dalam pasukannya yang menjuarai Piala FA 1995.

Tembelang enam pemain utama termasuk ayam tambatannya, Matlan Marjan, pecah apabila mereka disahkan terbabit dalam perbuatan keji itu dan mereka dikenakan hukuman buang daerah selain tindakan lebih keras iaitu gantung permainan seumur hidup.

Tahniah kepada FAM serta pihak berkenaan yang bertungkus lumus memerangi rasuah yang bukan sahaja satu pengkhianatan kepada negara, bola sepak serta pasukan diwakili, malah memperdayakan kesetiaan penonton dengan aksi seperti badut di tengah padang.

Tidak disangka, jatuh bangun dan berguling-guling akibat terjahan keras, sambil kesempatan melakukan jaringan yang disia-siakan adalah rekaan semata. Malah, ia umpama taktik mengaburi mata banyak pihak pada ketika ganjaran lumayan daripada bookie atau kaki judi, sedia menanti.

Apa yang saya ceritakan mengenai rasuah, mengatur perlawanan dan bookie ini adalah sejarah yang berlaku hampir 30 tahun lalu.

Tapi, jaga-jaga dan jangan sampai ia berulang. Jika masalah lewat bayar gaji atau gaji tertunggak yang berlaku sejak hampir 30 tahun lalu terus berlaku, rasuah pun boleh berlaku walaupun kini kelab diswastakan.

Perak FC dan Sarawak United bernasib baik kerana isu itu sudah selesai, namun kisah di Melaka United FC (MUFC) amat parah apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pasukan itu dilarang daripada beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

Lebih malang, ada pemain yang bukan saja dikejar pihak bank, malah terpaksa bertanya kepada rakan atau saudara mara untuk menumpang makan nasi kenduri, selain menikmati mi segera dan nasi bujang sebagai rutin.

Manusia sanggup melakukan apa saja kerana terdesak, apatah lagi membabitkan wang ringgit. Satu hadis Rasulullah SAW menyatakan, kemiskinan sama ada material atau kerohanian akan mendekatkan dengan kekufuran. Beringatlah.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 7:00 AM